Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Ujian peluru berpandu Korea U semakin bimbangkan dunia

Jan 18, 2022 | 05:30 AM



DI tengah-tengah kebimbangan dunia terhadap penularan Covid-19, Korea Utara terus mengekalkan kesiapsiagaannya dalam menghadapi ancaman musuh nyata - Korea Selatan dan Amerika Syarikat (AS).



Tanpa sebarang isyarat awal, ia telah melancarkan peluru berpandu balistik pada 11 Januari lalu, kata pengawal pantai Jepun - pelancaran kedua seumpamanya dalam tempoh kurang seminggu selepas pemimpinnya, Encik Kim Jong Un, menggesa tentera untuk membuat lebih banyak kemajuan ketenteraan.



Tentera Korea Selatan juga mengesahkan pelancaran "projektil tidak dikenal pasti," tanpa mengulas lanjut.



Minggu lalu, Korea Utara berkata ia melepaskan "peluru berpandu hipersonik" yang berjaya mengenai sasaran pada 5 Januari lalu.



Ujian bersenjata nuklear yang dilancarkan oleh Korea Utara itu menggariskan ikrar Tahun Baru Encik Jong Un untuk memperkukuh tentera bagi menangani situasi antarabangsa yang tidak stabil di tengah-tengah rundingan terhenti dengan Korea Selatan dan Amerika Syarikat.



Ujian peluru berpandu itu dikatakan tepat mengenai sasaran sejauh 700 kilometer, kata Agensi Berita Pusat Korea (KCNA).



Negara yang terbabit dalam pertikaian dengan negara komunis itu beranggapan, pelancaran tersebut adalah langkah Pyongyang dalam mempamerkan aset pertahanannya ketika rundingan nuklear dengan AS mencapai jalan buntu.



Difahamkan, ia adalah ujian kedua Korea Utara mengenai peluru berpandu hipersonik, senjata canggih sekali gus menandakan kemajuan teknologi terkini dalam pembuatan senjata nuklear di negara itu.



Peluru berpandu hipersonik bergerak jauh lebih pantas dan lebih tangkas daripada peluru berpandu normal, menjadikannya lebih sukar untuk sistem pertahanan peluru berpandu memintasnya.



"Ujian berkenaan turut mengesahkan semula kawalan penerbangan dan kestabilan peluru berpandu dalam peringkat penerbangan aktif dan menilai prestasi teknik pergerakan sisi baru yang digunakan pada peluru berpandu hipersonik," kata KCNA.



Pelancaran itu juga mengesahkan ketahanan sistem peluru berpandu dalam keadaan cuaca musim sejuk.



AS mengecam pelancaran tersebut dan menggesa Pyongyang kembali ke meja rundingan.



"Ujian peluru berpandu ini juga melanggar beberapa resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan menimbulkan ancaman kepada negara jiran dan masyarakat antarabangsa," kata jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat.



Tindakan terbaharu Korea Selatan melancarkan ujian peluru berpandu balistik dikecam keras Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) minggu lalu.



Badan dunia itu menyifatkan tindakan Pyongyang sebagai membimbangkan dan mendesak kepemimpinan komunis itu mematuhi kewajipan antarabangsa.



"Kita sangat bimbang dengan perkembangan terbaru ini dan menyeru supaya kepemimpinan Korea Utara untuk kembali mematuhi peraturan di bawah resolusi Majlis Keselamatan dan meneruskan rundingan dengan pihak lain.



"Kita yakin dan percaya rundingan diplomatik sebagai satu-satunya cara untuk mencapai keamanan berpanjangan dan pengawalan senjata nuklear sepenuhnya di Semenanjung Korea," katanya di New York pada 11 Januari lalu.



Dalam usaha meredakan ketegangan politik, enam negara, termasuk AS dan Jepun, pada hari yang sama mendesak Korea Utara untuk menghentikan tindakan yang mengancam kestabilan.



Menerusi kenyataan bersama di PBB, empat negara lain iaitu Perancis, Britain, Ireland dan Albania turut menyatakan desakan sama terhadap Korea Utara, selain menggesa supaya mengadakan dialog ke arah penghapusan nuklear secara sepenuhnya.



"Tindakan ini meningkatkan risiko untuk kesilapan berlaku dan mengundang ancaman terhadap kestabilan serantau.



"Setiap peluru berpandu yang dilancarkan bukan sekadar meningkatkan keupayaan Republik Demokratik Rakyat Korea (DPRK) tetapi memperluaskan dagangan senjata kepada pelanggan dan pengedar senjata haram di seluruh dunia," kata Duta AS ke PBB, Cik Linda Thomas-Greenfield, ketika membacakan kenyataan bersama, sempena sidang tertutup UNSC. - Agensi berita.




"Tindakan ini (lancarkan peluru berpandu) meningkatkan risiko untuk kesilapan berlaku dan mengundang ancaman terhadap kestabilan serantau.

Setiap peluru berpandu yang dilancarkan bukan sekadar meningkatkan keupayaan Republik Demokratik Rakyat Korea (DPRK) tetapi memperluaskan dagangan senjata kepada pelanggan dan pengedar senjata haram di seluruh dunia.''

- Duta AS ke PBB, Cik Linda Thomas-Greenfield, ketika membacakan kenyataan bersama, sempena sidang tertutup Majlis Keselamatan PBB.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >