KUALA LUMPUR: Presiden syarikat pelaburan kerajaan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berkata pada Selasa (26 April) ia mengambil sikap terbuka mengenai faedah bagi satu lagi bon bernilai AS$1.75 bilion ($2.37 bilion) yang harus dibayar pada 11 Mei.
"Kami bersikap terbuka mengenai pilihan kami berkaitan kupon (faedah) 11 Mei itu dan akan menanganinya apabila masa pembayarannya semakin dekat," kata Encik Arul Kanda Kandasamy dalam temu bual dengan Reuters.
Di bawah syarat perjanjian yang dicapai pada Jun tahun lepas, syarikat dana kekayaan negara Abu Dhabi, International Petroleum Investment Co (IPIC), seharusnya membayar faedah bagi bon itu.
Namun, IPIC menamatkan perjanjian tersebut dan berkata 1MDB telah mengingkari perjanjian itu.
"Jaminan itu jelas dan tidak ada pertikaian - IPIC berkata mereka akan membayar di bawah perjanjian jaminan dan 1MDB sebagai peminjam adalah penanggung obligasi utama," kata Encik Arul.
Kupon pada 11 Mei itu ialah untuk bon AS$1.75 bilion Energy Limited 1MDB yang memberi faedah tetap 5.99 peratus.
Awal sebelum itu pada Selasa (26 Apr), 1MDB telah berkata ia tidak membayar kupon sebanyak AS$50.3 juta bagi satu bon AS$1.75 bilion, menyusuli pertikaiannya dengan IPIC itu.
Ini mencetus kegagalan merentas pembayaran faedah beberapa bon lain.
Encik Arul berkata beliau terbuka untuk menyelesaikan isu ini dengan IPIC demi kepentingan pihak berkepentingan.
Beliau juga berkata 1MDB tidak mempunyai rancangan membuat bayaran awal ke atas bon-bon tersebut.