PARIS: Eropah dan Amerika Syarikat melihat peningkatan mengejut beberapa minggu kebelakangan ini mengaitkan gangguan imun teruk di kalangan kanak-kanak dengan Covid-19, lapor pihak berkuasa kesihatan.
Sekurang-kurangnya lima kanak-kanak - tiga di New York, satu di Perancis dan satu lagi di Britain - telah meninggal dunia dek sindrom itu.
Di Eropah terdapat sebanyak 230 kes yang disyaki sindrom multisistem keradangan pediatrik (PIMS) di kalangan kanak-kanak berusia sehingga 14 tahun, menurut Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Eropah (ECDC) semalam.
Di Amerika, terdapat lebih 100 kes tersebut di kawasan New York, menyebabkan pihak berkuasa kesihatan mengeluarkan amaran berkenaan penyakit misteri itu.
"Laporan awal membuat hipotesis bahawa sindrom itu ada kaitan dengan Covid-19," kata Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus, semalam.
Beliau turut meminta klinisyen sedunia membantu "memahami dengan lebih baik sindrom ini di kalangan kanak-kanak".
Seperti penyakit Kawasaki, kondisi yang berlaku di kalangan kanak-kanak kecil, penyakit baru itu boleh menyebabkan demam berlarutan, sakit perut, ruam dan lidah bengkak.
PIMS juga telah disamakan dengan sindrom kejutan toksik yang mengakibatkan saluran darah yang meradang dan, dalam beberapa kes, kerosakan pada jantung. - AFP