Subuh
5:55
Syuruk
7:16
Zuhur
1:19
Asar
4:41
Maghrib
7:20
Isyak
8:32
Dunia0

Zahid minta jangan desak Muhyiddin isu jawatan TPM

Dec 01, 2020 | 05:30 AM

BAGAN DATUK: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta pemimpin dan ahli Umno supaya tidak mendesak Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mewujudkan semula jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) dengan memberi kuota kepada parti itu.

Presiden Umno itu berkata kuasa pelantikan timbalan perdana menteri, menteri dan timbalan menteri terletak sepenuhnya kepada budi bicara perdana menteri.

"Spekulasi, tafsiran atau sebarang analisis mengenai jawatan timbalan perdana menteri tidak harus dibincang secara umum walaupun diakui ada dibincangkan dalam mesyuarat parti. Hak pelantikan itu adalah hak perdana menteri.

"Mana-mana parti boleh meminta tetapi jauhkan daripada mendesak kerana kita harus menghormati kuasa yang ada di tangan perdana menteri," katanya, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).

Datuk Ahmad Zahid berkata demikian kepada pemberita selepas bersarapan bersama penduduk setempat di Warung Kopi Atan Deris di Jeti Hutan Melintang kelmarin..

Mengulas, ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof, berpendapat tiada masalah untuk mewujudkan semula jawatan timbalan perdana menteri dan memberikan jawatan kabinet kedua tertinggi itu kepada Umno, yang kini sebahagian daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Namun beliau menegaskan keputusan itu terletak di tangan Tan Sri Muhyiddin.

Jelasnya lagi, jika usaha itu dapat memperkukuh kerajaan PN, ia patut dibincangkan dalam peringkat tertinggi bersama Tan Sri Muhyiddin.

"Secara peribadi saya tak nampak masalah (beri jawatan timbalan perdana menteri kepada Umno) kerana kita adalah rakan untuk mentadbir urus (negara) tetapi terpulang kepada perdana menteri sebab beliau yang mewujudkan Kabinet dan melantik menteri.

"Saya tidak menidakkan apa yang disebut tetapi kalau itu dilihat dapat memperkasa PN maka kita harus berbincang secara lebih mendalam," katanya seperti dipetik portal Utusan Online semalam.

Tan Sri Muhyiddin yang menggalas jawatan perdana menteri, pada Mac lalu memutuskan untuk tidak melantik timbalan perdana menteri.

Namun beliau telah melantik empat menteri kanan. Antaranya Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Dr Mohd Radzi Jidin (dari Bersatu), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (Umno) dan Datuk Seri Fadilah Yusoff (Gabungan Parti Sarawak).

Sementara itu, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri, berkata parti itu akan membangkitkan semula kedudukan jawatan tersebut kepada Tan Sri Muhyiddin sebaik sahaja perbahasan pembentangan Belanjawan 2021 selesai di Dewan Rakyat.

Beliau berkata isu jawatan timbalan perdana menteri tidak pernah didiamkan kerana parti berkenaan merupakan pemilik kerusi terbesar dalam kerajaan ketika ini, lapor lama web Astro Awani.

Lebih-lebih lagi, tegas Ahli Parlimen Bera itu, apabila tiada pemimpin Umno diberi jawatan tertinggi dalam Kabinet selain Menteri Kanan Pertahanan yang disandang beliau ketika ini.

"Barisan Nasional (BN) ada 42 kerusi (Parlimen), paling besar, tetapi kita tidak ada jawatan tertinggi. Menteri Kanan saya seorang, yang lain (tiga) semua daripada PN.

"Jadi adillah kalau Umno minta jawatan TPM dan wajar diberi sebagai mana cadangan Biro Politik dan dipersetujui Majlis Tertinggi (Umno)," katanya dalam wawancara dengan akhbar Mingguan Malaysia yang diterbitkan pada Ahad lalu.

Video Baru

Podcast Baru

Try the new Halal Food Map