MUCUM (Brazil): Angka kematian akibat taufan yang membawa bersamanya hujan lebat dan banjir di selatan Brazil meningkat kepada sekurang-kurangnya 36 pada Rabu, kata pihak berkuasa, ketika wilayah itu bersiap sedia menghadapi cuaca lebih buruk.
Dengan air banjir memaksa beberapa penduduk naik ke bumbung rumah mereka, operasi mencari dan menyelamat besar-besaran sedang dijalankan, dengan seorang pegawai berkata lebih 1,000 orang sedang menunggu untuk diselamatkan.
Ribut itu, yang bermula Isnin, menyebabkan seluruh kawasan kejiranan tenggelam di wilayah selatan Rio Grande do Sul.
“Air naik begitu cepat, saya tidak sempat membawa apa-apa. Saya kehilangan segala-galanya,” kata Encik Paulo Roberto Neto Vargas, 39 tahun, seorang penduduk di bandar Roca Sales yang terjejas teruk.
Para pekerja menyelamat telah menemui enam mangsa yang meninggal dunia.
“Terdapat begitu ramai orang menjerit, meminta tolong,” katanya.
Banjir kilat dan tanah runtuh melenyapkan sebahagian besar komuniti yang terjejas, meninggalkan puing-puing rumah dan air berlumpur berwarna coklat.
Ia adalah kejadian terbaru dalam siri bencana cuaca buruk di Brazil, yang menurut pakar cuaca berkemungkinan menjadi lebih teruk akibat perubahan iklim.
Gabenor Eduardo Leite, yang menaiki jejambat di kawasan yang dilanda banjir, berkata beribu-ribu orang sedang menunggu untuk diselamatkan.
“Masih ramai keluarga terkandas di atas bumbung rumah mereka,” jelasnya.
Encik Leite, yang mengisytiharkan darurat, menyifatkan ia bencana cuaca paling dahsyat pernah melanda Rio Grande do Sul, ketika ratusan pekerja penyelamat, polis dan relawan meneruskan usaha untuk sampai ke kawasan yang terputus akibat banjir.
Lebih 5,300 orang telah dipaksa meninggalkan rumah mereka, dengan sekurang-kurangnya 52,000 penduduk dan 70 bandar terjejas kesemuanya, kata pihak berkuasa.
Encik Leite memberi amaran bahawa keadaan boleh menjadi lebih buruk dengan lebih banyak hujan pada lewat Rabu dan Khamis, hari kemerdekaan Brazil.
Presiden Brazil, Encik Luiz Inacio Lula da Silva, berkata beliau telah bercakap dengan gabenor dan menjanjikan sokongan pentadbirannya.
“Saya mengulangi bahawa pemerintah persekutuan bersedia untuk membantu rakyat Rio Grande do Sul dalam menghadapi krisis ini,” kata beliau. – AFP.