Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:00
Asar
4:24
Maghrib
7:00
Isyak
8:15
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

ANALISIS BERITA: PILIHAN RAYA UMUM MALAYSIA

Tiada calon PM yang menonjol, pengundi masih pertimbang pilihan: Pengamat

Kempen setakat ini lebih condong kepada retorik personaliti, kurang berpusat pada isu dekat di hati pengundi seperti yang tertera dalam manifesto parti
Nov 12, 2022 | 08:03 AM



Tempoh berkempen bagi Pilihan Raya Umum ke-15 yang bermula Sabtu, kini berada di pertengahannya dengan calon-calon daripada parti berbeza rancak bertemu rakyat di serata negara. Namun, adakah usulan parti berhubung cara-cara memimpin Malaysia mencapai tahap kemajuan baru telah menyerlah atau semata-mata diselindungi hujah berdasarkan personaliti dan retorik politik yang masih berleluasa dalam tempoh tujuh hari pertama berkempen ini? BERITA HARIAN melaporkan.




DARI IPOH, PERAK: PENIAGA kecil-kecilan, Encik Dzul Dzeckery Jamshid Ajmain, 38 tahun, berkata beliau masih belum memutuskan parti yang ingin dipilih pada Hari Mengundi Sabtu depan.



Beliau mahukan pembaharuan, tetapi juga ingin politik yang stabil dan prihatin pada keperluan rakyat.



"Saya inginkan pemimpin yg berjiwa rakyat dan prihatin dengan masalah yang dihadapi rakyat pada masa ini.



"Juga, saya lebih gemar jika ada pemimpin baru dari generasi lebih muda... perlu beri peluang generasi baru untuk terajui kerajaan baru dengan cara baru," ujar bapa dua anak dari Ipoh, Perak itu.



Dilema yang membelenggu pengundi muda seperti Encik Dzul Dzeckery itu serupa dengan yang dihadapi sebahagian pengundi lain yang belum membuat keputusan berhubung pihak mana akan disokong pada 19 November nanti.



Namun cara calon dan parti menjalankan kempen dalam separuh pertama tempoh berkempen 14 hari mungkin tidak banyak membantu mereka membuat keputusan ini.



Kempen yang dijalankan setakat ini lebih condong kepada retorik personaliti dan kurang berpusat pada isu-isu yang dekat di hati pengundi yang juga tertera dalam manifesto parti, kata pengamat politik.



Sebagai contoh, dua pemimpin Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Azmin Ali, secara berasingan telah mendakwa kerajaan Pakatan Harapan kurang mengambil berat tentang keperluan Melayu.



Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim dari Pakatan Harapan pula memperuntuk sebahagian hujahnya semasa bertemu rakyat untuk membalas dakwaan itu dan menekankan masalah rasuah yang membelenggu pemimpin Barisan Nasional.



"Ceramah (rapat politik) biasanya digunakan sebagai senjata untuk menyerang pesaing, dan hanya segelintir pengundi benar-benar membaca manifesto secara teliti. Justeru, mereka lebih dekat dengan parti atau personaliti dalam parti," kata pengamat politik, Dr Oh Ei Sun, Felo Kanan di Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura.



Bersependapat, Zamil Kanan Iseas-Institut Yusof Ishak, Dr Norshahril Saat, akur kempen yang dijalankan oleh kesemua parti yang bertanding di PRU15 masih menunjukkan unsur politik berdasarkan personaliti.



"Apa yang bermain di minda ramai rakyat Malaysia adalah berhubung dasar ekonomi dan rasuah.



"Ada juga yang percaya kaum dan agama sebagai faktor utama. Selain itu, pilihan raya yang dijalankan semasa musim tengkujuh yang biasanya diiringi kejadian banjir ini juga menarik, dari sudut isu perubahan iklim," kata Dr Norshahril.



Tinjauan yang dilakukan beberapa pusat penyelidik mendapati sebahagian besar rakyat prihatin terhadap keadaan ekonomi, kos sara hidup dan kerajaan yang stabil.



Sebanyak 44 peratus daripada 1,622 peserta dalam tinjauan yang dijalankan oleh Ilham Centre mahukan pemulihan ekonomi, dengan 35 peratus mahukan pihak berkuasa mengurangkan kemiskinan dan kos sara hidup yang tinggi.



Merdeka Centre, dalam tinjauan melibatkan 1,209 peserta dari kesemua 222 kawasan undi parlimen pula, menunjukkan 74 peratus peserta berkata paling prihatin pada isu inflasi selain beberapa keprihatinan lain yang bersangkut-paut seperti membangkit ekonomi dan kestabilan politik.



Persatuan Penyelidik Negara dan 02 Malaysia dalam tinjauan masing-masing juga menyatakan isu yang paling utama adalah kos sara hidup yang meningkat, selain gaji, pekerjaan dan hutang negara.



Dalam pada itu, persaingan antara calon perdana menteri yang telah dinamakan oleh tiga gabungan parti utama kian sengit.



Misalnya, Datuk Anwar bertanding di Tambun, Perak, tetapi telah menjelajah hampir ke seluruh negara untuk memberi sokongan kepada wakil PH di tempat lain dan juga bertemu pengundi dalam usaha meyakinkan mereka kepada kelayakannya memimpin kerajaan Malaysia yang seterusnya.



Dua calon lain - Tan Sri Muhyiddin dan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dari BN - juga berkempen dengan cara yang sama di kawasan undi yang ditandingi dan juga diserata Malaysia untuk mengumpul sokongan.



Tambah menarik, dua lagi calon telah disebut-sebut sebagai bakal Perdana Menteri.



Pengerusi BN dan presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, dianggap calon Perdana Menteri oleh penyokongnya, sementara seorang lagi pemimpin BN, Encik Khairy Jamaluddin, yang bertanding di Sungai Buloh, Selangor telah menyuarakan hasrat untuk menjadi Perdana Menteri pada suatu hari nanti.



Dr Norshahril berkata buat masa ini, tiada calon Perdana Menteri yang menonjol, tetapi tindakan Encik Khairy yang menamakan dirinya sebagai Perdana Menteri bagi masa depan menarik perhatian.



Dr Oh pula berkata Datuk Anwar mempunyai kelebihan pada masa ini kerana lebih bijak menggunakan media dan lebih berkarisma.



Namun, hasil beberapa tinjauan yang dilakukan di Malaysia baru-baru ini memberi gambaran rakyatnya masih belum sebulat suara berhubung pilihan bagi Perdana Menteri.



Datuk Anwar mendahului pesaing lain sebagai pilihan Perdana Menteri utama dalam tinjauan yang dilakukan oleh Persatuan Penyelidik Negara dan 02 Malaysia.



Beliau diikuti Datuk Ismail Sabri di tempat kedua dan Encik Khairy di tempat ketiga. Datuk Ahmad Zahid tidak dinamakan dalam senarai itu.



Namun satu tinjauan yang dilakukan Ilham Centre menunjukkan Datuk Ismail Sabri sebagai pilihan utama utuk menjadi Perdana Menteri, diikuti oleh Tan Sri Muhyiddin dan Datuk Anwar.



Sekitar 21 juta rakyat Malaysia layak mengundi di PRU15, dengan hampir 1.4 juta pengundi berusia 18-20 tahun, kata Suruhanjaya Pilihan Raya negara itu.



Ini adalah tambahan lebih enam juga pengundi berbanding pada PR14 pada 2018, yang melibatkan 14.9 juta pengundi.



Bilangan pengundi yang melonjak ini disebabkan pindaan perlembagaan yang menurunkan usia mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun.



Pindaan itu juga membolehkan setiap rakyat Malaysia berusia 18 tahun didaftarkan secara automatik sebagai pengundi.




"Satu undi untuk Pakatan Harapan (PH) adalah satu undi untuk Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang meminggirkan Melayu, Islam dan Bumiputera.

Kalau kita yakin DAP akan pertahankan Islam dan orang Melayu, kita silap. Jangan mengundi PH.

Kita harus memastikan Barisan Nasional (BN) kembali memerintah dan agenda memperkasa semua kaum akan dikekalkan."

- Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, calon Perdana Menteri Barisan Nasional (BN).




"Biar saya beri jaminan... kalau 20 November saya dinobatkan sebagai Perdana Menteri, yang pertama saya lakukan adalah potong gaji dan elaun Perdana Menteri.

Menteri-menteri saya akan runding kemudian tapi untuk Perdana Menteri... kalau keadaan ekonomi seperti sekarang, saya tak sanggup ambil gaji sebagai Perdana Menteri."

- Datuk Seri Anwar Ibrahim, calon Perdana Menteri Pakatan Harapan (PH).




"Saya berjanji sekiranya saya diberi mandat sekali lagi dan dipilih untuk memimpin kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada 19 November ini, perkara pertama yang akan kita buat adalah melaksanakan agenda penting membela nasib rakyat.

Nasib kumpulan B40 dan anak muda yang tidak ada pekerjaan adalah antara yang akan diberi perhatian utama. Bagi saya dan pimpinan PN, soal mengurus kehidupan rakyat sama penting dengan soal menyelamatkan nyawa rakyat."

- Tan Sri Muhyiddin Yassin, calon Perdana Menteri Perikatan Nasional (PN).




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >