Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:27
Maghrib
7:08
Isyak
8:22

Wilayah Iskandar sokong aturan gelembung perjalanan SG-M'sia

Dunia
28
0

BERITA

Wilayah Iskandar sokong aturan gelembung perjalanan SG-M'sia

Feb 03, 2021 | 05:30 AM

JOHOR BARU: Penguasa Pembangunan Wilayah Iskandar (Irda) menyokong sebarang aturan gelembung perjalanan dengan Singapura yang mendorong perniagaan dan perdagangan di koridor ekonomi itu.

Ketua Eksekutif Irda, Datuk Ismail Ibrahim, berkata Malaysia harus terus membenarkan pengunjung dari Singapura untuk datang dan berniaga di sana asalkan mereka mematuhi peraturan kesihatan setempat, lapor The Star.

"Kedua-dua ekonomi kita saling bergantung pada satu sama lain. Saya harus mengakui antara sebab mengapa Iskandar Malaysia berjaya adalah kerana kita dapat melakukan banyak perdagangan dan perniagaan dengan Singapura," katanya.

Beliau berkata Singapura adalah pelabur kedua terbesar di Iskandar selepas China.

"Mereka setakat ini melabur RM24.3 bilion ($8 bilion) di Iskandar Malaysia sejak pelancarannya.

"Namun, sedang kami menghormati keputusan mereka (Singapura) untuk menangguhkan Laluan Hijau Timbal Balik (RGL), kami harus berusaha untuk meneruskan gelembung perjalanan dengan mereka yang mendorong perniagaan dan perdagangan," katanya selepas pelancaran Kempen Peringatan 15 Tahun Iskandar Malaysia (IM15CC) semalam.

Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad, yang melancarkan acara itu secara maya, sebelum itu berkata Johor akan meminta Kerajaan Persekutuan agar meminta Singapura meneruskan RGL.

Beliau berkata RGL adalah penting kerana ia membolehkan banyak industri dengan pelabur Singapura meneruskan operasi mereka dengan lancar.

Pemerintah Singapura telah mengumumkan yang ia menangguhkan RGL selama tiga bulan mulai kelmarin.

Selain Malaysia, RGL Singapura dengan Korea Selatan dan Jerman juga ditangguhkan.

Presiden pasukan bertindak Pekerja Malaysia-Singapura Dayalan Sreebalan berkata Singapura harus memperhalusi prosedur di bawah RGL kerana ia rata-rata digunakan untuk tujuan perniagaan.

"Mengapa menangguhkannya hingga tiga bulan sedang mereka sudah mula memberi vaksin kepada warga mereka?

"Mengapa mereka tidak dapat memperhalusi proses itu dan hanya membenarkan mereka yang telah divaksin untuk menggunakan RGL?

"Kini disebabkan penggantungan RGL ini, ramai rakyat Malaysia bimbang jika Singapura akan menangguhkan Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA) pula, yang akan menjejas ramai orang," tambahnya.

Encik Dayalan menambah, beliau baru-baru ini bertemu dengan beberapa pemilik perniagaan Singapura yang berminat untuk memindahkan perniagaan mereka ke Johor dan mengambil penduduk setempat bekerja dengan gaji yang lumayan.

"Sekarang dengan penggantungan RGL, ini mungkin menakutkan pemilik perniagaan sedemikian daripada berpindah ke Iskandar," katanya.

RGL sebelum ini membolehkan perjalanan rentas sempadan untuk perniagaan dan tujuan penting antara Malaysia dengan Singapura, untuk maksimum 400 orang seminggu, bagi penginapan selama dua minggu.

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3