Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Ukraine, Russia rancang terus rundingan sedang ratusan mayat ditemui

Apr 05, 2022 | 05:30 AM



KYIV: Ukraine dan Russia dijadual bertemu sekali lagi semalam, sedang pihak berkuasa Ukraine berkata mereka sedang menyiasat kemungkinan jenayah perang dilakukan Moscow selepas menemui ratusan mayat di sebuah bandar berdekatan ibu kota Kyiv.



Terdapat sedikit tanda kejayaan dalam usaha rundingan menghentikan perang di Ukraine, walaupun ketua perunding Russia, Encik Vladimir Medinsky, berkata rundingan akan disambung semula melalui persidangan video.



Rundingan itu diadakan sedang terdapat laporan mengenai mayat bergelimpangan di jalan-jalan Bucha, sebuah bandar 37 kilometer ke barat laut Kyiv.



Beberapa mayat ditemui dalam keadaan diikat dan ditembak dari jarak dekat, di merata bandar itu berikutan pengunduran tentera Kremlin.



Timbalan Datuk Bandar Bucha, Encik Taras Shapravskyi, berkata 50 daripada kira-kira 300 mayat, ditemui selepas tentera Russia berundur dari bandar itu lewat minggu lalu, adalah mangsa pembunuhan tanpa perbicaraan oleh tentera Russia.



Kementerian pertahanan Russia berkata dalam satu kenyataan kelmarin bahawa semua gambar dan video yang diterbitkan pihak berkuasa Ukraine yang mendakwa "jenayah" oleh tentera Russia di Bucha adalah "satu provokasi," dan tiada penduduk Bucha mengalami sebarang keganasan di tangan tentera Russia.



Satu imej satelit menunjukkan sebuah parit besar sepanjang 45 kaki (13.7 meter) digali di kawasan sebuah gereja Ukraine dengan satu kubur besar ditemui selepas tentera Russia berundur dari bandar Bucha, berdekatan ibu kota Kyiv.



Syarikat satelit Amerika Syarikat, Maxar Technologies, yang mengumpul dan menerbitkan imej satelit Ukraine, berkata petanda pertama penggalian kubur besar-besaran di Gereja St. Andrew dan Pyervozvannoho All Saints itu telah mula dilihat pada 10 Mac.



"Imej lebih baru pada 31 Mac menunjukkan tapak kubur dengan parit sepanjang kira-kira 45 kaki di bahagian barat daya kawasan berhampiran gereja," ujar Maxar.



Wartawan Reuters dan AFP yang melawat bandar Bucha Sabtu lalu melihat mayat bergelimpangan di jalan-jalan di bandar itu, 37 kilometer barat laut ibu kota Kyiv.



Sebanyak 20 mayat memakai pakaian awam. Ada mayat dalam keadaan terlentang, dan ada pula yang tertiarap.



Tiga daripada mereka jatuh bersama basikal, manakala yang lain, jatuh bersebelahan kereta yang penuh dengan kesan tembakan.



Satu kubur besar berdekatan sebuah gereja masih tidak ditutup, dengan tangan dan kaki mayat dilihat terkeluar daripada tanah.



"Semua orang ini ditembak di belakang kepala," kata datuk bandar, Encik Anatoly Fedoruk, kepada AFP.



Gambar kemusnahan dan keganasan yang jelas terhadap orang awam mencetuskan kecaman meluas terhadap Russia dan presiden negara itu, Encik Vladimir Putin.



Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Encik Antony Blinken, menyifatkan imej-imej di Bucha itu sebagai satu kejadian amat menyedihkan, manakala Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Encik Antonio Guterres, menggesa siasatan bebas dijalankan.



"Putin dan penyokongnya akan merasai akibatnya," kata Canselor Jerman, Encik Olaf Scholz, sambil menambah, sekutu Barat akan bersetuju dengan sekatan selanjutnya dalam beberapa hari mendatang.



Menteri Pertahanan Jerman, Cik Christine Lambrecht, berkata Kesatuan Eropah (EU) mesti membincangkan larangan mengimport gas Russia - satu perubahan besar daripada penentangan Berlin sebelum ini terhadap idea larangan tersebut.



Sementara itu, Russia meminta Majlis Keselamatan PBB bersidang semalam untuk membincangkan apa yang Moscow panggil "provokasi pihak radikal Ukraine" di Bucha.



Russia sebelum ini menafikan menyasarkan orang awam dan telah menolak dakwaan jenayah perang dalam apa yang disebutnya sebagai "operasi ketenteraan khas" yang bertujuan menghapuskan elemen Nazi dan mengurangkan kemampuan tentera Ukraine.



Ukraine berkata ia telah diceroboh tanpa provokasi.



Pemerhati Hak Asasi Manusia (HRW) berkata ia telah mendokumenkan "beberapa kes tentera Russia melakukan pelanggaran undang-undang perang" di wilayah Chernihiv, Kharkiv dan Kyiv di Ukraine.



Menteri Luar Ukraine menyeru Mahkamah Jenayah Antarabangsa untuk mengumpul bukti terhadap apa yang disebutnya jenayah perang Russia.



Menteri luar Perancis dan Britain berkata negara mereka menyokong sebarang siasatan sedemikian.



Namun, pakar undang-undang berkata pendakwaan terhadap Encik Putin atau pemimpin Russia lain akan menghadapi halangan besar dan boleh mengambil masa bertahun-tahun. - Reuters.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >