Subuh
5:30
Syuruk
6:53
Zuhur
12:55
Asar
4:19
Maghrib
6:56
Isyak
8:10
Halal Food Map
Turn on your location  and discover halal restaurants near you.
Ekonomi & Kerja0

Belanjawan dibentang 3 petang ini

Feb 18, 2020 | 05:30 AM

BEBERAPA jam sebelum Belanjawan Negara dibentangkan di Parlimen pada 3 petang hari ini, pasukan dari Kementerian Kewangan (MOF) terpaksa bekerja lembur bagi mengemas kini maklumat akibat penularan koronavirus.

Dalam posnya di Facebook malam semalam, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Heng Swee Keat berkata, #SGBudget2020 akan meliputi langkah yang 'tidak dirancangkan sebulan lalu' tetapi dapat dilakukan disebabkan rizab kewangan negara yang kukuh.

"Biasanya, kami akan siapkan perincian seawal mungkin. Tahun ini, kami tidak dapat lakukannya kerana penularan Covid-19.

"Pasukan MOF telah bekerja lembur bagi memantau keadaan yang pantas berubah, mendengar saranan rakyat Singapura, dan memperkenalkan langkah sokongan yang disasarkan,'' kata Encik Heng, yang melahirkan penghargaan kepada para kakitangannya yang kebanyakan mereka merupakan para pegawai muda.

Rizab kewangan yang kukuh memberikan negara ini keupayaan dan keyakinan bagi menangani keadaan tidak dijangkakan seperti koronavirus.

Selain itu, beliau menambah 'rizab' lain juga berupa kekuatan, keutuhan dan belas ihsan yang ditunjukkan pegawai awam dan rakyat Singapura.

"Jika kita tidak memiliki ciri-ciri ini, kita tidak akan kekal bersatu bagi melalui krisis dan menjadi lebih kukuh.

"Tanpa rizab ini, keadaan kita lebih buruk dari segi kewangan dan psikologi,'' kata Encik Heng, sambil menambah bahawa pasukannya tidak akan dapat meluangkan masa beberapa minggu lalu untuk memperkenalkan langkah sokongan dan kestabilan.

Belanjawan itu akan meliputi pakej bantuan bagi menangani kelemahan ekonomi disebabkan wabak koronavirus di sini.

Ia termasuk langkah bagi mengurangkan perbelanjaan harian keluarga serta sokongan untuk perusahaan tempatan, termasuk rebat cukai.

Sektor yang terjejas dengan wabak itu khususnya pelancongan dan pengangkutan dijangka menerima bantuan.

Sewaktu melawat Lapangan Terbang Changi minggu lalu, Perdana Menteri Lee Hsien Loong, menyatakan penularan koronavirus akan memberi kesan ketara ke atas ekonomi, dan kesannya sejauh ini sudah melebihi Sars.

Ramalan pertumbuhan ekonomi Singapura tahun ini telah diturunkan kepada -0.5 dengan 1.5 peratus, berbanding ramalan sebelum ini sebanyak 0.5 hingga 2.5 peratus.

Perincian mengenai pakej sokongan bagi meredakan kesan kenaikan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), yang akan dinaikkan kepada 9 peratus daripada 7 peratus dan akan dilaksanakan dari 2021 hingga 2025, akan diumumkan dalam Belanjawan ini.

Cik Rahayu Mahzam, Anggota Parlimen GRC Jurong yang juga Timbalan Pengerusi Panel Penyeliaan Reach, berkata keprihatinan rakyat masih mengenai isu kos kehidupan dan pekerjaan.

"Tentunya kenaikan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang akan dilaksana menjadi kebimbangan mereka. Pemerintah juga menyatakan bahawa pakej sokongan akan dibentangkan bagi membantu mereka,'' kata Cik Rahayu.

Sementara itu, Belanjawan itu akan juga terus mengukuhkan keupayaan syarikat dan menggalak pekerja terus meningkatkan kemahiran.

Liputan langsung Belanjawan boleh ditonton dan didengar menerusi televisyen dan radio, menurut MOF.

Dalam pada itu, satu siaran web secara langsung juga boleh didapati di laman web Belanjawan Singapura, kata MOF.

Video Baru

Podcast Baru

Ciri baru

Alat terjemah Berita Harian