BANGKOK: Tujuh orang cedera, seorang daripadanya cedera parah, selepas sekumpulan lelaki bersenjata melepaskan tembakan ke arah para pembantah antikerajaan Thai di Bangkok awal pagi ini.
Kejadian itu meningkatkan lagi kebimbangan mengenai lebih banyak insiden ganas yang akan menjelang apabila para pembantah itu cuba "menutup" ibu kota Thailand itu lusa dalam usaha mereka menggulingkan Perdana Menteri Yingluck Shinawatra.
"Dua kejadian menembak berlaku pada awal pagi ini di persimpangan dekat kawasan pelancongan Khao San Road. Kesemuanya tujuh orang cedera, sebahagian besar daripada mereka adalah pembantah antikerajaan. Kami masih menyiasat siapa para lelaki bersenjata itu, kata ketua polis Thai, Jeneral Adul Saengsingkaew.
Salah seorang daripada pembantah yang cedera itu berada dalam keadaan kritikal, menurut Pusat Perubatan Erawan yang memantau hospital-hospital di Bangkok.
Kejadian itu menyusuli pertempuran antara para penyokong kerajaan Thai dengan para pembantah, kelmarin, di luar kawasan Bangkok yang menyebabkan sekurang-kurangnya enam orang cedera. - Reuters.