Topik diikuti
Pergi ke BHkuVarian baru Covid-19 masih terkawal, usah terlampau prihatin: WHO
Varian baru Covid-19 masih terkawal, usah terlampau prihatin: WHO
GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menegaskan negara-negara dunia tidak seharusnya terlampau prihatin tentang varian (kelainan) Covid-19 baharu yang dikesan di Britain dengan kadar penularan lebih tinggi, kerana ia berada dalam keadaan terkawal dan merupakan sebahagian daripada evolusi pandemik g biasa.
Pengarah Eksekutif Program Kecemasan WHO, Dr Michael Ryan, menjelaskan varian baharu itu mampu dibendung dengan penggunaan langkah kesihatan sedia ada.
"Kami pernah berdepan situasi lebih teruk (kadar jangkitan) tetapi setiap keadaan berbeza dalam pandemik ini dan kami boleh mengawalnya.
"Keadaan ini bukan sesuatu yang di luar kawalan namun ia tidak boleh dibiarkan tanpa tindakan yang sepatutnya," katanya pada sidang media.
Sebelum ini, Setiausaha Kesihatan Britain, Encik Matt Hancock, mendakwa varian baharu virus ini sukar dikawal apabila kadar penularan dikatakan 70 peratus lebih tinggi berbanding varian utama.
Pada masa sama, Dr Ryan berkata, tindakan yang dilaksanakan kini adalah langkah tepat untuk berdepan dengan penularan baharu itu.
"Kita perlu bertindak seperti yang kita pernah lakukan namun kita perlu berusaha keras untuk memastikan ia dapat dikawal," katanya.
Sekurang-kurangnya 30 negara menyekat kemasukan pergerakan dari Britain atau Afrika Selatan sehingga virus varian baharu ini dapat dikawal penyebarannya.
Sementara itu, badan kawal selia ubat Kesatuan Eropah (EU) kelmarin telah meluluskan keputusan penggunaan vaksin Covid-19 yang dibekalkan syarikat farmaseutikal, Pfizer-BioNTech.
Agensi Ubat-Ubatan Eropah (EMA) berpangkalan di Amsterdam mengumumkan keputusan itu lewat malam ini, sekali gus membolehkan proses inokulasi di 27 negara anggota EU bermula dalam tempoh beberapa hari.
Ketua EMA, Cik Emer Cooke, berkata pihaknya mengesyorkan kelulusan bersyarat di EU bagi penggunaan vaksin keluaran Pfizer dan BioNTech.
"Pendapat saintifik kami membuka laluan bagi proses pengedaran vaksin dan inokulasi bermula.
"Ini adalah langkah penting dalam peperangan menentang pandemik ini, yang sudah mengakibatkan banyak kesengsaraan dari segi sosial mahpun ekonomi," katanya.
Gesaan untuk mempercepatkan proses inokulasi tercetus apabila sesetengah negara anggota EU seperti Jerman mendesak supaya vaksin diberikan secepat mungkin.
Desakan itu semakin lantang memandangkan Britain dan Amerika Syarikat sudah memberikan vaksin Pfizer dan BioNTech kepada penduduknya menerusi peraturan kecemasan kebangsaan.
Cik Cooke minggu lalu dilaporkan berkata pihaknya menyasarkan proses inokulasi dibuat 27 Disember ini, menerusi kelulusan pemasaran bersyarat yang akan berkuat kuasa selama setahun.
Katanya, badan kawal selia itu bertungkus-lumus mempercepatkan rantaian proses, namun perlu memastikan aspek keselamatan serta keberkesanan vaksin sentiasa diberi keutamaan.
Beliau menegaskan, ia bagi menjamin proses inokulasi tidak terjejas berikutan kebimbangan atau keraguan yang mungkin timbul dalam kalangan masyarakat.
"Kita berjaya meneliti semula jadual proses inokulasi vaksin Covid-19, menyusuli usaha bersepadu pelbagai pihak.
"Kadar jangkitan semakin meningkat di seluruh Eropah dan kita maklum mengenai tanggungjawab yang harus digalas bagi memastikan pemberian vaksin dilakukan secepat mungkin.
"Usaha ini bagaimanapun harus dijalin dengan penelitian saintifik bagi memastikan aspek seperti keselamatan dan keberkesanan vaksin tidak dipinggirkan," katanya.
Sementara itu, kelulusan proses inokulasi bagi vaksin dihasilkan firma Amerika Syarikat, Moderna, dijangka diputuskan pada 6 Januari depan.
Vaksin Pfizer-BioNTech merekodkan kadar keberkesanan 95 peratus ketika fasa ujian global, membabitkan suntikan dua dos dalam tempoh selang tiga minggu.
'Penawar' itu bagaimanapun harus disimpan dalam sekitaran suhu -70 darjah Celsius iaitu bawah takat beku, sekali gus memaksa syarikat pembekal menghasilkan peti simpanan khas ketika proses pengangkutan. - AFP.