Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Zahid: Doktor pakar asing boleh rawat Anwar

Nov 12, 2015 | 03:03 PM



LONDON (Britain): Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pemimpin pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dibenarkan membawa pakar perubatan dari luar negara merawatnya di Malaysia selain diberikan rawatan pakar perubatan tempatan untuk mengubati masalah kesihatan yang dialaminya.


Datuk Seri Dr Ahmad Zahid berkata, penjelasan itu diberikan kepada Setiausaha Dalam Negeri Britain, Cik Theresa May; dan, Menteri Negara di Pejabat Luar Negeri dan Komanwel, Encik Hugo Swire, yang bertanya mengenai rawatan perubatan kepada bekas ketua pembangkang Malaysia itu semasa beliau bertemu mereka secara berasingan di sini pada Selasa dan Rabu.


Datuk Seri Dr Ahmad Zahid yang menamatkan lawatan empat hari ke Britain semalam berkata, kedua-dua pemimpin itu bertanyakan soalan itu dengan mengaitkannya kepada sepucuk surat yang dihantar oleh Perdana Menteri Britain, Encik David Cameron, kepada Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak, bertanyakan mengenai rawatan yang diberikan kepada Datuk Seri Anwar, yang kini sedang menjalani hukuman di penjara Sungai Buloh.


Pada pertemuan itu, beliau juga telah menjelaskan kepada mereka bahawa Datuk Seri Najib turut menerima surat daripada presiden Georgetown University yang melampirkan dua pucuk surat iaitu daripada Setiausaha Negara Amerika John Kerry dan penasihat keselamatan Amerika Susan Rice bertanyakan persoalan yang sama.


"Tentunya pertanyaan ini ada kaitan dengan gambaran solah-olahnya (Datuk Seri) Anwar tidak langsung diberikan sebarang layanan yang sepatutnya, terutama dari segi pemberian rawatan dan perubatan yang sepatutnya diberikan.


"Saya telah menyatakan bagi pihak kerajaan Malaysia dan Jabatan Penjara Malaysia bahawa sesungguhnya Anwar telah diberikan rawatan yang sepatutnya.


"Ini termasuklah keputusan oleh Jabatan Penjara untuk membenarkan kumpulan pakar perubatan dari Universiti Georgetown, Amerika Syarikat, datang ke Malaysia bagi menjalankan rawatan dan melakukan sebarang prosedur operasi terhadap sakit yang dialami oleh Anwar," katanya pada sidang akhbar dengan wartawan Malaysia di sini.


Datuk Seri Dr Ahmad Zahid juga menjelaskan kepada kedua-dua pemimpin Britain itu bahawa pakar-pakar perubatan dari luar negara itu dibenarkan dibawa dan melakukan rawatan ke atas Datuk Seri Anwar di mana-mana hospital kerajaan.


Beliau berkata, mereka juga boleh membawa kumpulan doktor pakar termasuk pembantu perubatan yang diperlukan sesuai dengan masalah kesihatan yang dialami pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu.


Laporan sebelum ini menyebut bahawa Datuk Seri Anwar mengalami kecederaan bahu kronik.


Datuk Seri Anwar, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid, kini ditempatkan di wad dalam Penjara Sungai Buloh dan telah diberikan rawatan perubatan di dalam penjara serta rawatan pakar di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Pusat Perubatan Universiti Malaya.


Penjelasan yang diberikan beliau itu, katanya telah mengejutkan kedua-dua pemimpin dari Britain itu, barangkali kerana gambaran yang diberikan kepada mereka sebelum ini ialah Datuk Seri Anwar seolah-olah langsung tidak diberikan sebarang rawatan oleh doktor pakar atau doktor-doktor di Malaysia.


Datuk Seri Dr Ahmad Zahid meminta semua pihak tidak menyalah tafsir penjelasan itu sebagai menggambarkan bahawa Datuk Seri Anwar diberikan layanan istimewa oleh pihak Jabatan Penjara tetapi ia hanya disebabkan keperluan terhadap rawatan oleh doktor pakar.


Beliau berkata khidmat doktor pakar dari luar negara yang memberikan rawatan kepada Anwar sebenarnya tidak perlu kerana hakikatnya ada doktor-doktor pakar dalam bidang yang sama di negara ini.


"Tetapi oleh kerana pihak Jabatan Penjara merasakan bahawa ia bagi memberi gambaran kepada komuniti antarabangsa bahawa kita memberikan layanan mengikut asas kemanusiaan, maka keputusan itu harus diterima dengan berlapang dada dan berfikiran terbuka oleh semua pihak dan ia bukannya memberi sebarang keistimewaan kepada Anwar.


"Saya harap pihak keluarga menerima keputusan Jabatan Penjara itu dengan berlapang dada kerana beberapa pertanyaan telah dibuat dalam persidangan Dewan Rakyat terutamanya apabila perbahasan mengenai belanjawan yang menyentuh pertanggungjawaban Kementerian Dalam Negeri, khususnya penjara yang digambarkan seolah-olah tidak ada rawatan, layanan pertemuan dan juga bantuan guaman diberikan kepada Anwar," katanya.


Datuk Seri Dr Ahmad Zahid berkata, jemaah menteri telah dimaklumkan bahawa terdapat hampir 200 lawatan semasa Datuk Seri Anwar dalam tahanan penjara sama ada daripada pakar perubatan, doktor-doktor perubatan, peguam-peguam yang mengendalikan 16 kes Anwar yang masih berjalan di mahkamah selain pertemuan anggota keluarga sama ada di penjara ataupun di hospital ketika beliau menerima rawatan.


Pihak berkuasa bagaimanapun tidak dapat memenuhi permohonan beberapa pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa dan pemimpin politik antarabangsa untuk bertemu Datuk Seri Anwar, katanya.


Beliau berkata, ini kerana Akta Penjara serta tatacara dan perundangan sedia ada dan seseorang yang berada dalam tahanan tidak seharusnya mendapat sebarang keistimewaan kerana beliau seorang yang dikenali ramai.


Datuk Seri Dr Ahmad Zahid berharap, penjelasannya itu akan memberikan gambaran kepada masyarakat antarabangsa bahawa hukuman yang dikenakan ke atas bekas timbalan perdana menteri itu bukan kerana kesalahan politik dan beliau bukan tahanan politik.


Datuk Seri Anwar telah melalui proses perundangan yang keputusannya bukan keputusan kerajaan tetapi keputusan mahkamah mengikut sistem keadilan di Malaysia dan ia tidak ada kena mengena dengan kononnya ada campur tangan daripada pihak kerajaan dalam perbicaraan berkenaan, katanya.


Timbalan Perdana Menteri berkata penjelasan yang diberikannya itu adalah dalam pengetahuan semua ahli jemaah menteri dan ia telah dikemukakan sebagai laporan daripada Jabatan Penjara kepada Jemaah Menteri.


"Saya harap isu ini tidak dipolemikkan sama ada oleh pihak pembangkang atau mana-mana pihak yang menjadikannya sebagai isu kerana kesalahan dan proses undang-undang telah berjalan dan Jabatan Penjara menjalankan tugasnya sebagaimana yang diperuntukkan undang-undang dan peraturan penjara," katanya. - mStar Online




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >