BRUSSELS: Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Encik Mike Pompeo, berkata pada Jumaat (27 April) beliau percaya Korea Utara serius mengenai menghentikan program nuklearnya, tetapi beliau memberi amaran jika tidak “diperbaiki” perjanjian nuklear Iran, Presiden Donald Trump akan keluar daripada perjanjian itu.
Dalam sidang media pertamanya sejak mengangkat sumpah jawatan pada Khamis lalu, Encik Pompeo berulang kali menyebut nama Encik Trump ketika menjawab soalan pada akhir lawatan ke ibu pejabat Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) di sini.
Encik Pompeo, yang membuat lawatan rahsia ke Pyongyang bulan lalu, berkata beliau pulang daripada lawatan itu dengan “rasa” bahawa pemimpin Korea Utara, Encik Kim Jong Un, bersedia menamatkan program nuklearnya.
“Tekanan ekonomi yang dilaksana oleh usaha global yang dipimpin Presiden Trump mendorongnya percaya bahawa adalah demi kepentingannya untuk datang ke meja rundingan dan berbincang mengenai menamatkan program nuklear,” kata beliau.
“Saya sentiasa berhati-hati. Terdapat banyak sejarah di sini, apabila janji dibuat, harapan dinaikkan dan kemudian putus asa.”
Encik Pompeo bernada optimis mengenai nasib perjanjian nuklear 2015 Iran yang dirundingkan bersama Amerika dan lima kuasa dunia lain, walaupun beliau berkata keputusan belum dibuat.
“Tidak ada pembaikan besar, tidak ada tindakan mengatasi kekurangan, kelemahan perjanjian itu, (Amerika) tidak akan kekal dalam perjanjian tersebut,” katanya.
Encik Pompeo berlepas pada Sabtu bagi lawatan ke Arab Saudi, Israel dan Jordan, tiga negara di mana perjanjian Iran akan dibincangkan, katanya.
Beliau pulang pada Isnin ke Washington untuk mengetuai Jabatan Negara pada masa ramai kakitangan berasa peranan mereka dalam dasar luar telah dipinggirkan. – Agensi.