Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Usaha Malaysia tarik pelaburan Timur Tengah tergenjot

Feb 06, 2017 | 10:25 AM



KUALA LUMPUR: Keputusan Saudi Arabian Oil Company (Saudi Aramco) menarik diri daripada projek petrokimia berbilion dolar di Johor bersama syarikat milik negara Petronas mendedahkan keretakan dalam usaha 10 tahun Malaysia menarik modal dari Timur Tengah.



Awal minggu lalu, Menteri Kewangan Kedua Malaysia, Datuk Johari Abdul Ghani, mengesahkan laporan berita antarabangsa bahawa Saudi Aramco telah menarik diri daripada projek usaha sama pembangunan penapisan dan petrokimia bernilai AS$27 bilion ($38 bilion) di Pengerang, Johor.



Datuk Johari tidak memberi sebarang sebab bagi keputusan Saudi Aramco itu, tetapi beliau menekankan ia tidak akan memberi kesan ke atas projek tersebut kerana Petronas mempunyai kekuatan kewangan untuk meneruskan usaha petrokimia itu.



Tidak ramai dalam kalangan eksekutif industri minyak ragu bahawa projek tersebut, yang penting kepada rancangan Malaysia untuk menyaingi Singapura sebagai pusat pemprosesan minyak dan gas serantau, akan diteruskan seperti yang dirancang.



Tetapi keputusan mengejut Saudi Aramco itu menambah kepada senarai yang semakin meningkat masalah yang dihadapi Malaysia dengan pelabur dari Timur Tengah, yang juga menghadapi masalah kewangan kerana kejatuhan harga minyak, lapor akhbar The Straits Times.



Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, hubungan ekonomi dengan Abu Dhabi, yang telah lama disenaraikan sebagai pelabur dunia Arab paling agresif di Malaysia, semakin pudar disebabkan pertikaian yang berpunca daripada dana milik negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB).



International Petroleum Investment Company (Ipic) Abu Dhabi menuntut AS$6.5 bilion daripada 1MDB selepas ia gagal memenuhi kewajipan kewangannya berjumlah berbilion dolar di bawah perjanjian bantuan kewangan.



Pertikaian itu telah masuk ke peringkat timbang tara dan sejak itu, Ipic menarik diri daripada beberapa projek hartanah yang dirancang di Malaysia, seperti pembangunan hab kewangan di wilayah Iskandar di Johor dan projek pembangunan hartanah Bursa Tun Razak yang diterajui 1MDB di Kuala Lumpur.



Malaysia telah lama bergantung pada pelaburan asing untuk menjana ekonominya dan giat berusaha menarik modal dan pelancong dari Timur Tengah, bermula di bawah mantan perdana menteri Abdullah Ahmad Badawi, yang menggantikan Tun Mahathir Mohamad pada lewat 2003.



Selepas lebih sedekad, hasil daripada usaha menarik modal Arab bercampur-campur.



Sektor perbankan Malaysia mendapat manfaat daripada kehadiran tiga institusi kewangan Timur Tengah yang menubuhkan pangkalan di negara ini.



Malaysia juga menjadi destinasi popular bagi pelancong Timur Tengah, yang mengambil kesempatan daripada mata wang tempatan yang semakin lemah dan harga barangan agak murah berbanding di Singapura.



Bagaimanapun, usaha lebih besar tidak begitu berhasil.



Sebagai contoh, kerajaan Malaysia mahu pelabur Timur Tengah mengetuai dalam pembangunan wilayah Iskandar di Johor, terutamanya di Medini, sebuah pembangunan bercampur yang akan menampilkan daerah kewangan yang dibayangkan sebagai hab kewangan Islam global.



Projek itu menarik nama besar seperti Kuwait Finance House, Kumpulan Mubadala Development Group milik Abu Dhabi dan Aldar Properties, satu lagi pemaju hartanah di Abu Dhabi.



Tetapi pelibatan Arab di Medini cepat hambar selepas krisis kewangan global 2008 dan pelaburan itu telah diambil alih oleh syarikat swasta Malaysia.



Projek besar lain yang diterajui Arab di Malaysia secara senyap-senyap telah dihentikan sejak pada tahun-tahun kebelakangan. Ini termasuk rancangan kumpulan perniagaan Abu Dhabi untuk melabur dalam kemudahan penyimpanan minyak bernilai AS$7 bilion di Johor, dan sebuah projek peleburan aluminium bernilai AS$4.2 bilion di Sarawak.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >