Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

ANALISIS BERITA

Zahid penuh strategi walau ditanggap lemah

Jul 09, 2021 | 05:30 AM



DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang sering digelar sebagai presiden Umno paling lemah dalam sejarah parti Melayu terbesar di Malaysia itu, memberi amaran pertama kepada pengkritik dalaman parti supaya jangan memandang remeh kuasa institusi presiden parti.



Presiden kelapan Umno itu semalam menggunakan wadah Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti untuk 'mendiamkan' pengkritiknya dengan mengumumkan Umno menarik balik sokongan bagi Perdana Menteri Tan Sri Muyiddin Yassin serta-merta.



Berikutan keputusan yang difahamkan mendapat sokongan dua pertiga daripada 56 anggota MKT itu, terputuslah 'perkahwinan' Umno dan Bersatu, yang membentuk kerajaan pakatan Perikatan Nasional (PN) sejak 17 bulan lalu.



Datuk Dr Ahmad Zahid, Anggota Parlimen Bagan Datuk, Perak, bijak menggunakan wadah berpaksikan kehendak akar umbi parti untuk membuat keputusan penting bagi menentukan hala tuju parti yang pernah menerajui gabungan parti Barisan Nasional (BN) memerintah Malaysia selama 61 tahun sebelum kecundang pada Pilihan Raya Umum (GE) ke-14 pada 2018.



Dalam tempoh pemilihan sebagai presiden Umno sejak 2018, mantan timbalan perdana menteri Malaysia itu sering merujuk kepada MKT dan Perhimpunan Agung Umno (PAU) apabila timbul isu penting yang perlu diputuskan parti.



Semasa 'perkahwinan' dengan Bersatu mula nampak retak pertengahan tahun lepas, beliau menggunakan wadah PAU 2020, iaitu kuasa tertinggi parti untuk membuat keputusan mengenai hubungan masa depan dua parti itu.



Beliau tahu sebarang keputusan yang diambil oleh perwakilan PAU yang mewakili akar umbi tidak boleh diubah melainkan diadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) untuk mengambil keputusan baru. Pada masa sama Fasal 9.1 perlembagaan parti memberi hak kepada MKT untuk mengambil sebarang langkah bagi pihak PAU pada masa ketiadaannya.



Sehubungan itu, beliau menggunakan wadah PAU bagi merealisasi agenda menamatkan kerjasama dengan Bersatu dan pada masa sama PAU memberi mandat kepada MKT untuk melaksana ketetapan pada bila-bila masa bagi kepentingan parti.



Itulah dua senjata besar sulit yang dimiliki presiden UMNO yang apabila digunakan boleh 'membunuh' musuh dalamannya dengan sekelip mata. Seorang presiden yang boleh membuat aturan ke atas PAU dan MKT mempunyai kuasa besar dan agak sukar disingkir.



Dalam hubungan dengan Bersatu atau PN, Datuk Dr Ahmad Zahid sering dilihat amat lemah dan dianggap gagal mengawal 17 menteri atau timbalan menteri dalam kabinet Tan Sri Muhyiddin.



Beliau sering mengkritik kegagalan kerajaan di media sosial dan secara terbuka, terutama tentang isu darurat serta pandemik Covid-19, sedangkan sebagai presiden Umno beliau boleh saja menyalurkan sebarang aduan kepada menteri dan timbalan menteri daripada parti itu.



Tindak tanduk Datuk Dr Ahmad Zahid itu memberi peluang kepada musuh politiknya menyerang secara terbuka dengan hilang rasa hormat terhadap presiden parti mengkritik keras ke atas kepimpinan beliau.



Belum pernah dalam sejarah Umno anggota mempersoal kepimpinan presiden parti bebas daripada sebarang tindakan. Tetapi ia berlaku sejak Umno tidak lagi dominan dalam kerajaan, sekali gus presiden dianggap sudah tidak mempunyai kuasa lagi untuk mengagih-agihkan 'hadiah' kepada anggota parti.



Tokoh veteran Umno seperti Datuk Seri Nazri Aziz, Tan Sri Shahidan Kassim dan Tan Sri Anuar Musa secara terbuka menyerang kepimpinan Datuk Dr Ahmad Zahid, malah mendesak beliau meletak jawatan atau dihadapkan ke Lembaga Disiplin parti kerana didakwa menyokong Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menjadi Perdana Menteri.



Tan Sri Anuar, yang sejak dipecat sebagai setiausaha agung BN oleh Datuk Dr Ahmad Zahid, menyerang bertubi-tubi keperibadian bekas ketuanya itu dengan mendakwa mempunyai surat presiden Umno itu, yang menyatakan sokongan AP Umno bagi Datuk Seri Anwar menjadi Perdana Menteri, yang diutuskan kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA).



Serangan itu langsung tidak disambut Datuk Dr Ahmad Zahid, sekadar menyindir semasa berucap pada PAU 2020 bahawwa ada pemimpin Umno pengkhianat kerana lebih mesra dengan Bersatu berbanding setia.



Malah, beliau hanya beristiqamah dan menasihati anggota agar terus membantu rakyat susah semasa diasak sejak dua minggu lalu hingga kelmarin oleh Datuk Seri Nazri, yang mendakwa Datuk Dr Ahmad Zahid tidak bercakap benar mengenai Tan Sri Muhyiddin hingga menyebabkan beliau menarik balik sokongan ke atas Perdana Menteri tahun lepas.



Beliau juga mengaku menjadi dalang kepada kumpulan yang mengumpul Perisytiran Berkanun (SD) dalam kalangan 39 AP Umno serta BN dan menamakan Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai jurucakap mereka sekiranya dipanggil mengadap YDPA, kerana sudah hilang kepercayaan ke atas kepimpinan presiden Umno.



Begitu juga beliau mendabik dada mendakwa kumpulan itu sudah mendapat sokongan lebih 30 AP Umno dan BN yang tidak bersetuju dengan keputusan Datuk Dr Ahmad Zahid memutuskan hubungan dengan kerajaan PN sebelum Parlimen dibubar. Bagi merancakkan gerakan meminta presiden Umno meletak jawatan, beberapa pemimpin akar umbi membuat gesaan yang sama ke atas pemimpin nombor satu itu.



Bagaimanapun, majoriti pengkritik atau musuh dalam selimut itu bukan anggota MKT yang boleh membuat 'checkmate' ke atas presiden mereka. Mereka boleh membuat bising selagi mereka mahu tetapi akhirnya MKT kuasa pemutus. Di sinilah kekuatan Datuk Dr Ahmad Zahid yang tidak ada pada musuhnya. Selain anggota MKT dipilih melalui PAU, presiden diberi kuasa melantik 13 anggota tambahan dan sudah tentu mereka yang dilantik 'orang-orang' presiden parti tersebut.



Sebenarnya mereka tersilap perhitungan terhadap presiden mereka yang selama ini dianggap lembik dan lemah, tetapi dalam diam penuh dengan strategi.



Kini puak-puak penentang presiden Umno tersepit dengan ketetapan MKT itu, termasuk naib presiden Datuk Sri Ismail Sabri Yakcob, yang menerima jawatan Timbalan Perdana Menteri tanpa kelulusan MKT, dan Datuk Hishammudin yang menerima jawatan Menteri Kanan juga di belakang pengetahuan MKT.



Terpulang pada puak-puak penentang itu sama ada mematuhi keputusan parti atau terus duduk di kerusi empuk, bergaji dan berkereta besar tetapi kehilangan status sebagai anggota Umno.



Ketetapan MKT yang ditunggu-tunggu akar umbi yang sudah bosan dengan permainan kotor anggota Bersatu memudahkan Datuk Dr Ahmad membawa Umno keluar daripada kegelapan selepas beban yang digalas sudah tiada.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >