Subuh
5:31
Syuruk
6:54
Zuhur
12:57
Asar
4:21
Maghrib
6:57
Isyak
8:12
Halal Food Map
Turn on your location  and discover halal restaurants near you.
Search Distance From Your Location = 1 KM
100 M 1 KM
No restaurant found within  from your distance.
Ekonomi & Kerja0

Cabaran Covid-19 bagi pemilik niaga

Mar 29, 2020 | 05:30 AM

Penularan Covid-19 bagaikan satu gelombang kuat melanda seluruh dunia. Angka kematian semakin meningkat. Penerbangan di seluruh dunia berkurangan. Sekatan sempadan dikenakan banyak negara. Permintaan-permintaan berkurangan. Pemimpin perniagaan perlu mengharungi cabaran itu demi menakat dan menjaga perniagaan mereka. NORHAIZA HASHIM (norhaiza@sph.com.sg) menanyakan keadaan beberapa Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Melayu/Islam mengenai kesan Covid-19 terhadap perniagaan mereka dan tumpuan mereka ketika ini.

CEO Second Chance Properties Ltd,
Encik Salleh Marican

"Ia amat membimbangkan. Kita berada dalam keadaan di mana kita tidak mempunyai kawalan.

Faktor yang menenangkan ialah keyakinan kita bahawa pemerintah membuat keputusan yang terbaik untuk mengharungi tempoh ini.

Kami mempunyai lebih 60 penyewa yang perniagaan runcit mereka, seperti kami, terjejas teruk dengan penularan ini.

Jika keadaan tidak bertambah baik dan berterusan selama beberapa bulan mendatang, banyak penyewa kami tidak akan dapat membayar sewa mereka dan ada yang terpaksa tutup."

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO)
Kumpulan G-Environment Energy Solutions (GENES)
dan Pengarah Urusan Enercon Asia,
Encik Azhar Othman

"Firma kami mempunyai banyak projek di negara serantau seperti Malaysia dan Indonesia.

Saya juga sepatutnya menandatangani perjanjian usaha sama di Bangladesh dan melawat Filipina.

Banyak projek itu terpaksa ditunda menyebabkan 20-30 peratus pendapatan kami tergantung.

Tumpuan saya ialah menyemak semula strategi kami dan memantau keadaan kewangan kami. Jika kemelesetan berlaku dan senario terburuk ia berlanjutan dengan tempoh agak lama, kami perlu berfikir bagaimana menangani keadaan itu.

Buat masa ini, kami menumpukan perhatian kepada pasaran Singapura.

Oleh kerana sekatan sempadan dikenakan beberapa negara, kakitangan kami di negara-negara serantau terpaksa berhubung dalam talian dan ini akan menjadi sesuatu yang normal sehingga keadaan reda kembali.''

CEO PropNex Realty,
Encik Ismail Gafoor

"Tumpuan pertama tentunya ialah keselamatan ejen-ejen hartanah sedang lebih banyak kes berlaku di Singapura dan kami tidak mahu ambil ringan mengenai keselamatan ejen hartanah, kakitangan dan mereka yang sayangi.

Kedua, tumpuan kami ialah menetapkan proses dan struktur agar PropNex bersedia menghadapi keadaan tidak dijangkakan ini jika ejen atau kakitangan kami terkena virus itu.

Kesinambungan perniagaan ini amat penting bagi ejen kami yang mencapai lebih 8,400 orang agar mereka dapat terus mendapat pendapatan bagi menyokong keluarga mereka.

Ketiga, ia amat penting bagi ejen kami terus dilengkapi dengan pengetahuan yang perlu agar dapat terus mengendalikan perniagaan mereka seperti biasa.

Bagi terus memperkasa mereka, PropNex telah menyemak latihan dan seminar kami dalam bentuk penstriman langsung bagi kemudahan mereka. Ejen kami dapat melihatnya dari keselesaan rumah mereka dan tidak lagi hadir dalam tempat yang sesak.

Pengasas dan Pengarah Urusan firma pemadanan jodoh It's Just Lunch,
`Cik Anisa Hassan

"Penularan ini telah menjejas cara saya menjalankan perniagaan kerana perniagaan saya memerlukan pertemuan.

Ramai bakal pelanggan saya yang membatalkan temu janji dengan kami. Apa yang boleh saya lakukan ialah menyediakan khidmat terbaik bagi pelanggan yang sedia ada melalui panggilan ke rumah.

Secara umum, pendapatan kami telah terjejas kerana perlunya kami lebih bertanggungjawab secara sosial."

Pemilik restoran Chilli Cobek dan Wahyu Brand,
Encik Nor Hashim Hassan

"Sebagai perniagaan yang bergantung kepada pasaran runcit seperti pasar raya mini dan gerai-gerai di pasar yang menjual produk kami, mereka dapati bilangan pelanggan telah berkurangan dan ini merupakan petanda membimbangkan bagi kami sebagai pengilang kerana ia akan menyebabkan pendapatan kami merosot.

Tumpuan kami ketika ini ialah mendekati pelanggan kami melalui media sosial dan iklan.

Kami ingin mendidik mereka mengenai faedah memasak di rumah dan menggunakan tempahan dalam talian seperti Facebook, Eamart, Shopee atau WhatsApp."

CEO SSA Group,
Encik Suhaimi Salleh

"Seperti banyak syarikat di Singapura, operasi kami juga terjejas dan kami ingin memastikan kesinambungan perniagaan kami. Kami telah membahagikan kakitangan kami kepada Kumpulan A dan B yang bekerja di rumah dan pejabat secara bersilir-ganti. Kami juga menggunakan lebih banyak sidang video bagi mesyuarat dan seminar, termasuk dengan pelanggan luar negara kami.

Sebagai penyedia latihan bertanggungjawab, kami juga meletakkan langkah pencegahan jarak jauh bagi pelatih seperti meletakkan kerusi yang tidak boleh dipakai antara dua pelatih dan mengurangkan bilangan pelatih dalam satu kumpulan seperti kursus membuat kuih. Suhu badan mereka juga diambil dan kami galakkan mereka menggunakan aplikasi, TraceTogether.

Tumpuan kami ialah membantu syarikat Singapura melatih semula kakitangan mereka dan menyesuaikan dalam sekitaran mencabar ini agar mereka dapat bersedia apabila keadaan pulih.

Krisis ini juga memberi peluang bagi kami mempercepatkan rombakan digital dalam perniagaan rundingcara dan pembelajaran kami."

Pemilik Charisma Bridal and Catering,
Cik Salwah Baharudin

"Covid-19 telah menjejas perniagaan kami terutama kakitangan kami yang sebahagiannya merupakan pemegang permit pekerjaan dari Malaysia.

Kami kekurangan tiga pekerja setelah Malaysia kenakan sekatan kawalan pergerakan.

Operasi kami juga terjejas kerana majlis perkahwinan Melayu kini perlu lebih kecil memandangkan undang-undang tidak membenarkan perhimpunan lebih 250 orang.

Kami perlu laksanakan langkah pencegahan bagi memenuhi langkah itu, menjarakkan kerusi dan meja dan mengambil suhu badan. Ia memerlukan kakitangan lebih ramai dan kos lebih tinggi.

Sebanyak lima pasangan juga memutuskan membatalkan majlis walimah mereka yang sepatutnya diadakan Jun ini. Ia menjejas pendapatan kami.

Untuk mengimbangi pendapatan, kami juga menawarkan khidmat penghantaran makanan."

Video Baru

Podcast Baru

Ciri baru

Alat terjemah Berita Harian