Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Serangan di New York ragut lapan jiwa

Trak rempuh laluan basikal dalam kejadian yang dianggap sebagai serangan pengganas
Nov 02, 2017 | 05:30 AM



NEW YORK: Sekurang-kurangnya lapan orang maut manakala berpuluh lain cedera selepas sebuah trak merempuh pejalan kaki di Lower Manhattan, awal pagi semalam.



Kenderaan itu kemudian bertembung dengan bas sekolah dalam tindakan dianggap pihak berkuasa sebagai serangan pengganas.



Selepas serangan, suspek yang melaungkan kalimah "Allahuakbar" dilihat keluar dari kenderaan yang disewa itu sambil memegang dua senapang palsu sebelum ditembak polis dan ditahan.



Suspek serangan dikenal pasti sebagai Sayfullo Saipoz, 29 tahun, rakyat Uzbekistan yang menetap di Paterson, New Jersey.



Identiti lelaki itu disahkan beberapa rangkaian televisyen tempatan manakala semakan di Whitepages mendapati suspek, juga pemandu Uber, pernah tinggal di Tampa, Florida, sejak Jun 2011 dan turut memiliki alamat lain berdaftar di Ohio.



Berikutan serangan itu, Presiden Donald Trump mengarahkan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri supaya meningkatkan pemeriksaan ke atas pendatang yang memasuki Amerika Syarikat.



"Saya baru mengarahkan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri supaya meningkatkan Program Pemeriksaan Ekstrem. Berpendirian betul secara politik baik-baik sahaja, namun bukan untuk ini!," kata Presiden Trump menerusi Twitter semalam.



Beliau juga menyifatkan penyerang sebagai "sakit" dan "tidak siuman".



Kejadian pada 3.05 petang waktu tempatan itu berlaku beberapa blok dari Memorial 9/11 di West Side, Lower Manhattan.



Ia berlaku berhampiran sekolah yang dipenuhi ibu bapa dan pelajar yang bersiap meraikan Halloween.



Ia kejadian pertama dikaitkan keganasan di ibu kota dengan 8.5 juta penduduk itu sejak insiden 11 September 2001.



Ia juga yang pertama sejak letupan bom paip pada September 2016 di Chelsea yang mencederakan 31 orang.



Ketua Polis New York, Encik James O'Neill, berkata lapan orang disahkan terbunuh manakala 11 lagi mangsa yang parah dirawat di hospital.



Menurut Encik O'Neill, suspek memandu trak yang disewa daripada syarikat pemborong Home Depot menuju ke selatan dan merempuh laluan basikal dan pejalan kaki sebelum bertembung dengan bas sekolah, menyebabkan empat orang cedera, dua daripadanya kanak-kanak.



Suspek kemudian keluar dari kenderaan itu dengan memegang dua senapang palsu sebelum ditembak di perut oleh polis.



Polis berkata senapang 'paintball' dan senapang angin ditemui di tempat kejadian.



"Ia hari amat memilukan di bandar kita. Berdasarkan maklumat, ini adalah tindakan keganasan yang menyasar orang awam. Setakat ini lapan maut dan lebih 12 cedera," kata Datuk Bandar New York, Encik Bill de Blasio.



Kementerian Luar Argentina, menerusi satu kenyataan, berkata lima rakyatnya disahkan maut dalam insiden itu. Semua mangsa berada di ibu kota itu untuk menghadiri majlis perjumpaan semula sekolah.



Turut terbunuh ialah seorang rakyat Belgium. Menteri Luar Belgium, Encik Didier Reynders, ketika mengesahkan perkara itu berkata beliau amat sedih dengan tragedi itu dan berharap keluarga mangsa tabah menerima dugaan.



"Saya amat bersedih dengan kematian rakyat kita di Manhattan dan mengucapkan takziah kepada keluarga serta rakan mangsa," kata Encik Reynders menerusi Twitter. - AFP, Reuters.



Laporan lanjut: Pemimpin negara, masyarakat kutuk serangan




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >