Subuh
5:35
Syuruk
6:58
Zuhur
1:05
Asar
4:30
Maghrib
7:10
Isyak
8:25

Zahid usul darurat tidak dilanjut

Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Dunia
28
0

Zahid usul darurat tidak dilanjut

Jun 12, 2021 | 05:30 AM

KUALA LUMPUR: Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, mengusulkan tidak dilanjutkan keadaan darurat yang sedang berkuat kuasa di Malaysia, selain Parlimen bersidang semula, dalam satu pertemuan dengan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara semalam.

Umno parti terbesar dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).

"Ini untuk memastikan sistem demokrasi negara dipertahankan," kata Datuk Ahmad Zahid kepada wartawan menyusuli pertemuan beliau dengan Sultan Abdullah Ahmad Shah selama sejam, lapor The Straits Times.

Yang di-Pertuan Agong telah bertemu pemimpin parti politik sejak Rabu di Istana Negara.

Semalam, selain pemimpin Umno, turut menemui Yang di-Pertuan Agong adalah pemimpin Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Kongres India Malaysia (MIC).

Pada Isnin ini pula, sesi menghadap Sultan Abdullah akan membabitkan wakil daripada empat parti di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan berlangsung secara maya.

Kelmarin, mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, dalam pertemuannya dengan Yang di-Pertuan Agong, mengusulkan penubuhan Majlis Gerakan Negara (Mageran) di bawah keadaan darurat.

Beliau menawarkan diri untuk memimpin majlis itu.

Dr Mahathir berkata Mageran, yang memerintah Malaysia selama dua tahun setelah rusuhan 13 Mei 1969, membolehkan perdana menteri kedua Malaysia, Tun Abdul Razak Hussein, untuk "menyelesaikan masalah politik pada masa itu" dengan membawa masuk parti pembangkang untuk membentuk pakatan kerajaan Barisan Nasional lebih luas yang mempunyai majoriti lebih kuat.

Yang di-Pertuan Agong menemui semua pemimpin parti politik untuk mendengar pandangan mereka mengenai krisis Covid-19 di negara itu dan keadaan darurat yang berkuat kuasa sejak Januari lalu, dengan persetujuannya, untuk membolehkan kerajaan mengekang penularan wabak itu.

Keadaan darurat itu berakhir Ogos ini.

Namun krisis itu telah bertambah buruk dalam tempoh darurat, dengan Malaysia melaksanakan sekatan penuh ketiganya yang berakhir pada 14 Jun.

Selain Tun Mahathir, Sultan Abdullah juga antaranya telah menemui Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin; Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP), Encik Lim Guan Eng; dan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Encik Mohamad Sabu.

Yang di-Pertuan Agong dijadual bertemu dengan lapan Raja lain dalam satu persidangan khas pada 16 Jun ini untuk membincangkan krisis darurat dan Covid-19.

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3