SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Umno beri PN 14 hari untuk panggil sidang Parlimen

Umno beri PN 14 hari untuk panggil sidang Parlimen

Jun 22, 2021 | 5:30 AM

Umno beri PN 14 hari untuk panggil sidang Parlimen

d8cc2506-a9a0-47e2-bb9d-c6e4a7b34427
-

PETALING JAYA: Umno memberi tempoh 14 hari kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk memanggil sidang Parlimen susulan titah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu supaya Dewan Rakyat bersidang semula secepat mungkin.

Presidennya, Datuk Ahmad Zahid Hamidi dalam kenyataan semalam berkata, kegagalan kerajaan mematuhi titah itu dianggap satu bentuk penderhakaan dan tidak menghormati institusi raja-raja.

"Sebagai sebuah parti yang diasaskan atas tujuan memelihara dan membela institusi Raja-raja Melayu sebagaimana termaktub dalam Fasal 3 Perlembagaan Umno, mesyuarat khas Majlis Kerja Tertinggi akan diadakan bagi memuktamadkan tindakan selanjutnya."

Rabu lalu, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah sidang Parlimen perlu diadakan secepat mungkin untuk membahaskan Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara kerana menyedari peranan penting Parlimen bagi membincangkan isu berkaitan Covid-19.

Ia disusuli kenyataan bersama Raja-raja Melayu yang berpandangan tiada keperluan untuk darurat dilanjutkan selepas 1 Ogos dan menggesa Dewan Undangan Negeri bersidang semula secepat mungkin.

Datuk Ahmad Zahid berkata, Parlimen perlu bersidang segera untuk membincangkan pelbagai tuntutan dan harapan rakyat yang berada dalam kesempitan susulan wabak Covid19, selain memastikan ketelusan dalam pentadbiran kerajaan.

"Tidak perlulah berdolak-dalik lagi istilah 'secepat mungkin' dan 'segera' yang digunakan dalam kenyataan media perihal sidang Parlimen yang hakikatnya menzahirkan kesepakatan Agong dan Raja-raja pemerintah."

Sesi pembukaan Parlimen bakal menjadi medan kepada kesemua parti politik termasuk Umno yang memungkinkan Datuk Ahmad Zahid memutuskan jajaran politik baru bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR) atau Parti Tindakan Demokratik (DAP).

Ketua Umno Bahagian Paya Besar, Datuk Ahmad Tajuddin Sulaiman berkata, keputusan itu tidak mustahil dilakukan presiden parti namun perlu dilakukan di dalam Dewan Rakyat.

Beliau pada masa sama menjelaskan, kemungkinan lain boleh berlaku termasuk kerjasama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dengan parti lain di luar kerajaan PN sendiri ekoran Umno menarik diri menyokong Bersatu selepas 1 Ogos ini.

"Keputusan dalam Dewan Rakyat dan Parlimen, muktamad, berwibawa, sah. Sebarang keputusan di luar dewan dalam bentuk Akuan Bersumpah (SD) dan sebagainya boleh dipertikaikan pada bila-bila masa menjadikan keputusan itu tidak muktamad.

"Pengiktirafan dunia terhadap kerajaan adalah juga bergantung kepada amalan demokrasi yang bertunjangkan semua keputusan di dalam Dewan Rakyat.

"Sebarang keputusan di luar dewan juga dianggap tidak demokratik dan kesan langsungnya negara-negara dunia yang beramalkan dengan amalan demokrasi akan mengetepikan Malaysia," katanya dalam kenyataan. - Agensi berita.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg