NEW YORK: Wakil khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Yaman, pada Rabu lalu mengalu-alukan persetujuan damai terbaru antara Arab Saudi dengan Iran, memulihkan hubungan diplomatik mereka, dan berkata rantau itu kini sedang menyaksikan satu langkah ke arah rundingan mendalam bagi menamatkan konflik Yaman yang berlarutan itu.
Dalam satu mesyuarat Majlis Keselamatan mengenai Yaman, Encik Hans Grundberg memuji usaha pengantaraan oleh kerajaan Oman, dan menggesa semua pihak di Yaman supaya memanfaatkan peluang yang sudah ada melalui "momentum diplomatik serantau yang diperbaharui," dan membuat "keputusan ke arah masa depan yang lebih aman."
Arab Saudi dan Iran bersetuju pada minggu lalu di Beijing bagi memulihkan hubungan diplomatik mereka yang telah digantung sejak 2016.
Setiausaha Agung PBB, Encik Antonio Guterres, mengalu-alukan persetujuan itu, yang menggariskan peri pentingnya hubungan baik antara Iran dengan kerajaan Arab Saudi" demi kestabilan rantau Teluk.
Encik Geng Shuang, timbalan wakil tetap China di PBB, berkata persetujuan itu "adalah suatu berita gembira bagi dunia, yang penuh dengan suasana tidak menentu dan tidak stabil. Ia telah menyuntik satu unsur positif ke arah perdamaian, kestabilan, perpaduan dan kerjasama bagi landskap rantau itu".
Encik Geng menyuarakan harapan agar persetujuan itu mewujudkan keadaan yang kondusif bagi memperbaiki situasi di Yaman.
"Dialog Beijing itu adalah satu kejayaan diplomasi," kata wakil China itu, dan berikrar negaranya akan meneruskan "usaha tidak berbelah bahagi ke arah menghuraikan isu-isu Yaman, dan mengekalkan perdamaian dan kestabilan di Timur Tengah.
Duta Besar Amerika Syarikat, Encik Jeffrey DeLaurentis, turut menyuarakan harapan agar persetujuan Arab Saudi-Iran itu akan menyumbang ke arah usaha-usaha "menjamin huraian berkekalan bagi konflik di Yaman, menangani aliran berterusan bantuan maut Iran kepada Houthi, dan memastikan sokongan Iran untuk proses politik Yaman.
"Usaha bagi mencapai kestabilan di rantau itu amat dialu-alukan,'' ujar Encik DeLaurentis.
Yaman mengalami tempoh sepi paling lama dalam pertempuran, sejak gencatan senjata April 2022, antara pemerintah Yaman dan militia Houthi.
Bagaimanapun, terdapat beberapa pertempuran sejak persetujuan gencatan senjata itu tamat tempohnya pada awal Oktober 2022.
Encik Grundberg berkata, keadaan keselamatan masih rapuh dan beliau menyeru semua pihak supaya mengelakkan keadaan menjadi tidak stabil dengan melaksanakan "sekatan maksimum" dan menahan diri daripada bertindak kasar.
"Dengan situasi keselamatan yang agak stabil sekarang, tetapi tidak ada persetujuan untuk terus maju, Yaman mungkin berada dalam suasana politik tidak menentu.
"Namun, usaha-usaha diplomatik yang bersungguh-sungguh sedang berjalan pada tahap yang berlainan, untuk menamatkan konflik di Yaman itu," kata beliau.
Beliau juga membayangkan kemajuan dalam rundingan mengenai pertukaran banduan antara pemerintah yang diiktiraf antarabangsa dengan Houthi, yang dipengerusikan bersama oleh PBB dan Jawatankuasa Antarabangsa bagi Pertubuhan Palang Merah.
Beliau menggesa semua pihak "supaya menetapkan butir-butir yang telah mereka persetujui, termasuk rancangan pelaksanaannya." - Agensi berita.
"... usaha-usaha diplomatik yang bersungguh-sungguh sedang berjalan pada tahap yang berlainan, untuk menamatkan konflik di Yaman itu."
- Wakil Khas, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Yaman, Encik Hans Grundberg.