SINGAPURA telah diperuntukkan kuota rasmi sebanyak 900 tempat haji bagi musim haji tahun ini (2023).
Peruntukan berkenaan diputuskan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi apabila Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam di Singapura, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad bertemu dengan Menteri Haji dan Umrah Saudi, Dr. Tawfiq bin Fawzan Al Rabiah dalam lawatannya ke Arab Saudi pada Isnin (9 Januari).
Satu perjanjian haji telah ditandatangani Encik Masagos bersama Dr Tawfiq ketika beliau menghadiri Persidangan dan Pameran bagi Perkhidmatan Haji dan Umrah di Jeddah.
Mengumumkan demikian dalam catatan Facebook pada Isnin (9 Januari), Encik Masagos berkata:
"Saya bersyukur dapat mengunjungi Arab Saudi sekali lagi atas undangan Menteri Haji dan Umrah Saudi, Dr Tawfiq Bin Fawzan Al-Rabiah, bagi menghadiri Persidangan dan Pameran Perkhidmatan Haji serta Umrah di Jeddah.
"Saya gembira memaklumkan bahawa Singapura telah diperuntukkan kuota rasmi sebanyak 900 tempat Haji," jelas Encik Masagos.
Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), tambahnya, telah melancarkan portal MyHajSG baharu, wadah sehenti untuk membolehkan akses yang lebih mudah dan lancar dalam menguruskan permohonan haji bagi jemaah haji Singapura.
Portal berkenaan akan dibuka bagi permohonan haji baharu pada 21 Februari ini.
"Saya berharap portal ini dapat memberikan pengalaman pengguna yang lebih baik dan mempersiapkan bakal-bakal jemaah lebih awal untuk menunaikan haji," katanya.
Dalam kenyataannya pada Isnin menyusuli perjanjian yang ditandatangani, Muis berkata peruntukan 900 tempat haji 2023 itu adalah bagi bakal jemaah haji yang telah mendaftar di Sistem Pendaftaran Awal Haji (AHRS) serta memenuhi syarat dan keperluan haji 2023.
Tempat ini diperuntukkan berdasarkan kedudukan pendaftar yang menanti giliran dalam AHRS.
Dalam beberapa hari mendatang, Muis akan mengirim surat undangan kepada jemaah haji yang didapati layak dalam sistem berkenaan.
Melalui surat ini, bakal jemaah haji akan mengesahkan jika mereka berminat untuk dipertimbangkan bagi haji 2023 jika ditawarkan tempat.
Bakal jemaah haji yang menerima surat ini digalakkan untuk membalas kepada Muis dalam lingkungan garis masa yang ditetapkan.
Sehingga 1 Januari 2020, terdapat 35,000 bakal jemaah haji telah mendaftar di AHRS dan menunggu giliran menunaikan haji.
Memandangkan jumlah tunggakan yang besar serta berikutan situasi Covid-19, Singapura telah menggantung permohonan baharu untuk haji pada 2020.
Dengan kembalinya kuota tahunannya apabila Kerajaan Arab Saudi menyambung semula operasi pasca-pandemik haji, Singapura kini boleh mula mengatasi arus tunggakan dalam AHRS dan membenarkan permohonan baharu untuk haji dibuat oleh bakal jemaah haji.
Sehubungan itu, Muis membuka semula pendaftaran haji bagi umat Islam Singapura pada 21 Februari 2023.
Pendaftaran boleh dibuat melalui portal baharu, MyHajSG
Setiap pendaftaran meliputi yuran permohonan.
Mengambil kira keadaan ekonomi kini sesudah kita keluar daripada tempoh wabak Covid-19, Muis akan memberikan subsidi sebanyak $90 untuk memastikan yuran kekal berpatutan, dan pendaftar baharu hanya perlu membayar yuran permohonan sebanyak $240.
Ia sama dengan yuran sebelum pendaftaran digantung semasa pandemik.
Yuran permohonan ini akan meningkat secara beransur-ansur kepada $285 dari 1 Januari 2024 hingga 31 Disember 2025; dan $330 mulai 1 Januari 2026 dan seterusnya, untuk menggambarkan peningkatan kos bagi mentadbir pendaftaran haji.
Bayaran yang dinyatakan di atas tidak termasuk GST yang ditetapkan kini.
Semua pendaftaran dan urus niaga berkaitan haji dijalankan melalui portal MyHajSG.
Akses kepada sistem ini adalah melalui penggunaan Singpass.
Dengan adanya sistem pendaftaran haji dalam talian, tidak perlu pendaftaran dibuat secara fizikal di Muis.
Bakal jemaah haji yang berdaftar boleh menjejaki permohonan mereka dari papan pemuka peribadi yang menunjukkan nombor pendaftaran mereka, tarikh pendaftaran dan masa, status semasa pendaftaran dan bilangan pemohon di hadapan mereka dalam senarai menunggu.
Bagi pihak masyarakat Islam Singapura, Muis ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Arab Saudi atas usaha dan komitmen yang kuat untuk meningkatkan kebajikan dan keselamatan jemaah haji semasa menunaikan rukun Islam yang kelima ini.
"Muis percaya bahawa MyHajSG baharu akan memudahkan pendaftaran haji dengan lebih cekap dan mudah untuk bakal jemaah haji.
"Muis ingin menasihati bakal jemaah haji agar membuat persiapan awal untuk menunaikan haji.
"Mereka mestilah secara fizikal, bersedia dari segi mental, rohani dan kewangan apabila mereka menerima surat pemberitahuan daripada Muis.
"Muis juga ingin merakamkan penghargaan kepada bakal jemaah haji atas kesabaran mereka menunaikan rukun Islam yang kelima.
"Semoga Allah swt mengabulkan hajat mereka untuk melaksanakan haji mereka pada masa akan datang," kata Muis lagi dalam kenyataannya.