KENDAL (Jawa Tengah): Disebabkan niat ingin membalas dendam kerana membatalkan majlis perkahwinan dengan sesuka hati, seorang wanita berusia 21 tahun membeli 400 barang dalam talian dengan kaedah bayaran secara tunai menggunakan nama dan kad pengenalan bekas tunangnya.
Dalam satu kenyataan media pada 29 Januari, Timbalan Ketua Polis Daerah Kendal, Komisioner Edy Sutrisno, berkata suspek melakukan perbuatan itu sejak September 2023 hingga Januari 2024 dengan motif untuk balas dendam.
Kenyataan itu menyatakan sebanyak 400 barangan telah dipesan melalui khidmat penghantaran ke alamat bekas tunangnya di Karangayu, Cepiring.
Majlis perkahwinan antara kedua mempelai sepatutnya diadakan pada Oktober 2023 namun pihak lelaki membatalkan majlis itu tanpa berbincang dengan suspek.
Menurut laporan media tempatan, wanita asal Kota Semarang itu juga dikatakan pernah terlanjur dengan bekas tunangnya dan suspek terpaksa melayan mangsa walaupun dalam keadaan tidak sihat.
Suspek ditukil dalam laporan media tempatan sebagai berkata: “Keluarga saya dan mangsa rapat dan pernah melawat antara satu sama lain.
“Mangsa berjanji untuk berkahwin dengan saya pada Oktober 2023 tetapi sebaliknya menafikannya dan membatalkan majlis tanpa berbincang.
“Saya rasa disakiti kerana mangsa telah merampas kesucian saya. Ketika itu saya masih sakit tetapi dipaksa oleh mangsa untuk melayan nafsunya, jika saya menolak, mangsa terus marah.”
Namun demikian, suspek turut mengutarakan rasa kesalnya terhadap perbuatan itu dan memohon maaf di hadapan anggota polis.
Perbuatan suspek terbongkar setelah mangsa membuat laporan polis kerana musykil barangan yang sampai ke rumahnya bukanlah apa yang dipesan.
Atas perbuatan tersebut, suspek boleh dikenakan hukuman penjara selama 12 tahun atau denda sebanyak 12 juta Rupiah ($1,022). – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg