Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Serangan pengebom nekad di Pakistan ekoran balas dendam: Polis

Feb 02, 2023 | 05:30 AM



PESHAWAR: Letupan berani mati di sebuah masjid di dalam ibu pejabat polis di Pakistan yang mengorbankan lebih 100 orang dan mencederakan 217 orang lain adalah serangan balas dendam, kata seorang ketua polis kelmarin.



Antara 300 dan 400 anggota polis berkumpul untuk solat di masjid itu Isnin lalu di ibu kota wilayah Peshawar apabila kejadian berlaku.



"Kami berada di barisan hadapan dalam mengambil tindakan terhadap militan dan itulah sebabnya kami menjadi sasaran," kata ketua polis bandar, Encik Muhammad Ijaz Khan kepada agensi berita AFP.



"Tujuannya adalah untuk melemahkan semangat kami sebagai satu kuasa."



Militan peringkat rendah, sering menyasarkan pusat pemeriksaan keselamatan, yang dilihat semakin meningkat di kawasan berhampiran Peshawar yang bersempadan dengan Afghanistan sejak Taleban menguasai Kabul pada Ogos 2021.



Serangan itu kebanyakannya dipercayai dilakukan oleh Taleban Pakistan, serta bahagian tempatan pertubuhan itu, tetapi serangan beramai-ramai masih jarang berlaku.



Ketua pasukan polis wilayah Khyber Pakhtunkhwa, Encik Moazzam Jah Ansari, memberitahu pemberita bahawa seorang pengebom berani mati telah memasuki masjid sebagai tetamu, membawa 10-12 kilogram bahan letupan.



Katanya, kumpulan militan yang bersekutu dengan Taleban Pakistan yang juga dikenali sebagai Tehreek-e-Taleban Pakistan atau TTP itu mungkin berada di belakang serangan tersebut.



Bagaimanapun, lebih 10 jam selepas serangan berlaku, jurucakap TTP, Encik Mohammad Khurasani, menolak penglibatan kumpulan itu daripada pengeboman tersebut dengan berkata ia bukan dasar mereka untuk menyasarkan masjid atau tapak keagamaan lain, sambil menambah bahawa mereka yang mengambil bahagian dalam perbuatan itu boleh menghadapi tindakan hukuman di bawah dasar TTP.



Kenyataannya tidak menjelaskan mengapa seorang komander TTP mengaku bertanggungjawab atas pengeboman berkenaan.



Penafian TTP juga dibuat selepas Kementerian Luar Afghanistan mengutuk serangan terhadap jemaah sebagai bertentangan dengan ajaran Islam.



Hubungan antara Pakistan dan pemerintah jiran Taleban di Afghanistan, yang melindungi kepimpinan dan pejuang TTP, kini tegang.



TTP dibentuk secara rasmi oleh militan Pakistan pada 2007 kerana berasa marah pemerintah Pakistan menjalin kerjasama dengan Washington dalam perang melawan keganasan.



TTP dilaporkan bersetuju untuk bekerjasama menentang pemerintah Pakistan dan menyokong Taleban Afghanistan, yang memerangi pasukan Amerika Syarikat dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato).



TTP menuntut penguatkuasaan undang-undang Islam lebih ketat, pembebasan anggotanya dalam tahanan pemerintah, dan pengurangan kehadiran tentera Pakistan di bahagian Khyber Pakhtunkhwa, wilayah bersempadan dengan Afghanistan yang telah lama digunakan sebagai pangkalan.



TTP telah meningkatkan serangan ke atas tentera dan polis Pakistan sejak November 2022, apabila ia secara sepihak menamatkan gencatan senjata dengan pemerintah selepas kegagalan rundingan berbulan-bulan, yang dihoskan oleh pemerintah Taleban Afghanistan di Kabul.



TTP telah berulang kali memberi amaran kepada polis supaya tidak mengambil bahagian dalam operasi menentang pejuangnya di Peshawar, ibu kota wilayah Khyber Pakhtunkhwa.



Ketika ini, pihak berkuasa Pakistan sedang menyiasat bagaimana pelanggaran keselamatan boleh berlaku di salah satu kawasan yang paling dikawal ketat di bandar itu, menempatkan biro risikan dan memerangi keganasan serta bersebelahan sekretariat wilayah. - Agensi berita.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >