Trump 'menyesal' gajikan Sean Spicer sebagai setiausaha akhbar: CNN

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, kecewa dengan prestasi Setiausaha Akhbar Rumah Putih Sean Spicer dan menyesal menggajikan beliau, lapor CNN, yang memetik pelbagai sumber.

CNN berkata Rumah Putih sedang menggiatkan usaha mencari seorang pengarah komunikasi baru dalam usaha meringankan beban Encik Spicer.

Beliau berkhidmat sebagai setiausaha akhbar Rumah Putih merangkap pengarah komunikasi bagi pentadbiran baru itu - peranan yang biasanya dimainkan oleh dua kakitangan, kata CNN.

Bekas jurucakap peralihan Trump, Encik Jason Miller, pada asalnya dijangka berkhidmat sebagai pengarah komunikasi Rumah Putih, tetapi beliau berundur sebelum Encik Trump mengambil alih jawatan kerana mahu menghabiskan lebih banyak masa bersama keluarga.

Encik Spicer sekutu rapat ketua kakitangan Rumah Putih, Encik Reince Priebus. Menurut sumber rapat dengan proses pengambilan pekerja, Encik Trump kecewa dengan Encik Priebus atas pemilihan Encik Spicer bagi jawatan itu, kata CNN.

"Priebus memberi jaminan mengenai Spicer, bertentangan daripada naluri Trump," kata sumber itu kepada CNN.

Presiden "menyesal setiap hari dan menyalahkan Priebus", tambah sumber itu.

Tetapi seorang pegawai kanan pentadbiran berkata Encik Trump menyokong Encik Spicer "100 peratus", kata CNN.

Sumber berasingan West Wing menolak tanggapan bahawa Encik Spicer tiba-tiba tidak popular di sisi Encik Trump, dengan berkata "ia tidak benar sama sekali".

Pelbagai sumber memberitahu CNN bahawa Encik Spicer bukan pilihan pertama Encik Trump sebagai setiausaha akhbar.

Encik Spicer dikritik hebat semasa dua minggu pertama menjalankan tugas.

Dalam penampilan pertamanya di bilik taklimat Rumah Putih pada hari pertama Presiden Trump bertugas, beliau memarahi pemberita, dengan menuduh mereka sengaja mengurangkan angka hadirin di malis pelantikan rasmi Encik Trump.

Namun dalam kritikannya terhadap media, Encik Spicer menggunakan data tidak lengkap dan kenyataan meragukan semasa menguatkan hujahnya.

Galeri Foto