Trump dijangka umum beberapa pelantikan jawatan Kabinet

BEDMINSTER (New Jersey): Bakal Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, menamatkan hujung minggu lalu dengan mengadakan beberapa mesyuarat bersama orang yang sedang dipertimbang menjadi anggota Kabinetnya.

Beliau menggambarkan beberapa pelantikan baru akan dibuat, selepas mesyuarat di kelab golf beliau di luar New York itu.

Jutawan daripada parti Republikan itu memberi isyarat beliau sedang menimbangkan dengan serius pesara jeneral Tentera Laut James 'Dog Gila' Mattis, 66 tahun, sebagai ketua Pentagon, dengan menghimpunkan pujian ke atasnya.

Ketika ditanya di Kelab Golf Nasional Trump di New Jersey apakah beliau tidak lama lagi akan mendedahkan pencalonan baru, Encik Trump memberitahu pemberita "Betul", mengesahkan beliau telah "membuat beberapa tawaran".

Tidak jelas apakah beliau merancang membuat sembarang pengumuman pada lewat Ahad waktu tempatan (Isnin, 21 Nov, waktu Singapura), sama ada dari Bedminster atau selepas pulang ke Menara Trump di Manhattan.

Selain Jeneral Mattis, nama teratas dalam senarai tetamu ialah Gabenor Republikan bagi New Jersey, Encik Chris Christie, yang baru-baru ini digulingkan sebagai pemimpin pasukan peralihan Encik Trump; bekas Mayor New York, Encik Rudy Giuliani; dan tokoh imigresen tegar, Encik Kris Kobach.

Bakal Presiden itu jelas mahu mencari orang daripada pelbagai latar belakang, daripada orang kuat parti kepada ketua perniagaan kepada bekas pesaingnya.

Antara pilihan Encik Trump bagi jawatan lain utama setakat ini - peguam negara, penasihat keselamatan negara dan ketua Rumah Putih - dikritik tokoh Demokrat dan pengkritik lain atas alasan hak asasi.

Pada Sabtu, beliau menemuramah musuhnya semasa kempen pilihan raya, Encik Mitt Romney, bagi jawatan setiausaha negara, yang dilaporkan didambakan Encik Giuliani.

Orang lain yang ditemui Encik Trump pada Ahad termasuk Encik Wilbur Ross, bagi jawatan setiausaha perdagangan; pelabur global David McCormick; pelabur hartanah Jonathan Gray; dan Bob Johnson, pengasas Black Entertainment Television (BET).

Tokoh pilihan Encik Trump setakat ini termasuk Senator Jeff Sesyen, yang sangat konservatif, sebagai peguam negara; anggota kongres agresif Mike Pompeo sebagai pengarah Agensi Perisikan Pusat (CIA); leftenan jeneral bewrsara Michael Flynn sebagai penasihat keselamatan negara; dan Encik Steve Bannon sebagai ketua strategi. - AFP

Waktu Solat

Subuh
5:28
Syuruk
6:50
Zuhur
12:53
Asar
4:16
Maghrib
6:53
Isyak
8:07
3 HR PSI: 41
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.