BORDEAUX: Perancis menyaksikan suhu cuaca mencatat paras tertinggi bulan ini, terutamanya di barat daya, di tengah-tengah gelombang haba yang melanda dari Maghribi, menurut khidmat ramalan cuaca Meteo-France, kelmarin.
Suhu cuaca mencecah 39.1 darjah Celsius (C) di Mont-de-Marsan di barat daya Landes dan 39 darjah Celsius di berdekatan Dax.
Ibu kota wilayah Bordeaux menyaksikan suhu mencecah 37.5 darjah - melepasi 37 darjah Celsius pada September 1987 - sedang Tarbes di penghujung selatan di Pyrenees mencatat 37.2 darjah Celsius, satu darjah lebih tinggi berbanding 35.8C pada 1964.
Kawasan Pau berjaya mengatasinya dengan suhu 38.9C, yang jauh lebih tinggi berbanding 36.3C yang dicatat pada 1970.
Malah kawasan yang sejauh 600 kilometer ke utara, di Nantes, suhunya kurang terik, mencecah 35.1C, yang tidak pernah didengar bagi kawasan itu bagi September.
Panas terik - yang disebabkan oleh musim panas yang menyaksikan kebakaran hutan di barat daya - disebabkan "udara panas dari Maghribi
dan disebabkan oleh taufan pascatropikal Danielle, yang kini tidak jauh dari perairan Portugal," menurut ramalan cuaca Meteo-France kepada AFP.
Perancis menyaksikan tiga gelombang haba antara Jun dan Ogos, disebabkan tekanan udara di Lautan Atlantik sedang sainstis membariskan beberapa faktor yang menjadi penyebab fenomena itu, juga sedikit sebanyak disebabkan oleh perubahan iklim.
Musim panas ini merupakan musim kedua terpanas yang pernah dicatatkan di Perancis, dengan suhu purata 2.3C lebih tinggi dari biasa, dan ditambah pula kebakaran hutan besar-besaran yang meranapkan sebahagian kawasan barat daya dan menyebabkan kemarau secara meluas serta ribut.
Satu lagi kebakaran hutan besar berlaku kelmarin di Saumos di pinggir barat Bordeaux sedang anggota bomba melaporkan usaha menyelamat kira-kira 200 orang sebagai langkah berjaga-jaga, media Perancis melaporkan.
Anggota bomba dibantu tiga pesawat dan dua helikopter sedang mereka bersiap sedia melawan api pada sebelah malam.
Menurut mereka, kebakaran itu telah meranapkan seluas 350 hektar di kawasan yang menyaksikan lebih 30,000 hektar kawasan hangus terbakar sejak beberapa bulan lalu.
Satu kebakaran kecil di timur negara itu di Herm, di luar Dax, telah menjejas 45 hektar kawasan.
Peramal kaji cuaca berkata berlawanan dengan musim panas, cuaca panas sekarang tidak akan kekal lama, dengan suhu dijangka turun mulai pertengahan minggu, kekal melepasi paras 30C semalam sebelum kembali seperti biasa menjelang hujung minggu.
Meteo-France menambah, beberapa kawasan termasuk di lembah Rhone, dijangka menyaksikan hujan lebat dan ribut petir.