Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

COVID-19: KESAN VARIAN OMICRON

WHO gesa batalkan acara sambutan Krismas

WHO
Dec 22, 2021 | 05:30 AM



GENEVA: Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus, mengesyorkan acara sepanjang sambutan Krismas dibatalkan berikutan peningkatan kes varian Omicron Covid-19 di seluruh dunia.



Ia sebagai langkah sementara untuk kembali kepada keadaan normal, kata beliau ketika bercakap pada satu sidang media di Geneva. Dr Tedros berkata pemimpin pemerintah dan individu harus membuat keputusan sukar ini untuk melindungi diri sendiri dan orang lain.



"Semua orang sudah muak dengan pandemik ini. Semua orang mahu meluangkan masa bersama rakan-rakan dan keluarga. Semua orang mahukan hidup kembali normal.



"Jalan termudah ialah pemimpin dan individu perlu membuat keputusan sukar untuk melindungi diri dan orang lain. Ia juga membawa makna membatal dan menangguhkan majlis.



"Adalah lebih baik sekiranya ia dibatalkan sekarang dan menyambutnya kemudian daripada berduka. Tidak ada orang mahukan ia berterusan sepanjang 12 bulan akan datang.



"Semua negara perlu lebih fokus sekarang untuk menamatkan pandemik ini," katanya.



Sedang sambutan Tahun Baru semakin hampir, Dr Tedros berkata pihaknya mengakui bahawa semua orang mahu meluangkan masa bersama rakan dan keluarga dan menjalani kehidupan normal semula.



Beliau turut mengkritik sesetengah negara yang memberikan dos penggalak vaksin Covid-19 kepada golongan muda sedangkan warga emas di negara miskin masih belum diberi vaksin. Dr Tedros menggesa dunia terus bersatu dan membuat keputusan sukar yang diperlukan untuk menamatkan pandemik Covid-19 tahun depan.



"2022 mestilah tahun kita menamatkan pandemik ini. Namun, untuk kembali normal, kita perlu melindungi diri kita sekarang kerana kes jangkitan varian Omicron merebak dengan pantas, meningkatkan jangkitan virus itu di lebih 80 negara,'' ujar beliau.



Sejak kali pertama dilaporkan di Afrika Selatan bulan lalu, varian Omicron sudah menular di berpuluh-puluh negara, mematahkan harapan pandemik ini akan berakhir.



Walaupun terdapat kajian bahawa ia tidak lebih teruk daripada varian Delta, yang masih merupakan strain dominan, data awal Omicron, bagaimanapun, menunjukkan ia berdaya jangkitan dan ketahanan terhadap vaksin lebih tinggi.



Dr Tedros juga menegaskan WHO yakin pandemik ini boleh diputuskan menerusi program vaksinasi besar-besaran dan dengan memakai pelitup muka serta mengamalkan penjarakan fizikal.



Sementara itu, sambutan Tahun Baru besar-besaran di London dibatalkan kerana kebimbangan meningkat menyusuli lonjakan kes varian Omicron Covid-19.



Mayor London, Encik Sadiq Khan, berkata jumlah jangkitan berada pada tahap tinggi di bandar raya itu dan pihaknya perlu melakukan segala yang mungkin untuk memperlahankan penyebaran varian baru itu.



"Ini bermakna kita tidak akan menganjurkan acara sambutan bagi lebih 6,000 orang berhimpun di Dataran Trafalgar pada malam Tahun Baru seperti selalu.



"Ini pastinya sangat mengecewakan bagi kebanyakan warga London, tetapi kita mesti mengambil langkah betul untuk mengurangkan penyebaran virus ini," katanya. - Agensi berita.




"Semua orang sudah muak dengan pandemik ini. Semua orang mahu meluangkan masa bersama rakan-rakan dan keluarga. Semua orang mahukan hidup kembali normal. Jalan termudah ialah pemimpin dan individu perlu membuat keputusan sukar untuk melindungi diri dan orang lain. Ia juga membawa makna membatal dan menangguhkan majlis. Adalah lebih baik sekiranya ia dibatalkan sekarang dan menyambutnya kemudian daripada berduka. Tidak ada orang mahukan ia berterusan sepanjang 12 bulan akan datang. Semua negara perlu lebih fokus sekarang untuk menamatkan pandemik ini."
- Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus, Ketua Pengarah WHO.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >