Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:14
Maghrib
7:15
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Daripada pojok 'Lunch With Sumiko' akhbar The Straits Times

Urusan tidak beres Mahathir Mohamad sedang Malaysia bersiap bagi pilihan raya

Mar 25, 2018 | 02:57 PM



KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad makan sedikit saja.



Beliau memesan spageti bolognese daging lembu tetapi  kenyang selepas hanya beberapa suap kecil.



“Ini terlalu banyak untuk saya,” kata beliau   30 minit selepas kami mula makan, menolak pinggan, yang masih penuh dengan pasta, ke tepi.



Beliau juga tidak menyentuh latte tanpa kafeinenya. Corak berbentuk hati di atas buih minuman itu tidak terusik.



Kami berada di The Loaf, sebuah rangkaian kafe-kedai roti yang dimilikinya.



Pembantunya memilih cawangan di Cyberjaya bagi pertemuan kami.



Kafe ini berada di tingkat bawah sebuah pusat beli-belah dan dikelilingi kedai-kedai yang menjual stokin, peralatan sukan dan kerongsang yang diimport dari Korea Selatan.



Rasanya macam tidak percaya bertemu perdana menteri Malaysia yang paling lama berkhidmat dalam keadaan biasa sahaja.



Seorang pelayan memberitahu saya sebelum itu bahawa ‘Tun’, panggilan kebanyakan orang bagi beliau sekarang, biasanya  makan roti, irisan tomato dan lemonad  tanpa gula setiap kali beliau berkunjung.



Saya sangkakan beliau akan memesan hidangan  sederhana itu apabila kami bertemu, tetapi beliau memilih spageti.



“Saya tidak makan banyak,” katanya ketika saya memberitahunya bahawa saya dengar beliau makan sederhana sahaja. “Biasanya, setiap barang pada menu saya bahagi dua, kongsi dengan orang lain.”



Sarapan bagi beliau hanya sekeping roti. Makan tengah hari apa sahaja yang disediakan oleh tukang masak di rumah. Beliau makan hanya dua sudu nasi pada waktu malam.



“Saya tidak perlu tukar ukuran tubuh saya selama 31 tahun. Seluar yang sama saya masih boleh pakai.”



Bukan ukuran badannya saja yang tidak berubah. Wajahnya yang sentiasa kelihatan muda membuat ramai orang takjub.

 

Dari dekat, saya tertarik  betapa jernih matanya, betapa lebat rambut beliau dan betapa penuh mukanya. Apabila berjalan, tubuhnya tegap dan gayanya mantap.



Beliau ramah, sopan dan sangat lembut, tetapi anda dapat merasakan bahawa tiada sesuatu pun yang lepas daripada pengamatan beliau. Jawapannya tajam dan tepat.



Beliau sering ditanya rahsia untuk kekal muda. Jawapannya adalah sesuatu yang warga Singapura, yang suka makan, sukar terima – berhenti makan apabila sesuatu itu lazat.



“Apabila anda gemuk, susah sekali nak jadi kurus lagi, ini nasihat ibu saya,” katanya. “Beliau memberitahu saya bahawa apabila makanan itu sedap, berhenti makan.



“Apabila saya belajar ilmu perubatan, saya menyedari betapa baiknya nasihat itu. Apabila anda makan terlalu banyak, perut mengembang, dan jika anda terlalu sering melakukannya, ia menjadi sangat besar.



“Dan jika anda tidak cukup makan, anda berasa lapar, jadi anda akan makan banyak, dan kemudian ia terus berkembang.”





Beliau berjaya melatih dirinya supaya makan sedikit. “Saya sangat berdisiplin dalam banyak cara, pada mulanya amat sukar, tetapi selepas beberapa waktu, ia mudah, anda belajar mengekang perasaan anda.”



Malah, beliau tidak suka melihat perut buncit. “Itu satu perkara yang saya tidak suka lihat. Setiap kali saya bertemu seorang lelaki buncit, saya akan cucuk jari saya dan katakan kepadanya, “Kurangkan makan.”



Saya bertanya tentang desas-desus bahawa beliau menjalani rawatan sel tunjang dan plasenta, atau uri. Beliau ketawa. Beliau pernah mendengar cerita-cerita itu.



“Tidak. Tidak ada suntikan apa-apa pun. Tidak ada sel tunjang. Tidak ada apa-apa.”



Pada usia 92 tahun, masuk 93 tahun Julai ini, Dr Mahathir sedang berjuang dalam apa yang pastinya merupakan pertarungan pilihan raya terakhir dalam hidupnya. Ia juga yang paling pelik baginya.



Pada 1981 semasa  berusia 56 tahun, doktor perubatan yang dilahirkan di Kedah dan belajar di Singapura itu menjadi perdana menteri keempat Malaysia. Beliau mula menjadi Anggota Parlimen Umno pada 1964.



Beliau menjadi PM selama 22 tahun dan diiktiraf sebagai orang yang mengubah Malaysia menjadi sebuah ekonomi moden yang maju, mendorong lebih ramai orang Melayu menjadi profesional dan memperjuangkan nilai-nilai Asia.



Tetapi beliau mempunyai pengkritik yang mengatakan beliau melemahkan badan kehakiman, menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri terlalu bebas, mempromosikan kronisme dan tidak melakukan cukup untuk menghentikan rasuah dalam kerajaan.



Tempoh beliau juga ditandakan dengan kes sensasi Anwar Ibrahim, timbalan perdana menteri yang dipenjara kerana liwat.



Apabila beliau bersara pada 2003, Dr Mahathir tidak lenyap begitu sahaja. Beliau berselisih dengan penggantinya yang dipilih beliau sendiri, Abdullah Badawi, dan menyokong Datuk Seri Najib Razak, yang menjadi PM pada 2009.



Pada 2015, beliau menjadi pengkritik kuat Najib selepas saga 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tercetus. Beliau meninggalkan Umno dan membentuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) untuk menentang Najib.



PPBM menjadi anggota pakatan pembangkang yang dipanggil Pakatan Harapan (PH). Ia termasuk parti Parti Keadilan Rakyat (PKR) Anwar, yang masuk semula penjara atas tuduhan meliwat, dan Parti Tindakan Demokratik (DAP), yang pernah dilihat  Dr Mahathir sebagai  cauvinis Cina.



PH menamakan beliau pengerusi pakatan itu. Pada Januari lalu, ia berkata beliau akan menjadi calon perdana menteri sekiranya pembangkang memenangi pilihan raya akan datang.



Dr Mahathir berkata beliau akan menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar, yang akan dibebaskan dari penjara pada Jun, selepas dua tahun dipenjarakan.



Perubahan keadaan ini sangat aneh.



Apakah beliau berasa pelik berada pada pihak pembangkang, tanya saya.



“Ya, ia sangat pelik,” katanya. “Orang-orang yang biasa memberi nama ejekan kepada saya – dan saya pernah mengejek mereka – kini mereka bekerja bersama saya.” Dan, katanya, mereka memilih beliau menjadi pemimpin mereka. “Ia adalah penerimaan  pelik, tetapi saya harus boleh  bekerja bersama mereka dengan baik.”



Beliau berkongsi bahawa Anwar dan keluarganya mengambil masa yang lama sebelum  bersetuju untuk bekerjasama dengannya.



“Amat sukar baginya menerima saya sebagai pengerusi pembangkang, dan apabila nama saya juga diletakkan bagai perdana menteri, dia mengambil mengambil masa lama untuk membuat keputusan, tetapi akhirnya dia menyedari, dan orang mengatakan kepadanya, tidak ada orang lain yang boleh diletakkan dan memenangi sokongan orang Melayu.”



Pragmatisme, saya rasa, berkuasa dalam politik, walaupun itu bermakna menggigit gigi anda dan tidur bersama bekas musuh.



Beliau menjernihkan perkara.



“Apa jua perbezaan yang kami ada, ia sudah berlalu. Kami harus belajar untuk melupakannya, walaupun kadang-kadang ia timbul semula. Tetapi umumnya dia sudah menerimanya.”



Bagi dirinya,   beliau berkata tentang Anwar: “Saya tidak peduli mengenai masa lalu, mengenai apa yang dia lakukan dan semua itu.



“Bagi saya, ia tidak seteruk jika dibandingkan dengan apa yang Najib lakukan. Kami  berdua bersetuju bahawa apa yang dilakukan oleh Najib sangat mengerikan hingga kami perlu melupakan masa lalu kami.”



Beliau juga berkata, seperti yang dilakukannya sebelum ini, bahawa Anwar berada dalam penjara kali ini “bukan kerana saya, dia diletakkan di sana oleh Najib”.



Beliau menggambarkan pembangkang sebagai “sangat” bersatu dan berkata beliau terkejut dengan cara mereka menerimanya, terutama pemimpinnya.



“Ia tidak dapat dibayangkan pada satu masa dulu tetapi saya fikir mereka benar-benar ikhlas kerana kami mempunyai matlamat yang sama – menyingkirkan Najib.”



Cabaran terbesar beliau ialah menjelaskan kepada golongan asas beliau dalam Umno mengapa beliau bergabung dengan parti-parti pembangkang.



“Mereka tidak faham. Sebagai contoh, saya pernah mengutuk DAP dan kini saya bersama DAP...



“Saya terangkan, tetapi pengikut tegar Umno sukar menerima DAP.”



Beberapa kawan kini mengelakkan beliau kerana takut mengenai  kesannya ke atas urusan mereka.



Walaupun beliau memahaminya, beliau kecewa mereka “begitu mudah ditakutkan”.



Pembangkang mempunyai cabaran lain, seperti pembiayaan, dan persoalan apakah PH akan dibenarkan didaftarkan secara rasmi sebelum pilihan raya. Jika tidak, pembangkang terpaksa bertanding di bawah bendera parti masing-masing, yang dirasakan boleh menyebabkan kekeliruan.



Beliau menyebut nama Najib tidak kurang 20 kali sepanjang 90 minit kami makan. Beliau seolah-olah yakin bahawa cara kerajaan mengumpul hutang untuk menutup perbelanjaannya akan merosakkan Malaysia dan menjadikannya “seperti Greece”. Beliau juga mengadu bahawa PM menakut-nakutkan mereka yang menyokong pembangkang.



Pada pihaknya, Najib dengan tegas mempertahankan hutang Malaysia. Beliau mengetengahkan laporan positif oleh agensi penarafan kredit, dan betapa negara maju lain mempunyai nisbah hutang dengan keluaran kasar dalam negeri lebih tinggi berbanding 51 peratus di Malaysia.



Beliau juga menuduh PH membuat janji-janji tidak bertanggungjawab dalam manifesto pilihan rayanya baru-baru ini.



Meniadakan tol lebuh raya dan cukai barang dan perkhidmatan (GST) akan menyaksikan negara menanggung hutang sebanyak RM383 bilion ($128.6 bilion).



Dr Mahathir nampaknya berkongsi pendapat Najib mengenai hal ini, dengan mengatakan bahawa beliau telah memberitahu rakan-rakan gabungannya yang “sangat sosialis” bahawa mereka tidak boleh hanya “memberi sesuatu kepada orang”.



Tetapi beliau tetap berasa bahawa GST tidak perlu. “Kami tidak pernah bergantung pada GST sebelum ini tetapi negara tetap berkembang maju, dan malah kami tidak meminjam wang.”



Apabila saya bertanya bagaimana beliau akan menggambarkan perasaannya terhadap Najib, jawapannya ialah “Saya sangat kecewa”.



Beliau menambah bahawa beliau berhutang budi bagi kenaikannya dalam Umno dan menjadi perdana menteri pada ayah  Najib, perdana menteri kedua Malaysia, Tun Abdul Razak Hussein.



“Saya sangat berterima kasih kepada bapanya, dan bapanya meninggalkan warisan yang kami bangga kerana beliau menumpukan perhatian untuk membangunkan kawasan luar bandar... Jadi saya fikirkan anaknya  seperti itu juga, tetapi saya sangat kecewa.”



Beliau masih menyokong Najib hingga pilihan raya umum lalu pada 2013.



“Saya berkempen untuknya, saya juga naik pentas untuk mengatakan bahawa pilihan anda adalah antara Anwar dan Najib. Apakah anda suka Anwar? Jadi saya berkempen kuat  untuknya dan mendapatkan semula negeri Kedah untuknya, tetapi apabila saya mendengar tentang 1MDB, itu sesuatu yang saya tidak boleh terima.”



Jadual beliau menjelang pilihan raya sangat teruk.



Beliau menjelajah negaranya bagi menghadiri pelbagai acara, terus menulis blog dan aktif di Facebook. Beliau menulis posnya dan dan ia dimuat naik untuknya. Sebelum jamuan tengah hari kami, beliau merakam satu sesi Facebook Live di mana beliau memberi ceramah dasar mengenai pendidikan.



Kebanyakan acara malamnya bermula lewat.



“Hadirin Melayu, mereka keluar selepas 9 malam.



“Mereka selalu menjadikan saya penceramah terakhir, yang bermakna kadang-kadang saya bercakap pada kira-kira pukul 12.”



Bulan lalu, beliau dimasukkan ke hospital kerana jangkitan dada. Ia telah hampir sembuh, tetapi beliau mengalami batuk kronik yang berpunca daripada serangan radang paru-paru pada 1999.



Beliau percaya beliau mempunyai sokongan paling banyak dalam kalangan rakyat Malaysia yang melalui 1980-an dan 1990-an ketika beliau menjadi PM dan yang melihat bagaimana negara itu berkembang. “Mereka tahu apa berlaku, mereka boleh membuat perbandingan.”



Mengenai di mana beliau akan bertanding, Dr Mahathir  mendakwa beliau belum membuat keputusan, walaupun pengamat mengatakan mungkin  di Langkawi.



Di mana sahaja beliau berkata beliau akan bertanding, “Najib datang bawa banyak hadiah”, beliau ketawa. “Orang ramai berterima kasih kepada saya. Mereka berkata, awak datang ke sini, kami mendapat semua ini.”



Lebih serius, keputusannya akan berdasarkan kemenangan.



“Saya tidak mampu kalah. Saya perlu memilih kawasan yang saya mempunyai peluang terbaik untuk menang.”



Beliau melihat Johor sebagai medan pertempuran utama kerana ia kubu kuat Umno. Pembangkang akan mengalami kesukaran dalam memasuki negeri itu, beliau akui.



Beliau menilai peluang pembangkang sebagai “50-50”. Kebanyakan pemerhati mengatakan ia lebih rendah daripada itu, memandangkan puak penentang dalam PH dan kemungkinan tinggi berlaku pertarungan tiga penjuru.



Tinjauan dalam talian pada Disember lalu mendapati integriti Encik Najib dan skandal 1MDB – isu yang Dr Mahathir bisingkan – merupakan keprihatinan paling rendah responden, masing-masing hanya 3 peratus dan 2 peratus.



Anda dapat merasakan bahawa beliau realistik tentang peluang pembangkang. “Jika kami gagal, kami harus menerimanya,” katanya. “Tetapi memang saya akan berasa sangat sedih.”



Jika rakyat tidak dapat menggantikan Najib, “mereka mesti belajar bahawa mereka harus menjaga negara lebih daripada keuntungan peribadi”.



Saya tertanya apakah keinginan berkuasa lagi merupakan dorongan di sebalik apa yang beliau sedang lakukan. Apakah kuasa penting bagi anda, tanya saya.



“Kuasa adalah penting kerana dengannya, anda boleh melakukan banyak perkara,” katanya. “Apabila saya menjadi perdana menteri, saya tahu saya mempunyai kuasa. Ada perkara yang tiada sesiapa boleh lakukan dan mereka datang kepada saya. Saya berkata, ‘Baiklah, perkara ini baik, awak boleh melakukannya.’.”

“Jadi itulah tujuan kuasa. Bukan untuk mengayakan diri sendiri. Bukan untuk membuli orang dan benda-banda macam itu. Saya tidak rasa itu betul.”



Pengkritiknya, saya rasa, mempunyai pandangan mereka sendiri mengenai perkara ini.



Apakah beliau mempunyai sembarang kesalan sepanjang tempoh beliau mempunyai kuasa? Beliau mengatakan bahawa bekerja bersama pembangkang membuka matanya mengenai “sungutan” mereka tentang beliau.



“Ada ketika saya mungkin sedikit keras terhadap orang lain, dan saya mungkin telah menunjukkan kuasa saya terhadap pihak polis. Tetapi sebenarnya saya tidak boleh mendesak sesuatu perkara.”



Beliau mengulangi contoh yang selalu digunakan tentang bagaimana beliau memberitahu ketua polis supaya jangan menggunakan gari ketika menangkap Anwar. “Tetapi mereka mempunyai SOP mereka, dan itu bermakna memakai balaklava dan memecahkan pintu dan memegang senapang. Ia memberikan   gambaran yang sangat buruk tentang diri saya...  Orang ramai berpendapat saya meminta mereka melakukan perkara-perkara itu. Tetapi ia bukan keputusan saya.”



Dengan begitu banyak  berlaku pada peringkat akhir hidupnya, saya ingin tahu apa yang membuat beliau gembira. Jawapannya mengejutkan saya. “Ia adalah  apabila saya berada bersama rakan-rakan yang mempunyai pandangan yang sama seperti saya. Saya berasa gembira.”



Keluarganya, tentu saja, turut memberinya kebahagiaan, katanya.



Beliau mempunyai tujuh anak dan 18 cucu.



Mungkinkan kemarahannya terhadap Najib menjejasnya. Ia tentunya tidak sihat, fikir saya. “Tidak, ia bukan kemaharan seperti itu,” beliau perbetulkan. “Saya marah kerana perkara-perkara yang dia lakukan, yang saya rasa memusnahkan negara ini.”



Isterinya, Dr Siti Hasmah Mohd Ali, 91 tahun, sering di sisinya. Beliau berkata mereka kerap bertengkar    pada zaman awal mereka. Tetapi sebagai orang yang “tidak banyak menyerah kepada emosi”, beliau menilai keadaan dan menyimpulkan toleransi adalah kunci perkahwinan bahagia.



“Akhirnya, saya terpaksa menghadapi  segala perkara yang dia lakukan, sebagaimana dia harus menerima cara saya melakukan perkara.”



Saya tertanya-tanya siapa kawan rapatnya. Beliau berkata ada “orang yang tidak begitu diketahui, bukan ahli politik, tetapi dia memberi saya banyak maklumat tentang apa yang berlaku di lapangan”. Beliau selesa dengannya dan menganggapnya sebagai orang kepercayaan.



Apakah dia seorang sahabat lama? “Sebenarnya, dia tidak begitu tua,” katanya, geli hati pada soalan itu. “Sekarang saya tidak mencari orang sebaya saya sebagai kawan.”



Singapura kelihatan tidak difikirkan sangat dalam fikirannya dan beliau tidak menyebutnya hinggalah saya menimbulkannya.



Beliau bercakap dengan perasaan suka tentang rakan sedarjahnya di Kolej Perubatan King Edward VII, tetapi mengingati juga betapa terdapat jurang antara pelajar bandar besar Singapura dan pelajar kampung dari Malaysia. Beliau juga tidak lupa kejadian semasa menaiki teksi sebagai seorang untuk ke asrama wanita, pemandu itu menghantarkannya ke dapur di sana kerana beliau orang Melayu.



“Ada perkara menyakitkan hati saya, tetapi itu tidak bermakna saya mempunyai sembarang dendam terhadap Singapura. Tetapi saya perlu mempertahankan pendirian Malaysia. Sudah tentu Singapura telah mencapai pencapaian yang sangat baik dan saya percaya bahawa kami juga boleh mencapai sama baik. Kami mempunyai jenis orang yang sama.”



Kami  sampai ke penghujung jamuan kami. Shannon Teoh, ketua biro Malaysia akhbar The Straits Times, yang   juga menyertai jamuan itu, dan    saya mengucapkan terima kasih kepada beliau. Beliau  sopan santun dan  mengucapkan   terima kasih kepada kami juga.



Beliau  menghabiskan masa 15 minit seterusnya bersama  orang ramai di luar. Beliau senyum   kebingungan  apabila   mereka menolak-nolak untuk bergambar  dengannya. Sesetengah orang, termasuk seorang personaliti TV yang lewat di situ, menjanjikan sokongan mereka dalam pilihan raya.



Tenaga beliau tidak mengendur. Sepanjang  beberapa hari seterusnya,   saya melihat di  halaman Facebooknya bahawa beliau mempunyai     jadual yang penuh.



Dr Mahathir sudah bersiap untuk bertarung dan  seperti yang dikatakannya semasa jamuan  tengah hari itu: “Sepanjang   100 hari mendatang,  mereka sudah siapkan  program saya.”




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >