SIRI MEMPERSIAP BAGI EKONOMI MASA HADAPAN

Andalus utamakan peningkatan mutu tenaga kerja

BERMULA dari sebuah kelas pendidikan agama yang kecil di Bukit Batok, Andalus Corporation telah berkembang menjadi antara penyedia pendidikan agama swasta terbesar dari peringkat tadika hingga diploma yang mempunyai 12,000 pelajar dan 17 cawangan serata Singapura.

Perkembangan itu tentunya tidak akan dicapai tanpa usaha berterusan dalam meningkatkan kemahiran, sikap dan pengetahuan lebih 270 warga kerja syarikat itu agar mereka dapat menyediakan pendidikan yang bermutu kepada pelanggan.

Usaha memperkasa mutu warga kerja syarikat dilaksana hasil visi dan perancangan di kalangan kepimpinan syarikat bagi melakarkan struktur tersusun bagi melatih kakitangan, kata Pengarah Jabatan Pengurusan Andalus Corporation Pte Ltd, Encik Abdullah Othman.

"Kepimpinan perlu diperkasa dari sudut keupayaan untuk merancang dan mentadbir. Warga kerja juga dipertingkat dari segi kemahiran untuk mengajar di kelas, kemahiran mentadbir di pejabat. Mereka perlu diberi latihan untuk bersedia dengan permintaan yang pelbagai dan operasi yang lebih besar,'' kata Encik Abdullah, yang ditemu ramah baru-baru ini.

Menurutnya, Geran Pembangunan Keupayaan (CDG) dari Enterprise Singapore (ESG) merupakan peluang keemasan bagi mempertingkat keupayaan syarikat menghadapi keperluan semasa.

"Kita dapati peluang yang diberikan sangat berharga membolehkan kita mendapat nasihat pakar untuk memperbaiki ruang-ruang yang masih lemah dan perlu dipertingkat dan juga bagaimana kita benchmark kemahiran yang ada di peringkat kebangsaan.

"Jadi rugi kalau kita tidak manfaatkan geran-geran yang disediakan. Jadi, kita perlu tahu apa yang disediakan dan bagaimana kita memanfaatkannya,'' ujar Encik Abdullah.

Syarikat itu mendapatkan CDG dari Spring Singapore (kini Enterprise Singapore), yang membiayai 70 peratus kos projek peningkatan Andalus bagi membaiki tiga aspek peningkatan dalam pengurusan bakat, rangka kerja pekerjaan dan gaji dan faedah pekerja. SSA Consulting Group merupakan syarikat rundingcara yang menasihati Andalus bagi mendapatkan geran ini.

Dalam pengurusan bakat, syarikat tersebut ingin melakarkan sistem antara lain bagi mengenal pasti kepakaran yang diperlukan, kaedah menarik bakat, proses interviu, cara pemilihan serta bagaimana pekerja yang dipilih itu dapat meyumbang kepada syarikat.

Setiap mereka perlu menjalani latihan sehingga 300 jam setahun bagi membaiki tiga aspek yang penting dari segi pengetahuan, kemahiran dan sikap.

Tahun lalu, Andalus membelanjakan lebih $110,000 bagi ehwal latihan kakitangan setelah mengambil kira geran pemerintah seperti dari SkillsFuture Singapore.

Malah, Andalus amat menggalakkan warga kerja yang terpilih untuk meneruskan pembelajaran pasca siswazah seperti Sarjana dan kelulusan peringkat Kedoktoran (PhD).

"Andalus menaja 50 peratus dari yuran PhD atau Sarjana mereka dan menggandakan jumlah cuti tahunan kepada 42 hari setahun agar mereka dapat membuat kajian di samping bertugas.

"Dari situ, kami melihat diri mereka dipertingkat dari sudut pengurusan, kemahiran dan keupayaan dan dapat menjalankan tugas dengan lebih baik,'' jelas Encik Abdullah, sambil menambah ketika ini seramai lima kakitangannya sedang menjalankan PhD dan tujuh di peringkat Sarjana dalam pelbagai bidang yang sesuai dengan minat dan keperluan kerjaya mereka.

Mencerminkan usaha berterusan syarikat untuk mencapai kecemerlangan, Andalus menjadi syarikat swasta dimiliki oleh pemilik Melayu/Islam pertama mendapat pengiktirafan Kelas Mutu Singapura (SQC).

SQC, yang diperkenal pada 1997, mengiktiraf pertubuhan yang mencapai prestasi rangka kerja cemerlang dalam perniagaan.

"Kita perlu mempunyai minda yang sentiasa berfikir dan belajar. Kita juga mempunyai moto build to last maknanya berdaya tahan, serta merentasi tempat dan masa.

"Jadi dengan SQC, kita dapat rangka dari sudut kepimpinan, proses, strategi - kita dapat memastikan struktur organisasi itu mantap dan dapat memberikan respons kepada cabaran masa kini dan menjadi berdaya tahan. Jadi, walaupun pengasasnya tidak ada, penggantinya diharap dapat meneruskan kepimpinan syarikat dengan lebih baik,'' tambah Encik Abdullah.

Dengan SQC, mereka juga digalak meluaskan khidmat dan produk bagi dipasarkan di peringkat antarabangsa.

Andalus telah menterjemah buku-buku teks agama serta buku cerita berteraskan Islam dalam beberapa bahasa termasuk Perancis, Mandarin, Tamil dan Bahasa Indonesia.

Buku-buku mereka dalam Bahasa Inggeris sudah pun digunakan oleh sekolah-sekolah antarabangsa di Malaysia, dan mereka berharap menjual buku-buku dalam bahasa lain melalui laman dagang elektronik agar meningkatkan penjualan antarabangsa.

Menurut Encik Andullah, syarikat Andalus International juga sudah dibentuk baru-baru ini bagi melakar strategi untuk menembusi pasaran antarabangsa. Syarikat itu sudah pun mendaftar di Malaysia bagi memasarkan produknya.

"Dengan jenama Singapura yang sangat bernilai dan diyakini, penyejagatan merupakan satu peluang keemasan untuk kita kongsi khidmat dan pemikiran di luar Singapura.

"Kami telah melihat bahawa dengan perubahan semasa, media digital memenuhi keperluan semasa dan boleh menyerantau dengan lebih pantas. Kami akan memasarkan produk kita di luar Singapura dengan sasaran termasuk di China dan India,'' tambah Encik Abdullah.

  • Laporan ini dibawakan oleh Majlis Ekonomi Masa Hadapan.

 

Galeri Foto