KUALA LUMPUR: Seramai 143,000 murid hadir hari pertama sesi persekolahan secara bersemuka di seluruh negara membabitkan sekolah di negeri dalam Kumpulan A bermula kelmarin dan sekolah di negeri Kumpulan B bermula semalam.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin menjelaskan secara umumnya sekolah telah dibuka di hampir semua negeri kecuali di Kedah dan juga Johor yang akan dibuka pada 10 Oktober depan.
"Bagi kehadiran di negeri Kumpulan B hari ini, seramai 94,000 pelajar telah hadir diikuti Kedah dan Johor murid-murid mereka akan masuk secara berperingkat.
"Daripada itu kita dapat lihat bahawa seluruh ekosistem pendidikan mula kembali bergerak cuma keadaannya dalam keadaan berperingkat, negeri fasa 4 lebih banyak kelas yang akan masuk dan begitulah juga fasa-fasa lain yang ada kaedah dan pendekatan yang telah dijelaskan," katanya, lapor Utusan Online.
Ketika diminta mengulas mengenai kehadiran murid ke sekolah, beliau menyatakan secara umumnya adalah amat baik namun ada sebahagian ibu bapa berasakan masih belum sesuai menghantar anak mereka ke sekolah.
Menurutnya, ada ibu bapa yang telah berhubung dengan pihak sekolah untuk menyatakan sebab-sebab ketidaksediaan menghantar anak mereka ke sekolah bagaimanapun murid dan pelajar tersebut tidak akan dikenakan tindakan disiplin.
"Trend sebelum ini juga iaitu pada Jun tahun lalu dan Mac lalu, pada peringkat awalnya ibu bapa mengambil pendekatan untuk tidak menghantar anak ke sekolah terlebih dahulu. Namun, kehadiran akan semakin baik dalam satu tempoh selepas itu.
"Kali ini kehadiran murid calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan semester dua, Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) amat baik di mana hampir kesemuanya cukup bersemangat kembali ke sekolah. Kita akan ambil masa beberapa hari untuk stabilkan data-datanya (kehadiran). Rata-ratanya cukup gembira dapat datang kembali ke sekolah termasuklah murid prasekolah dan murid berkeperluan khas (MBK).
"Murid berasakan inilah peluang mereka duduk berbincang dengan guru-guru dan berinteraksi secara terus," katanya lagi.