Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19

Dari jual sayur, berani teroka niaga makanan pula

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Ekonomi & Kerja
29
0

SIRI MEMPERSIAP BAGI EKONOMI BARU

Dari jual sayur, berani teroka niaga makanan pula

Mar 11, 2018 | 05:30 AM



DI Pasar Geylang Serai, Cik Siti Khadijah Mukhit memang cukup terkenal dengan panggilan Kak Ijah yang berniaga sayur-sayuran lebih-lebih lagi di kalangan anak kapal yang membeli daripadanya sebelum belayar jauh ke lautan samudera.



Setelah 18 tahun berniaga di sana, ramai terkejut apabila beliau mengambil keputusan menutup perniagaan itu bagi membuka kedai makan.



Bahkan, suaminya, Encik Syariffuddin, pada mulanya agak keberatan tetapi mengalah setelah isterinya begitu beriya-iya membuka perniagaan makanan sehingga terbawa dalam mimpi.



"Di Pasar Geylang, saya dikenali sebagai Kak Ijah yang membekalkan sayur-sayuran ke kapal-kapal di Bendungan Marina dan West Coast South Pier. Namun, saban tahun, penjualan saya di pasar semakin berkurangan. Apabila saya dengar pasar akan ditutup selama tiga bulan untuk diubah-elok, saya beritahu suami bahawa kita perlu cari perniagaan alternatif. Saya pula bermimpi saya membuka sebuah restoran. Ia bagaikan satu isyarat untuk saya membuka sebuah kedai makan,'' singkap Cik Siti Khadijah, 46 tahun, tersenyum mengenangkan mimpinya itu.



Walaupun tidak pernah buka kedai makan, anak orang Bawean itu memang gemar memasak daripada kecil kerana kerap membantu nenek dan ibunya yang memang pakar memasak lauk-pauk Melayu dan Bawean seperti kuah celok, sambal goreng dan botok-botok.



Impiannya menjadi kenyataan apabila beliau membuka sebuah gerai makanan, Laris Manis Kitchen, yang menjual nasi ambeng dan nasi campur di sebuah kedai kopi di Estet Perindustrian Ubi.



Sambutan menggalakkan itu mendorong beliau membuka restoran Aroma Kampung, di Joo Chiat Complex sejak setahun lalu.



Namun, permulaan perniagaan restoran itu tidak selancar yang diharapkan.



Oleh kerana perniagaan itu diambil-alih dari restoran makanan Melayu yang lain, beliau menghadapi beberapa cabaran yang perlu ditangani.



"Pada bulan pertama restoran itu beroperasi, saya dapati banyak makanan terbuang. Kos makanan amat tinggi mencecah $45,000 sebulan. Apabila dikaji, masalahnya ialah masakan yang telah dimasak terlalu banyak. Aneka makanan yang dijual untuk bufet mencapai 70.



"Untuk kurangkan pembaziran, saya kurangkan hingga 30-40 makanan. Saya tidak memasak berlebihan pada sebelah pagi tetapi akan menambah masakan jika makanan hampir habis. Oleh kerana pengalaman saya sebagai penjual sayur-sayuran, saya dapat membeli bahan makanan secara langsung daripada para pembekal, lantas membolehkan saya mengurangkan kos,'' jelas Cik Siti Khadijah.



Dalam tempoh tiga bulan, beliau berupaya mengurangkan kos makanan kepada $23,000 sebulan daripada $45,000 sebelum itu.



Dengan kos operasi dikurangkan, beliau menumpukan perhatian meningkatkan penjualan Aroma Kampong.



"Ramai yang ragu-ragu sama ada Aroma Kampung dapat menarik pelanggan memandangkan ia terletak di tengah-tengah pusat makanan Melayu di Geylang. Bagi menarik pelanggan, saya perlu berikan kelainan,'' jelasnya.



Menawarkan harga bufet sebanyak $25.90 pada hari biasa dan $27.90 pada hujung minggu, Aroma Kampung menyajikan makanan kampung seperti siput lemak, gong gong, sambal sotong dan lemak pucuk ubi.



Ia juga menyajikan lebih 10 jenis ulam-ulaman termasuk yang jarang diperolehi di restoran lain seperti daun selom dan daun meranti serta 13 jenis sambal seperti tempoyak dan sambal budu.



Bagi membaiki lagi pengurusan perniagaannya, Cik Siti Khadijah mendapatkan khidmat nasihat Pusat Syarikat Kecil Dan Sederhana di Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (Pusat SME@DPPMS).



"Dulu, masa berniaga di pasar, saya hanya gunakan baldi yang ditarik-turun bagi meletakkan duit. Duit yang dibayar pelanggan dimasukkan ke baldi tetapi kita tidak catatkan apa yang dijual dan harganya. Apabila mempunyai restoran, saya rasakan perlu membaiki cara pengurusan perniagaan. Saya dapatkan sofwe sistem mesin daftar tunai (POS) yang membolehkan saya mengetahui dengan jelas apa yang dijual, berapa ramai yang memakan secara bufet dan berapa penjualan saya. Saya dapat mengetahui mengapa penjualan saya bagi bulan tertentu adalah lebih rendah dari biasa,'' ujar beliau.



Malah, beliau juga mendapatkan akauntan Encik Mohammad Fazluddin, pemilik syarikat Mohammad Fazluddin & Partners, bagi memastikan sistem perakaunannya teratur.



Menyedari pentingnya media sosial dalam era perniagaan hari ini, Cik Siti Khadijah mendapatkan khidmat sebuah agensi pemasaran yang menguruskan segala aspek media sosial seperti Facebook dan Instagram.



Setiap hari, agensi itu akan memunggah foto atau promosi dijalankan Aroma Kampung bagi menggalak lebih ramai pelanggan.



"Sejak menggunakan media sosial, saya gembira dapat bilanggan pelanggan muda semakin bertambah. Apabila melihat pos di media sosial, mereka membawa ibu bapa menjamu selera di restoran kami. Ia secara tidak langsung membantu mendedahkan anak Melayu dengan makanan Melayu seperti ulam-ulaman,'' ujarnya.



Media sosial juga meningkatkan pemasaran restoran itu dalam kalangan pelanggan korporat dan bangsa asing termasuk pengkritik makanan yang juga pengasas Makansutra, Encik K.F Seetoh, yang memberikan penilaian baik bagi restoran itu.



Restoran itu juga telah meluaskan khidmatnya bagi menawarkan khidmat perkahwinan dan katering.



"Saya rasa syukur sangat selepas setahun menjalankan perniagaan ini, penjualan saya telah naik sehingga 70 peratus dan keuntungan juga meningkat 30-50 peratus. Mudah-mudahan perniagaan ini akan terus maju,'' tambahnya, penuh harapan.




  • Laporan ini dibawakan oleh Majlis Ekonomi Masa Hadapan.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >