PERDANA Menteri, Encik Lee Hsien Loong, sebentar tadi melahirkan rasa terkejut dan sedih atas tragedi yang menimpa pesawat MH17 yang terhempas di Ukraine.
Seramai 280 penumpang dan 15 anak kapal terbunuh setelah pesawat Boeing 777 itu ditembak jatuh oleh peluru berpandu darat-ke-udara yang dipercayai dilakukan pihak militan.
Dalam kenyataan yang dimuatkan di Facebook pada 12.18 tengah malam tadi, Encik Lee berkata:
"Terkejut dan sedih mendengar tentang pesawat Malaysian Airlines yang terhempas di Ukraine, dekat sempadan Russia.
"Doa dan ingatan kita kepada penumpang dan anak kapal dan keluarga mereka."
Agensi berita Reuters melaporkan, pesawat MH17 telah ditembak jatuh oleh militan di timur Ukraine.
Dalam pada itu, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak, melahirkan rasa terkejut mengenai kejadian yang berlaku.
Dalam kenyataan yang dimuatnaikkan di laman Twitter, beliau berkata:
"Saya terperanjat mendengar laporan bahawa pesawat MH17 terhempas. Kami memulakan siasatan segera," ujarnya.
Sementara itu, Presiden Amerika Syarikat, Encik Barack Obama, telah diberi taklimat berhubung kejadian yang berlaku.