PETALING JAYA: Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, telah meminta kepada pihak polis supaya tidak menangkap mereka yang membuat kenyataan berunsur hasutan terhadapnya.
Sebaliknya Tunku Ismail berharap pertemuan dapat diatur antara beliau dan mereka yang terlibat, lapor laman The Star.
"Saya lebih suka jika pihak berkuasa dapat menganjurkan pertemuan antara saya dengan individu-individu tersebut dan memberikan mereka peluang untuk menyuarakan apa yang mereka mahu katakan kepada saya secara berhadapan," katanya.
Beliau berkata demikian menerusi kenyataan yang disiarkan di laman Facebook Johor Southern Tigers semalam.
Baru-baru ini seorang penyokong bola sepak Pahang, Muhammad Masyhur Abdullah ditahan polis kerana dituduh mengutuk Tunku Ismail yang juga pemilik Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta'zim (JDT) di Twitter.