Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:00
Asar
4:24
Maghrib
7:00
Isyak
8:15
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

MENJELANG PILIHAN RAYA UMUM MALAYSIA

Umno, PKR saling tuding jari tentang masalah ekonomi

Oct 26, 2022 | 05:30 AM



UMNO menggariskan 10 kesalahan yang dilakukan oleh Pakatan Harapan (PH) yang memberi kesan kepada pentadbiran dan ekonomi negara sekali gus mahu pengundi menolak kerajaan 22 bulan itu pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 ini.



PH, yang merupakan gabungan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Amanah Negara (Amanah), Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) itu, didakwa gagal mentadbir negara sebaik saja menang pada PRU14 pada Mei 2018, sehingga merosakkan negara dari segi ekonomi, politik dan kehidupan masyarakat berbagai kaum.



Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata rakyat dan negara amat bernasib baik kerajaan itu hanya dapat bertahan 22 bulan saja, sekiranya PH diberi peluang lebih panjang lagi nescaya Malaysia menuju ke ambang kehancuran.



Dakwa Dr Ahmad Zahid, alasan PH bahawa tempoh 22 bulan itu tidak cukup panjang untuk mentadbir negara adalah tidak selari dengan pemikiran rakyat kini.



"Rakyat masa kini yang bijaksana berpendapat sebaliknya iaitu 'nasib baik PH cuma mentadbir 22 bulan, sekiranya lebih panjang nescaya Malaysia semakin rosak.



"Jadi jangan biarkan mereka fikir rakyat terlalu naif dan semudah itu untuk masuk ke perangkap yang sama," katanya pada hantaran di Facebook kelmarin.



Pengerusi Barisan Nasional (BN) antara lain mendakwa 10 kesalahan itu adalah kerajaan tersebut melantik peguam bela kepada Setiausaha Agung DAP, Encik Lim Guan Eng, sebagai Peguam Negara selain melantik anggota PKR sebagai Ketua Pesuruhjaya, Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM).



Menurutnya, Encik Lim sebagai Menteri Kewangan membuat kenyataan rasmi berbaur politik sehingga menjejas pasaran saham.



Begitu juga mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad turut membuat kenyataan yang menjejaskan hubungan diplomatik dan ekonomi Malaysia, perkembangan ekonomi jadi paling perlahan sejak suku ketiga 2009 sebelum penularan Covid-19.



"Kesalahan lain, kebajikan rakyat dikurangkan termasuk bantuan tunai dengan pelbagai alasan, antaranya, 'Barisan Nasional (BN) memanjakan rakyat'.



"Rakyat tidak patut rasa berhak mendapat wang tanpa melakukan sebarang kerja. PH juga tidak menghantar wakil membela Malaysia dalam isu tuntutan waris kumpulan Sulu, malah menulis surat 'mengaku salah'.



"Malaysia juga terlepas kedaulatan Batu Puteh apabila PH menarik balik semakan penghakiman. PH juga menjual aset negara dengan alasan pembaziran, tetapi hutang negara terus meningkat selain projek infrastruktur untuk rakyat diganggu dan diagihkan antara kroni," katanya.



Sehubungan itu, Presiden Umno mahu pengundi meyakini BN demi Malaysia bangkit untuk masa depan negara kembali cemerlang dan gemilang.



Sementara itu, Timbalan Presiden PKR, Encik Rafizi Ramli, berkata adalah sukar bagi BN untuk menang pada PRU15 kerana majoriti rakyat tidak puas hati dengan prestasinya.



Merujuk tinjauan statistik yang dibuat PKR, Encik Rafizi berkata kebanyakan rakyat tidak berpuas hati dengan kerajaan dan situasi ekonomi.



Katanya, berdasarkan statistik partinya, 84 peratus pengundi muda tidak berpuas hati dengan keadaan ekonomi Malaysia serta cara kerajaan mengendalikan masa depan mereka.



Encik Rafizi berkata PH akan berdepan tugas sukar untuk "memperbaiki" isu yang melanda negara jika gabungan itu menang pada PRU15.



Beliau menegaskan, bekas perdana menteri, Encik Najib Tun Razak, akan mengurangkan subsidi untuk rakyat apabila beliau menerajui kerajaan.



"Apabila PH menang pada 2018, harga minyak terpaksa distabilkan kerana subsidi mesti menjadi satu mekanisme paling baik untuk kita elakkan wang pergi (masuk) ke dalam poket mereka.



"Najib fikir bijak untuk potong subsidi ketika itu, tetapi lihatlah keadaan sekarang. Kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri tidak berani potong subsidi kerana mereka tahu ia satu kesilapan," katanya.




"Rakyat masa kini yang bijaksana berpendapat sebaliknya iaitu 'nasib baik PH cuma mentadbir 22 bulan, sekiranya lebih panjang nescaya Malaysia semakin rosak. Jadi jangan biarkan mereka fikir rakyat terlalu naif dan semudah itu untuk masuk ke perangkap yang sama."
- Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >