ABUJA: Bilangan kanak-kanak terpaksa melarikan diri daripada pemberontakan Boko Haram di Nigeria dan negara-negara jiran telah mencapai 1.4 juta, menurut Tabung Kemanusiaan Kanak-Kanak Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) pada Jumaat (18 Sep).
Kira-kira 500,000 tersesar, iaitu terpaksa pindah dari tempat asal mereka, dalam tempoh lima bulan lalu selepas kenaikan mendadak serangan oleh kumpulan militan Islam itu, katanya.
Boko Haram telah melancarkan pemberontakan selama enam tahun untuk menubuhkan negara Islam di timur laut Nigeria, yang telah membunuh beribu-ribu orang dan mengakibatkan 2.1 juta orang tersesar, kebanyakan mereka kanak-kanak.
"Di utara Nigeria sahaja, hampir 1.2 juta kanak-kanak - lebih separuh daripada mereka berumur bawah lima tahun - dipaksa meninggalkan rumah mereka.
"Sebanyak 265,000 kanak-kanak tersesar di Cameroon, Chad dan Niger," kata Unicef dalam satu kenyataan.
Boko Haram menguasai wilayah luas di tiga negeri di timur laut Nigeria pada awal tahun ini tetapi telah disingkir oleh tentera Nigeria dengan bantuan Chad, Niger dan Cameroon.
Sekarang ia telah banyak berpecah dan berpaling pada taktik gerila, menyerang kampung bagi mendapatkan bekalan dan sasaran mudah pengeboman, seperti tempat ibadah, pasar dan stesen bas. - Reuters