Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Tikai bila Parlimen Malaysia harus sambung sidang

Kerajaan, Umno dan pembangkang tidak sekata berhubung pandangan Agong Parlimen harus bersidang 'secepat mungkin'
Jun 18, 2021 | 05:30 AM



NIBONG TEBAL: Pendirian kerajaan Malaysia selari dengan pandangan dizahirkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, bahawa sidang Parlimen harus diadakan secepat mungkin seiring amalan demokrasi, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.



Beliau berkata kerajaan pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak pernah mengatakan Parlimen tidak akan bersidang.



"Dalam konteks sidang Parlimen, Perdana Menteri sendiri selaku Ketua Majlis mengatakan beberapa hari lalu Parlimen akan bersidang.



"Maka, bagi saya pandangan dizahirkan Yang di-Pertuan Agong adalah selari dengan hasrat kerajaan untuk mengadakan sidang Parlimen pada masa sesuai supaya proses demokrasi ini akan terus disuburkan," katanya.



Kelmarin, Al-Sultan Abdullah menzahirkan pandangan bahawa sidang Parlimen harus diadakan secepat mungkin.



Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin, berkata itu adalah bagi membolehkan rancangan pemulihan negara yang dibentang kerajaan dan pelaksanaan Ordinan Darurat 2021 dibahaskan oleh Ahli Dewan Rakyat.



Beliau berkata pandangan Agong itu dibuat selepas memperhalusi semua pandangan pemimpin parti politik, Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 dan sembah taklimat pakar daripada pelbagai agensi kerajaan.



Awal dari itu, Tan Sri Muhyiddin berkata Parlimen boleh bersidang semula apabila rancangan pemulihan negara berkaitan Covid-19 memasuki fasa ketiga.



Peralihan ke fasa ketiga akan berlangsung selepas purata kes harian koronavirus itu tidak melebihi 2,000, kapasiti unit rawatan rapi (ICU) mencukupi dan 40 peratus rakyat Malaysia sudah mendapat dos vaksin penuh.



Itu dijangka dapat dicapai pada September.



Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan, semalam berkata Al-Sultan Abdullah tidak menetapkan tarikh bagi sidang Parlimen bersidang dan hanya menitahkan agar ia diadakan secepat mungkin.



Timbalan presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata pandangan Agong itu wajar diterjemahkan segera dan mempolitikkan perkara itu tidak akan membantu pemulihan negara dengan pantas.



"Kerajaan wajar memanggil sidang Parlimen segera. Jangan berdolak-dalih dengan alasan Yang di-Pertuan Agong tidak bertitah bulan berapa Parlimen harus bersidang," katanya dalam kenyataan semalam.



Dalam Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu kelmarin, Al-Sultan Abdullah bersama-sama Raja-Raja Pemerintah turut menzahirkan pandangannya bahawa tidak wujud keperluan Perisytiharan Darurat dilanjutkan selepas 1 Ogos.



Al-Sultan Abdullah mengusulkan supaya Parlimen segera bersidang sementara Raja-Raja Pemerintah di peringkat negeri juga sudah berkenan Dewan Undangan Negeri (DUN) dibenarkan bersidang.



Majlis Presiden Pakatan Harapan dalam satu kenyataan semalam berkata Tan Sri Muhyiddin perlu meletak jawatan jika gagal menasihati Agong untuk membuka semula Parlimen secepat mungkin.



"Dan jika Perdana Menteri tetap bertegas enggan menasihati Tuanku segera, beliau harus mengambil tindakan terhormat dengan mengundurkan diri," kata kenyataan itu.



Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim; presiden Parti Amanah Negara, Encik Mohamad Sabu, dan setiausaha agung Parti Tindakan Demokratik (DAP), Encik Lim Guan Eng.



Bagaimanapun, menurut Perlembagaan Persekutuan, Perdana Menteri harus menasihati Agong mengenai bila parlimen harus bersidang semula.



Perintah Tetap Dewan Rakyat juga menyatakan Perdana Menteri perlu memutuskan sekurang-kurangnya 28 hari lebih awal untuk Dewan Rakyat bersidang semula.



Datuk Seri Takiyuddin berpendapat Parlimen mungkin dibuka semula selewat-lewatnya pada September. - Agensi berita.




"Dalam konteks sidang Parlimen, Perdana Menteri sendiri selaku Ketua Majlis mengatakan beberapa hari lalu Parlimen akan bersidang. Maka, bagi saya pandangan dizahirkan Yang di-Pertuan Agong adalah selari dengan hasrat kerajaan untuk mengadakan sidang Parlimen pada masa sesuai supaya proses demokrasi ini akan terus disuburkan."
- Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.



"Kerajaan wajar memanggil sidang Parlimen segera. Jangan berdolak-dalih dengan alasan Yang di-Pertuan Agong tidak bertitah bulan berapa Parlimen harus bersidang."
- Datuk Seri Mohamad Hasan, timbalan presiden Umno.



"Jika Perdana Menteri tetap bertegas enggan menasihati Tuanku segera, beliau harus mengambil tindakan terhormat dengan mengundurkan diri."
- Majlis Presiden Pakatan Harapan, dalam satu kenyataan.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >