Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

GEMPA DI TURKEY DAN SYRIA

Usaha cari mangsa diteruskan dalam suhu di bawah paras beku

WHO beri amaran jumlah korban dijangka cecah 20,000
Feb 09, 2023 | 05:30 AM



GAZIANTEP (Turkey): Pekerja penyelamat terus giat menggali runtuhan dalam usaha mencari mangsa yang terperangkap akibat gempa bumi yang dianggap paling kuat dalam beberapa dekad yang melanda dua negara berjiran - Turkey dan Syria.



Jumlah kematian kini mencapai lebih 11,000 mangsa.



Sejumlah 8,574 kematian dicatatkan di Turkey dan 2,612 maut di Syria setakat semalam.



Menteri Dalam Negeri Turkey, Encik Suleyman Soylu, memberi amaran tempoh 48 jam bermula semalam adalah "genting" dalam usaha mencari mangsa.



Ini disebabkan keadaan yang mencabar - musim sejuk yang menyaksikan salji turun lebat dengan suhu cuaca di bawah paras beku dan runtuhan bangunan berlaku merata-rata selain kerosakan jalan yang menyukarkan bantuan disalurkan dengan lancar.



Kesemua ini bagaimanapun tidak mematahkan semangat anggota penyelamat dan orang ramai yang tidak berputus asa untuk cuba mengeluarkan mangsa daripada runtuhan bangunan.



Pasukan penyelamat menyodok salji ketika ia menimbun di atas serpihan, mencari mangsa yang cedera dan terperangkap.



Mangsa yang terselamat, ramai yang berkaki ayam dan berpakaian tidur, berkerumun di sekitar unggun api bangkai untuk kekal hangat.



Angka kematian terus meningkat dengan sekurang-kurangnya 5,894 maut di Turkey, manakala 2,032 terkorban di Syria setakat semalam.



Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran jumlah korban dijangka mencecah 20,000 orang.



Pada masa ini, dianggarkan lebih 8,000 mangsa berjaya diselamatkan di Turkey



Di Gaziantep, sebuah bandar Turkey berhampiran pusat gempa bumi berukuran 7.8 magnitud, yang melanda pada 6 Februari, empat anggota sebuah keluarga berjaya diselamatkan semalam.



Di barat laut Syria, penduduk menemui seorang bayi menangis dalam runtuhan, satu-satunya yang terselamat daripada bangunan runtuh dan yang telah menghabiskan masa berjam-jam dalam kesejukan.



Lebih 70 negara sedunia mengerahkan pasukan penyelamat ke Turkey dan Syria.



Satu pasukan penyelamat elit Singapura, merangkumi 20 anggota Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) dari kontinjen 'Operation Lionheart' telah berlepas ke Adana, Turkey, pada 2.05 pagi semalam, dengan penerbangan diselaraskan Singapore Airlines, bagi membantu dalam misi menyelamat di negara itu.



Malaysia turut mengerahkan 70 anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) ke Adana bagi tujuan sama.



"Kita perlu melawan cuaca dan gempa bumi pada masa yang sama," kata Naib Presiden Turkey, Encik Fuat Oktay, yang menggelar gempa itu sebagai "bencana abad ini."



Gempa bumi di Turkey menjangkau 10 wilayah - dari bandar purba Gaziantep yang luas sehingga ke pekan dan perkampungan luar bandar di mana jalan rosak teruk sehingga tidak dapat digunakan.



Tentera laut Turkey menghantar kapal dengan jentera berat, selimut, penjana dan makanan, dan agensi pengurusan kecemasan negara menghantar lebih 16,000 pekerja, 3,000 mesin dan 600 kren untuk mengangkut serpihan.



Ramai pekerja penyelamat adalah sukarelawan yang tidak mempunyai rancangan selain membantu di mana mereka boleh.



"Kami berada di sini kerana hati nurani kami dan kerana kami sentiasa berpihak kepada mereka yang lemah," kata Encik Mehmet Bodur, 55 tahun, di bandar Sanliurfa di Turkey.



"Kami berhadapan dengan salah satu bencana terbesar yang pernah berlaku dalam wilayah kami," kata Presiden Turkey, Encik Recep Tayyip Erdogan, semasa berucap di televisyen dari ibu negara, Ankara, ketika beliau mengisytiharkan darurat selama tiga bulan di wilayah yang terjejas.



Di Syria, di mana lebih sedekad perang saudara telah mencetuskan krisis kemanusiaan, usaha menyelamat dihalang oleh lokasi zon gempa, yang termasuk dalam kawasan yang dikawal pemerintah dan pembangkang.



"Orang ramai membawa mayat kepada kami dengan kereta peribadi mereka," kata Encik Nehad Abdulmajeed, seorang doktor berhampiran bandar Idlib, Syria.



"Kami telah menangisi kanak-kanak, yang hidup melalui perang ini dan kini mati tanpa sebab," katanya.



"Saya percaya bahawa mungkin saya telah melihat segala-galanya," tambahnya, "tetapi ini adalah hari paling tragis yang saya lihat sepanjang hidup saya."



Kebanyakan bantuan ke Syria mengalir melalui Damsyik, ibu negara, yang berada dalam wilayah yang dikuasai kerajaan.



Bantuan agar sukar dihulurkan kepada Syria disebabkan permasalahan geopolitik yang dihadapi pemerintah negara itu.



Presiden Syria, Encik Bashar al-Assad, mengawal ketat segala bantuan yang disalurkan ke kawasan pembangkang, yang dihantar menerusi laluan rentas sempadan dari Turkey yang menjadi talian hayat bagi kawasan yang dikuasai pembangkang di utara. - Agensi berita.




"Kami berhadapan dengan salah satu bencana terbesar yang pernah berlaku dalam wilayah kami."
- Presiden Turkey, Encik Recep Tayyip Erdogan.



"Kita perlu melawan cuaca dan gempa bumi pada masa yang sama."
- Naib Presiden Turkey, Encik Fuat Oktay.



"Kami berada di sini kerana hati nurani kami dan kerana kami sentiasa berpihak kepada mereka yang lemah."
- Encik Mehmet Bodur, penyelamat di bandar Sanliurfa, Turkey.



"Orang ramai membawa mayat kepada kami dengan kereta peribadi mereka.

Kami telah menangisi kanak-kanak, yang hidup melalui perang ini dan kini mati tanpa sebab.

Saya percaya bahawa mungkin saya telah melihat segala-galanya, tetapi ini adalah hari paling tragis yang saya lihat sepanjang hidup saya."

- Encik Nehad Abdulmajeed, doktor berhampiran bandar Idlib, Syria.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >