Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Taleban mahu hubungan aman dengan negara dunia, tidak diasing

Aug 17, 2021 | 05:30 AM



Encik Naeem berkata jenis dan bentuk rejim baru di Afghanistan akan diberikan perincian tidak lama lagi, sambil menambah kumpulan Taleban tidak mahu hidup dalam keasingan dan mahukan hubungan antarabangsa yang aman.



"Kami telah mencapai apa yang dimahukan iaitu kebebasan untuk negara kami dan kemerdekaan untuk warga kami.



"Kami tidak akan membenarkan sesiapa untuk menggunakan tanah kami untuk menyasarkan sesiapa dan kami tidak mahu membahayakan sesiapa," ujar beliau.



Seorang pemimpin Taleban memberitahu Reuters bahawa kumpulan militan itu sedang disusun semula dari pelbagai wilayah dan akan menantikan sehingga pasukan asing meninggalkan negara itu sebelum membentuk struktur pemerintahan yang baru.



Pemimpin itu yang tidak mahu dikenal pasti berkata pejuang Taleban telah diarahkan supaya membenarkan rakyat menyambung semula kegiatan harian mereka dan tidak melakukan apa-apa untuk menakutkan orang awam.



"Kehidupan biasa akan diteruskan dalam cara yang jauh lebih baik, itu sahaja yang saya boleh katakan," ujar beliau kepada agensi berita Reuters menerusi pesanan WhatsApp.



Seorang jurucakap Jabatan Negeri Amerika berkata pada awal pagi semalam bahawa semua kakitangan kedutaan, termasuk Duta Ross Wilson, sudah dipindahkan ke lapangan terbang Kabul, menantikan usaha pemindahan dan bendera Amerika sudah diturunkan dan dialih dari pekarangan kedutaan.



Ratusan penduduk Afghanistan telah membanjiri lapangan terbang dengan bagasi mereka dan berlumba-lumba untuk mendapatkan tempat di salah satu penerbangan komersial yang terakhir berlepas dari negara itu sebelum pasukan Amerika mengambil alih kawalan trafik udara pada Ahad.



"Bagaimana mereka boleh menguasai lapangan terbang dan menentu syarat dan peraturan kepada warga Afghanistan?" soal Cik Rakhshanda Jilali, aktivis hak manusia yang sedang berusaha ke Pakistan.



"Ini adalah lapangan terbang kami tetapi kami melihat diplomat sedang dipindahkan sementara kami menunggu dalam ketidaktentuan," kata Cik Jilali, yang memberitahu Reuters menerusi WhatsApp, bahawa beliau telah menerima beberapa ancaman.



Lebih 60 negara Barat, termasuk Amerika Syarikat, Britain, Perancis dan Jepun, telah mengeluarkan kenyataan bersama yang mengatakan bahawa semua warga Afghan dan rakyat antarabangsa yang mahu meninggalkan negara itu, harus dibenarkan berbuat demikian.



"Warga Afghanistan berhak hidup dengan selamat dan bermaruah," ujar kenyataan itu.



"Kami masyarakat antarabangsa bersedia untuk membantu mereka."



Kumpulan bantuan, Emergency, berkata 80 orang tercedera dibawa ke hospitalnya di Kabul, sekali gus menyebabkan kapasitinya penuh dan berkata ia akan hanya menerima pesakit yang mengalami kecederaan mengancam nyawa.



Dalam satu pos Facebook, Encik Ghani berkata beliau telah meninggalkan negara itu untuk mengelak pertempuran dengan Taleban yang akan membahayakan jutaan penduduk Kabul.



Beberapa pengguna media sosial setempat di Kabul, menyifatkan Encik Ghani - yang tidak mahu mendedahkan lokasinya - sebagai pengecut kerana meninggalkan mereka dalam kekecohan.



Satu tweet dari akaun Kedutaan Afghanistan di India, yang sudah disahkan, berkata:



"Kami merasa malu."



SYARIAH



Di Washington, mereka yang menentang keputusan Presiden Joe Biden menamatkan perang paling lama Amerika, dilancarkan selepas serangan 11 September 2001, berkata kekecohan itu disebabkan oleh kepimpinan yang gagal.



Ramai warga Afganistan bimbang yang Taleban akan kembali kepada amalan keterlaluan untuk melaksanakan hukum Syariah.



Semasa pemerintahannya pada 1996 hingga 2001, kaum wanita tidak dibenarkan bekerja dan hukuman seperti merejam dan gantung telah dikenakan.



Kumpulan militan itu berusaha untuk menampilkan pendekatan lebih sederhana sambil berjanji menghormati hak wanita dan melindungi kededua warga asing dan rakyat Afghanistan.



"Kami bersedia untuk mengadakan dialog dengan semua tokoh Afghanistan dan akan menjamin mereka perlindungan yang diperlukan," kata Encik Naeem kepada Al Jazeera Mubasher TV.



Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Encik Antonio Guterres, menggesa Taleban dan semua pihak supaya mengawal diri dan melahirkan kebimbangan khusus tentang masa depan wanita dan anak perempuan di Afghanistan.



Pentagon telah meluluskan lagi 1,000 askar untuk membantu memindahkan warga Amerika dan Afghanistan yang bekerja untuk mereka, kata seorang pegawai Amerika.



Seorang pegawai pertahanan Amerika memberitahu Reuters pada malam Ahad di Washington bahawa sekitar 500 orang, sebahagian besar warga Amerika telah dipindahkan dan jumlah itu akan meningkat kepada 5,000 sehari apabila semua pasukan Amerika yang dirancangkan berada di Kabul.



Negara Eropah, termasuk Perancis, Jerman dan Belanda, juga berkata yang mereka sedang berusaha memindahkan warga mereka mahupun beberapa pekerja warga Afghanistan dari negara itu.



Russia berkata ia tidak melihat sebarang keperluan memindahkan kedutaannya buat masa ini.



Turkey pula berkata kedutaannya akan meneruskan operasi.




"Kami telah mencapai apa yang dimahukan iaitu kebebasan untuk negara kami dan kemerdekaan untuk warga kami. Kami tidak akan membenarkan sesiapa untuk menggunakan tanah kami untuk menyasarkan sesiapa dan kami tidak mahu membahayakan sesiapa."
- Encik Mohammad Naeem, jurucakap pejabat politik Taleban.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >