GERIK (Perak): Lelaki ditahan polis selepas dipercayai cuba membunuh dengan menolak isterinya hingga jatuh ke gaung di Kilometer 31.2 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli, di sini pada 27 Julai.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Zulkifli Mahmood, berkata maklumat kejadian diterima 2 petang pada hari yang sama melalui panggilan telefon oleh orang awam.
Pemanggil memaklumkan penemuan mangsa iaitu seorang wanita berusia 32 tahun yang keseorangan dan cedera di kawasan tersebut.
Siasatan awal mendapati suspek berusia 39 tahun yang juga suami mangsa membawanya dari ibu kota menuju Perak atas alasan mahu pulang ke kampung pada kira-kira 5.30 petang 26 Julai.
Bagaimanapun, sepanjang perjalanan, mereka bertengkar sehingga mangsa dikasari dan diugut bunuh oleh suaminya.
“Tiba di suatu tempat, suspek memberhentikan kereta dan mengugut mahu membunuh mangsa menggunakan sebilah pisau dan suspek turut mencekik leher mangsa.
“Mangsa terjun dari kereta tetapi suspek memaksa isterinya masuk semula (ke dalam) kereta dan terus memecut sehingga tiba di KM31.2 JRTB antara 4 dengan 5 pagi. Mereka bertengkar lagi di situ.
“Suspek kemudian menarik mangsa keluar dari kereta dan berlaku pergelutan di bahu jalan. Suspek kemudian menolak mangsa ke gaung,” katanya dalam kenyataan pada 1 Ogos.
Mangsa merangkak dari gaung ke bahu jalan
Encik Zulkifli berkata siasatan lanjut mendapati mangsa menyelamatkan diri dengan merangkak naik ke bahu jalan sebelum ditemui orang awam yang menghubungi polis dan kemudian mangsa dibawa dengan ambulans ke Hospital Gerik.
“Pemeriksaan pegawai perubatan mendapati mangsa mengalami kesan calar, luka serta lebam pada tubuh dan kini dirawat di Hospital Taiping,” ujarnya.
Beliau berkata suspek ditangkap pada 31 Julai oleh pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling, Kedah, kerana terdapat pembabitan suspek dalam kes yang berlaku di daerah pentadbiran IPD berkenaan.
“Suspek juga mempunyai beberapa rekod kesalahan lampau di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952; Akta Kesalahan Kecil; dan Kanun Keseksaan.
“Sejurus siasatan kes di Baling selesai, suspek akan ditangkap semula oleh pihak IPD Gerik untuk melengkapkan siasatan kes cubaan membunuh ini,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg