Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Timbul kebimbangan ibu kota Afghanistan akan jatuh di tangan Taleban

Susuli kejayaan kumpulan tegar itu tawan kota kedua, ketiga terbesar Afghanistan
Aug 15, 2021 | 05:30 AM



KABUL: Taleban telah merampas kota kedua dan ketiga terbesar di Afghanistan dengan tentera pemerintah negara itu tidak berdaya menahan kemaraan gerakan tersebut sekali gus menimbulkan kebimbangan bahawa ibu kota, Kabul, bakal menjadi sasaran seterusnya.



Pegawai pemerintah mengesahkan Kandahar, di bahagian selatan dan sebuah hab ekonomi negara itu, kini di bawah penguasaan Taleban sedang pasukan bersenjata yang diterajui Amerika Syarikat menyempurnakan pengunduran mereka dari negara itu setelah dua dekad.



Selain Kandahar, Herat di bahagian Barat Afghanistan, turut jatuh ke tangan Taleban.



"Kota ini sudah menjadi medan pertempuran, semua penduduk sama ada sudah meninggalkan kota ini, atau bersembunyi di rumah masing-masing kerana terlalu takut," kata anggota majlis daerah Ghulam Habib Hashimi, menerusi panggilan telefon dari kota yang didiami sekitar 600,000 orang dan terletak di sempadan dengan Iran.



Pegawai pertahanan Amerika berkata pihaknya prihatin Taleban, yang menguasai Afghanistan sebelum Amerika merampas kuasa mereka selepas serangan 11 September ke atas negara itu, akan menyasarkan Kabul dalam beberapa hari ini.



Pentadbiran Presiden Amerika Joe Biden mengumumkan rancangan untuk mengerahkan tambahan 3,000 askar untuk membantu proses membawa kakitangan kedutaan Amerika di Kabul pulang, dengan Pentagon berkata kesemua askar itu akan tiba di Kabul hari ini.



Pada masa yang sama, Britain juga mengesahkan operasi ketenteraan bagi membawa warganya yang masih berada di Kabul pulang ke tanah air.



"Kabul adalah tempat yang berbahaya dengan ancaman ke atas kota itu dijangka meletus dalam beberapa hari tapi jelas sekali... jika anda meneliti strategi Taleban, mereka sedang cuba memencilkan Kabul," kata jurucakap Pentagon John Kirby.



Jurucakap Rumah Putih pula mendedahkan Presiden Biden menerima taklimat secara kerap daripada pasukan keselamatan negaranya mengenai operasi membawa pulang rakyat Amerika.



Kedutaan Amerika di ibu kota Afghanistan itu telah mengarahkan kakitangan untuk menghapuskan semua bahan-bahan termasuk dokumen dan alat elektronik bagi mengurangkan risiko maklumat sensitif jatuh ke tangan Taleban.



Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pula berkata ia tidak mempunyai rancangan untuk mengeluarkan arahan bagi kakitangannya untuk meninggalkan Afghanistan meskipun kesemua pegawainya yang berpangkalan di beberapa wilayah berbeza di Afghanistan telah dibawa ke Kabul.



Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres memberi amaran bahawa keadaan di Afghanistan amat meruncing dan tidak dapat dikawal sambil menggesa semua pihak untuk mempertimbangkan keselamatan rakyat negara itu.



"Sudah tiba masanya untuk menghentikan serangan. Inilah masanya untuk berunding secara serius. Masanya adalah sekarang, untuk semua pihak berbincang dan mengelakkan perang saudara yang berpanjangan, atau pemencilan Afghanistan daripada dunia," kata beliau kepada wartawan.



Naib Presiden pertama Afghanistan Amrullah Saleh berkata selepas satu mesyuarat keselamatan yang dipengerusikan Presiden Ashfar Ghani bahawa pemerintahnya akan melakukan segala-galanya untuk mempertahankan negara itu daripada kemaraan Taleban.



Peperangan di Afghanistan itu telah menimbulkan keprihatinan timbulnya krisis pelarian setelah lebih 400,000 warga negara itu terpaksa meninggalkan negara tersebut, menurut pegawai PBB. - Reuters.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >