Dua platform digital baru untuk merubah industri maritim S’pura

DUA platform digital baru kini sedang dibangunkan untuk membantu industri maritim Singapura menghadapi penyesuaian masa depan di mana pendigitalisan mengganggu dan merubah pengangkutan dan rangkaian logistik global.

Menteri Pengangkutan, Encik Khaw Boon Wan, berkata garisan bagi sektor perkapalan, e-niaga dan logistik kini semakin kabur, lapor akhbar The Straits Times (ST).

“Misalnya, Amazon tidak lama lagi akan melancarkan operasi perkapalan dan logistiknya sendiri.

“Apakah kesannya kepada syarikat perkapalan bila gergasi e-runcit mempunyai operasi perkapalannya sendiri?

“Syarikat pengangkutan penghantaran juga dapat melihat hasil kerjasama Maersk dan CMA CGM dengan Alibaba yang membolehkan syarikat pengangkutan menempah ruang di kapal kontena secara dalam talian,” kata Encik Khaw semasa berucap di persidangan Sea Asia hari ini.

Beliau, juga Menteri Penyelaras Bagi Prasarana, menjelaskan pembangunan Platform Perdagangan Nasional generasi baru yang akan disepadukan, akan menjadi platform digital sehenti, menghubungkan syarikat pengangkutan, perkapalan, pelabuhan, agensi Pemerintah dan syarikat logistik.

Penguasa Kelautan dan Pelabuhan (MPA) pula akan membangunkan Portal Tunggal Maritim yang akan menyediakan akses untuk menyerahkan dokumen bagi pelepasan pelabuhan.

“Inisiatif-inisiatif ini akan mengukuhkan kerjasama di kalangan rangkaian bekalan, dan memperteguhkan perhubungan perdagangan, perkapalan dan eko-sistem logistik Singapura.

“Ia akan membolehkan Singapura memainkan peranan lebih besar dalam bidang-bidang baru seperti e-penunaian dan ketersambungan berbilang mod,” kata Encik Khaw. – ST