BENDERA Singapura berkibar megah dibawa pegawai Angkatan Tentera Udara Singapura (RSAF) yang membuat penampilan khas semasa perbarisan hari kebangsaan Perancis, Hari Bastille semalam.
Sebelum itu, Pesawat Pelatih RSAF M-346 pula terbang disisi lima pesawat Alpha Perancis dalam satu formasi rapat membelah ruang udara Paris, di kawasan Arc de Triomphe de l'Étoile, dalam satu acara terbang lalu.
Aksi tersebut disaksikan Perdana Menteri Lee Hsien Loong yang duduk di sisi Presiden Perancis, Emmanuel Macron, sepanjang upacara yang berlangsung sekitar dua jam itu.
Encik Lee, yang berada tiga hari di Perancis atas undangan Presiden Macron, menghadiri sambutan perbarisan hari kebangsaan itu selaku tetamu terhormat.
Detik-detik kebanggaan Singapura itu turut dirakamkan Menteri Pertahanan Dr Ng Eng Hen yang telah memuatnaikkan beberapa pos di Facebook yang menunjukkan penglibatan Singapura semasa perbarisan itu.
Menerusi salah satu posnya, Dr Ng yang menyertakan gambar perbarisan yang baru bermula, menulis:
"Pagi yang indah untuk menyambut hari kebangsaan Perancis.
"Avenue des Champs-Élysées telah dikosongkan dan disediakan untuk perbarisan di mana kakitangan dan pesawat Angkatan Tentera Udara Singapura (RSAF) turut terlibat."
Ini merupakan penampilan sulung Angkatan Tentera Udara Singapura (RSAF) dalam perbarisan kebangsaan negara Eropah itu.
Pesawat RSAF itu dikendalikan Pegawai Pemerintah (CO) 150 Skuadron, Kapten Yeap Wei Jiun, 36 tahun, dan Instruktur Penerbangan yang Berkelulusan, Kapten Jerevin Chia Min Feng, 32 tahun.
Kededua mereka berpangkalan di Pangkalan Udara Cazaux, sekitar 60 kilometer dari bandar Bordeaux.
Tahun ini menandakan ulang tahun ke-20 RSAF sejak ia berpangkalan di Perancis di mana kru penerbangan pesawat pejuang meluangkan masa selama setahun di Cazaux mengikuti program latihan pesawat.
Selain diundang menyaksikan perbarisan itu, Encik Lee turut bertemu dengan Presiden Macron disamping dijemput untuk jamuan makan malam sehari sebelum itu.
Menerusi posnya di Facebook, Encik Lee berkata bahawa hari pertama kunjungannya ke Paris begitu sibuk dan produktif.
"Saya telah mengadakan pertemuan berasingan dengan Presiden Macron dan Perdana Menteri Edouard Philippe untuk menyemak kerjasama Singapura dengan Perancis dari segi pertahanan, keselamatan, perusahaan, budaya, kajian, dan pendidikan.
"Kami juga telah mengesahkan komitmen terhadap sistem perusahaan yang terbuka, multilateralisme dan undang-undang," tulis Encik Lee.
Tambahnya, beliau gembira dapat melancarkan Pelan Laluan Perancis-Singapura untuk Memperluas Kerjasama dalam Inovasi Digital, Tadbir Urus Internet dan Keselamatan Siber bersama Presiden Macron.
Presiden Macron juga telah menerima undangan Encik Lee untuk melawat Singapura dan menyampaikan ucapan di Dialog Shangri-La.
Encik Lee dijadualkan pulang ke Singpaura hari ini.