Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Suami isteri usia senja di Iran dituduh bunuh 2 anak, seorang menantu dalam kejadian berasingan

Jul 06, 2021 | 11:32 PM



TEHERAN: Pasangan berusia ini mula dikenali ramai apabila mereka diundang ke pentas selepas tamat tayangan filem anak mereka, Babak Khorramdin, seorang pengarah filem di Teheran. Mereka nampak dimamah usia dan pemalu. Si anak membantu ibunya meniti tangga pentas. Inilah situasinya lima tahun lalu. 



Kini, si anak sudah meninggal dunia. Ibu bapanya, Akbar Khorramdin, 81 tahun, dan isterinya, Iran Mousavi, 74 tahun, kembali lagi di mata masyarakat, kerana dituduh membunuh anaknya itu.



Dalam kisah jenayah keluarga yang mengejutkan warga Iran, mereka juga didakwa membunuh anak perempuan dan menantu mereka.



Mangsa dikatakan diberi dadah, dicerut, ditikam dan kemudian dicencang tubuhnya, jelas pihak berkuasa Iran.



Pasangan ini mengaku melakukan jenayah tersebut tetapi jika Khorramdin, seorang kolonel tentera pesara dan Mousavi, seorang suri rumah, menyesal di atas perbuatan mereka, mereka memang hebat menyorok emosi sedemikian.



"Saya tiada rasa bersalah pun ke atas pembunuhan yang saya lakukan. Saya membunuh mereka yang memang teruk moralnya," jelas Khorramdin dalam satu wawancara televisyen dari tahanannya.



Mousavi juga kelihatan tiada penyesalan.



"Kami mengambil keputusan bersama. Suami saya mengusulkan rancangan membunuh mereka dan saya setuju. Saya rapat dengan suami. Dia tidak pernah memukul saya atau mengherdik saya," katanya dalam wawancara televisyen sejurus ditangkap.



Hakim Mohammad Shahriari yang mengetuai sesi dakwaan jenayah di Teheran berkata, para penyiasat percaya motif pembunuhan itu adalah pergeseran keluarga. Pasangan ini sedang menjalani penilaian psikiatrik bagi menentukan kewarasan pemikiran mereka, jelas pihak berkuasa kepada media Iran.



Ramai warga Iran yang terkejut mendapat tahu cebisan tubuh anak mereka, Babak, 47 tahun, ditemui dalam tong sampah pada Mei.



Dalam keadaan warga Iran dipukul badai pandemik Covid-19, kekurangan vaksin dan ekonomi yang terjejas dek pelbagai sekatan, mereka turut terjejas dengan tuduhan ke atas pasangan usia senja ini.



Bagi mereka, rumah itu syurga manakala warga emas khususnya kaum ibu adalah insan yang dihormati. Justeru, mereka memberikan reaksi terkejut dengan perkembangan kes ini.



Foto di media Iran menunjukkan Khorramdin menggunakan baju tidur penjara sambil memberi isyarat tangan kemenangan. Beliau memberitahu pihak berkuasa beliau akan melakukannya berulang kali dan mungkin membunuh dua lagi anaknya jika beliau dibebaskan dari penjara kelak, lapor media di Iran.



Pasangan ini diberkas selepas pekerja pembersihan mengumpulkan sampah yang mengandungi beg berisi bahagian tubuh manusia pada 15 Mei. Serpihan mayat itu ditemui di kompleks apartmen terkenal Shahrak Ekbatan di mana Babak Khorramdin, seorang pengarah tinggal bersama ibu bapanya.



Pakar forensik menemui cap jari daripada potongan tangan yang ditemui dan mengenal pasti Babak sebagai mangsanya.



Apabila penyiasat menyemak keratan video kamera pengawasan dari lif bangunan itu pada malam sebelum bahagian tubuh itu ditemui, mereka ternampak rakaman pasangan itu mengangkat beg sampah besar dan beg bimbit, tambah pihak berkuasa.



Si ibu menahan pintu lif manakala si ayah pula beberapa kali kelihatan mengangkat beg sampah dan membetulkannya. Kadangkala dia kelihatan menatap cermin dan membetulkan topinya.



Apabila polis tiba di apartmen itu untuk menyoal siasat pasangan suami isteri ini, mereka mengaku membunuh anak mereka sehingga penyiasat yakin mereka membunuh bukan seorang anak tetapi ada lagi kes yang tidak dikenal pasti.



Dalam masa beberapa hari, pihak penyiasat ini menemui laporan kes individu yang hilang termasuk anak perempuan pasangan ini, Arezou, yang dilaporkan hilang pada 2018 dan suaminya, Faramarz, yang hilang pada 2011.



Pasangan ini tidak teragak-agak mengaku kedua-dua anak dan menantu mereka itu dibunuh oleh mereka juga.



Seperti dalam kes pembunuh bersiri, pasangan ini melakukan perkara rutin yang sama apabila mereka memberitahu penyoal siasat kisah mereka. Apa yang mereka lakukan adalah terlebih dahulu mencampurkan beberapa pil tidur untuk membuat mangsa tidak sedarkan diri. Kemudian, mereka mengikat mangsa, mencerut lehernya dan menikamnya berkali-kali. Akhir sekali, mereka memotong tubuh mangsa di tab mandi dan membuang cebisan tubuh mayat di beberapa tong sampah serata bandar.



Dalam wawancara televisyen, pasangan ini menjelaskan mereka membunuh anak mereka kerana tidak sukakan gaya hidup mereka. Mereka mendakwa anak lelaki mereka kasar secara fizikal, menghabiskan wang mereka dan bebas mengadakan hubungan seks dengan beberapa temanitanya.



Anak perempuan mereka didakwa kaki arak dan ketagihan dadah manakala suaminya pula memukul bantai dan menyalahgunakan dadah.



Teman-teman Babak dan Arezou, bagaimanapun, berkata tidak mungkin keterangan pasangan usia senja itu sejajar dengan peribadi teman mereka itu.



"Saya kenal Babak. Ia adalah perkara yang tidak boleh saya percayai dan pelik. Mereka kelihatan seperti keluarga biasa. Babak seseorang yang menghormati orang lain, tenang dan disegani," kata Encik Nima Abbaspour, pengarah filem berusia 46 tahun yang membantu Babak menghasilkan filem pertamanya.



Rakan sekelas dan jiran Arezou, Cik Jaleh, 47 tahun, pula menambah:



"Arezou seorang wanita pendiam. Dia tak pernah menyakiti orang lain dan dengar kata malah tiada teman lelaki sewaktu kami bersekolah atau selepas suaminya hilang."



Menurutnya lagi, selepas Arezou menghilang secara tiba-tiba, teman-teman lain akan bertanyakan keadaannya kepada ibunya. Si ibu pula memberitahu anaknya sudah berhijrah ke Turkey.



Minggu lalu, Mousavi bagaimanapun memberi keterangan yang berbeza daripada kisah awalnya mengenai hubungannya dengan suaminya dalam rakaman pita audio dari penjara yang diperdengarkan Agensi Berita Aktivis Hak Kemanusiaan, sebuah kumpulan hak asasi berpangkalan dari Washington, Amerika Syarikat.



Menurut Mousavi, suaminya menderanya malah merogol Arezou.



Di kompleks Shahrak Ekbatan, di mana pasangan itu tinggal selama 40 tahun, penduduk di situ mengingati mereka sebagai jiran yang sering membantu jiran lain menjaga anak-anak kecil, ramah bersembang dengan pekedai dan sering bersiar-siar di taman pada waktu petang.



"Susah nak percaya ada pembunuh dalam kalangan penduduk di sini," kata penduduk bernama Minoo, 51 tahun, ibu dua anak, yang enggan memberi nama penuhnya kerana takutkan keluarga ini.



Menurutnya lagi, pasangan itu ditemui setiap hari dengan mereka setakat mengucapkan "Hello". 



"Tak sangka pula apartmen bersebelahan rumah kami ini adalah rumah berhantu dengan pembunuh yang tiada orang ketahui sebelum ini," tambahnya. -  Agensi Berita



 



 



 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >