Timur Tengah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jeddah pamer pakaian ihram penyejuk pintar, lontar jamrah dengan kereta kabel

Nov 14, 2025 | 11:16 AM
Inovasi ‘Coolest Ihram’ dibangunkan oleh Saudia Group dipamerkan pada Persidangan dan Pameran Haji 2025 yang berlangsung dengan tema ‘Dari Makkah ke Seluruh Dunia’.
Inovasi ‘Coolest Ihram’ dibangunkan oleh Saudia Group dipamerkan pada Persidangan dan Pameran Haji 2025 yang berlangsung dengan tema ‘Dari Makkah ke Seluruh Dunia’. - Foto SAUDIA GROUP

JEDDAH:  Pakaian ihram pertama di dunia yang dilengkapi teknologi penyejukan berprestasi tinggi, dikenali sebagai ‘Coolest Ihram’ bersama cadangan pembinaan sistem kereta kabel untuk membantu jemaah rentan ketika melontar jamrah, menjadi tumpuan utama pada Persidangan dan Pameran Haji 2025 di Jeddah dari 9 hingga 12 November.

Dibangunkan oleh Saudia Group, ‘Ihram al-Abrad’ atau ‘Coolest Ihram’ digambarkan sebagai inovasi pertama di dunia yang mampu mengubah pengalaman haji pada musim panas yang ekstrem.

Menurut laporan Agensi Berita Saudi (SPA), ihram itu menggunakan teknologi berpaten ‘Triple Chill Effect’ yang boleh menurunkan suhu kulit sehingga dua darjah celsius dan mempercepat penyerapan serta pengeringan peluh.

“Matlamat kami adalah memastikan jemaah dapat menunaikan ibadah dengan lebih selesa dan selamat,” kata seorang wakil industri pada pameran tersebut.

“Teknologi ini membantu mengurangkan risiko strok haba, terutama ketika cuaca panas melampau,” tambah beliau.

Saudia Group menyifatkan inovasi ini sebagai satu kelebihan baru yang menyokong misi kerajaan untuk memodenkan perkhidmatan haji.

Fabrik pintar itu turut meningkatkan aliran udara, menjadikan ihram lebih ringan, nyaman dan sesuai dengan keadaan di tanah suci.

Selain teknologi penyejukan, idea pembinaan kereta kabel untuk mengangkut jemaah warga emas dan golongan berkeperluan khas turut mencuri perhatian. Projek tersebut dicadangkan oleh seorang pelajar Universiti King Abdulaziz, Cik Anhar Hamid Al-Luhiani, yang mendapat ilham selepas ibunya mengalami kesukaran semasa melontar jamrah.

“Tujuan saya adalah membangunkan sistem kereta kabel untuk jemaah warga emas dan jemaah kurang upaya supaya mereka dapat bergerak dari Muzdalifah ke Mina tanpa sesak dan tanpa terdedah kepada haba melampau,” katanya.

Menurut Cik Anhar, perjalanan berjalan kaki biasanya mengambil masa 30 minit, manakala bas sekitar 15 minit dan tren tujuh minit.

“Dengan kereta kabel, perjalanan hanya empat minit lebih cepat, selamat dan selesa,” jelasnya.

Gelombang inovasi turut diteruskan melalui pelbagai aplikasi baru yang dipamerkan.

Usahawan Saudi, Abdulaziz Al Shawair, memperkenalkan aplikasi AI Hadi yang menawarkan panduan digital lengkap bermula dari ketibaan jemaah sehingga mereka berangkat pulang.

“Ia aplikasi pintar yang mengatur perjalanan Haji secara menyeluruh, pendaftaran, panduan, pengangkutan pintar, dan maklumat masa terbaik untuk melakukan Umrah bagi mengelakkan kesesakan. Jemaah boleh menggunakannya sejak di negara asal sehingga tiba di Makkah,” katanya.

Satu lagi inovasi penting ialah aplikasi pemantauan kapasiti yang dibangunkan oleh syarikat baru Takween dari Universiti Sains dan Teknologi Raja Abdullah.

Aplikasi itu membantu pihak berkuasa memantau bilangan jemaah di lokasi padat secara masa nyata.

“Kami telah menandatangani perjanjian dengan Kementerian Haji dan Umrah untuk melaksanakan sistem ini,” kata Encik Essam Ewis.

“Ia membolehkan pengurusan kapasiti yang lebih tepat dan pantas,” tambah beliau.

Turut memeriahkan pameran ialah aplikasi ‘Pilgrim Pal’ dari Indonesia, yang membantu agensi haji mengurus penginapan, kewangan, pergerakan jemaah, dan menyediakan simulasi maya bagi persiapan haji dan umrah.

Sementara itu, pasangan usahawan Encik Mohammed Akoojee dan Cik Sumayya Suliman memperkenalkan ‘My Wudhu Companion’, sebotol air wuduk mudah alih yang direka untuk memudahkan jemaah berwuduk di kawasan sesak.

“Kami ingin memastikan jemaah dapat berwuduk di mana-mana dengan penggunaan air yang minimum,” jelasnya.

Zon inovasi di pameran tersebut menonjolkan idea-idea terkini, manakala Hackathon Zone menyediakan ruang bagi pencipta muda membangunkan penyelesaian praktikal untuk masa depan perkhidmatan haji. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg