Tindakan bunuh Kim Jong Nam ambil masa 5 saat: Laporan

KUALA LUMPUR: Tindakan mengenakan racun yang membunuh Encik Kim Jong Nam, abang tiri pemimpin Korea Utara, Encik Kim Jong Un, di Kuala Lumpur International Airport 2 (KLIA2) Isnin (13 Feb) mengambil masa kurang lima saat, lapor harian Malaysia New Straits Times (NST).

Encik Kim, 45 tahun, sedang berdiri dalam sekumpulan kecil orang di depan kaunter daftar masuk layan diri di lapangan terbang itu apabila penyerangnya, dikatakan dua orang wanita, bertindak, menurut laporan itu.

Seorang daripada mereka berdiri di depan Encik Kim untuk mengalih perhatian beliau manakala seorang lagi mengunci leher beliau dari belakang, dan mengenakan racun yang membunuh beliau tidak lama kemudian, kata laporan itu.

Ia membayangkan operasi itu dirakam oleh pelbagai litar tertutup kamera (CCTV) yang dipasang secara strategik di seluruh dewan perlepasan.

Pergerakan dua pembunuh wanita berkenaan selepas menjalankan tugas itu juga dirakam oleh kamera, kata akhbar tersebut.

Penyerang itu beredar secara berasingan. Difahamkan bahawa suspek wanita pertama yang ditahan di lapangan terbang itu pada Rabu adalah orang yang menyelesaikan tugas membunuh Encik Kim.

Dia berusia 28 tahun dan memegang pasport Vietnam yang mengenal pasti dia sebagai Doan Thi Huong.

Seorang lagi wanita, berusia 25 tahun dan memegang pasport Indonesia, juga telah ditahan berhubung kematian Encik Kim.

Dikenal pasti oleh polis Malaysia sebagai Siti Aishah dari Serang di jawa Barat, dia serta suspek wanita pertama diperintah oleh mahkamah Malaysia pada Khamis (16 Feb) supaya ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.

Pengarah Polis Cawangan Khas Persekutuan Mohamad Fuzi Harun memberitahu NST polis "mempunyai alasan untuk percayai ini mungkin kerja ejen asing".

"Pasti ada individu lain terlibat, selain daripada dua penyerang itu," katanya.

NST mendapat tahu mungkin salah seorang penyerang itu sebenarnya seorang lelaki yang menyamar sebagai wanita.

Lelaki itu mungkin ejen berusia 40 tahun daripada Biro Peninjauan Umum, iaitu agensi perisikan Korea Utara yang menguruskan operasi rahsia negara itu, lapor NST, tanpa memetik sembarang sumber.

Sementara itu, sumber rapat dengan proses bedah siasat mayat Encik Kim di Hospital Kuala Lumpur memberitahu NST tidak ada luka tusukan pada badan atau mukanya, tetapi beliau nampaknya mengalami tekanan darah tinggi pada masa kematiannya.