PETALING JAYA: Malaysia telah menubuhkan satu pasukan petugas khas sebagai persediaan menghadapi kemungkinan gelombang kedua banjir susuli hujan berterusan di beberapa bahagian negara itu, demikian umum Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Rakyat Malaysia juga sedang bersiap sedia menghadapi gelombang kedua banjir sedang pihak berkuasa menyatakan hujan diramalkan berlaku di pelbagai kawasan negara itu minggu ini.
Mengenai pasukan petugas itu yang juga akan menyelia kegiatan pemulihan pascabanjir, Datuk Ismail Sabri berkata ia akan dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.
"Kerja pascabanjir ini memerlukan penyelarasan sewajarnya kerana saya tidak mahu berlaku kelewatan dalam proses pelaksanaan termasuk pemberian bantuan kepada mangsa banjir.
"Kita juga perlu bersiap sedia untuk menghadapi gelombang kedua banjir, jika ia berlaku," katanya kepada wartawan kelmarin selepas melawat kawasan yang dilanda banjir di Hulu Langat di mana kerja pembersihan sedang dijalankan.
Anggota pasukan petugas itu merangkumi pelbagai agensi awam dan angkatan tentera, dan dijangka mengadakan mesyuarat pertamanya seawal semalam.
Antara perkara yang akan dibincangkan dan diputuskan pasukan petugas itu ialah mengenai penyelarasan dalam pelaksanaan proses seperti pembersihan rumah dan bangunan terjejas, serta mekanisme dalam memastikan mangsa banjir dapat menerima bantuan secepat mungkin.
Sementara itu, kemungkinan berlakunya gelombang kedua banjir mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penduduk yang masih bergelut akibat banjir besar sebelum ini.
Encik Muhammad Hasan Abdullah Sani, yang tinggal di Kampung Sri Aman, Puchong, berkata beliau bimbang kerana rumahnya berhampiran Sungai Klang.
"Jadi, ya, saya agak takut jika banjir berlaku lagi. Saya masih dalam kebingungan ekoran banjir pertama kerana semuanya berlaku begitu pantas.
"Kini, satu perkara dalam fikiran saya ialah di mana boleh saya cari wang untuk baiki kereta dan motosikal saya," ujarnya.
Namun, beliau berkata sekiranya berlaku banjir kedua, beliau akan lebih bersedia.
"Banyak makanan telah dibeli. Barang berharga saya sudah rosak jadi jika banjir datang lagi, ia tidak terlalu teruk," katanya.
Cik Ho Wei Ying dan suaminya, Encik Sunny Cheah, yang tinggal di Taman Sri Muda, Shah Alam, antara kawasan paling teruk terjejas, sememangnya berasa bimbang.
"Saya bimbang satu lagi gangguan bekalan elektrik. Tetapi kami bersedia dari segi makanan, lampu suluh dan alat pengecas telefon bijak," ujar Cik Ho.
Encik Cheah pula berkata beliau amat bimbang buat keluarga yang tinggal di unit aras pertama blok pangsapurinya.
Selain itu, Encik Edward Devadason, yang mengetuai pasukan sukarelawan di Taman Sri Muda, berkata fobia banjir berlaku lagi sangat nyata di lapangan.
"Walaupun terdapat begitu banyak kebimbangan, orang ramai lebih bersedia. Kami tahu apa yang perlu dilakukan, ke mana hendak pergi.
"Paras air laut juga tidak setinggi banjir pertama dan isu pintu air pasang telah diuruskan. Sistem sokongan juga lebih diselaraskan," katanya.
Sementara itu, beberapa kawasan di negeri pantai timur Kelantan dan Terengganu dijangka dinaiki air dari 30 hingga 31 Disember, kata Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia.
Ramalan banjir itu dikeluarkan JPS susulan amaran Jabatan Meteorologi Malaysia bagi tempoh 25 Disember hingga akhir tahun.
Dalam kenyataannya, JPS berkata dua negeri itu berkemungkinan mengalami risiko banjir antara 8 malam pada 30 Disember dengan 8 pagi keesokan harinya, berikutan jangkaan kenaikan paras air melebihi paras bahaya di beberapa sungai. - The Star, ST.