Subuh
5:58
Syuruk
7:16
Zuhur
1:19
Asar
4:34
Maghrib
7:21
Isyak
8:30
Ekoniaga

EDB: Sektor air wujud 14,400 pekerjaan kemahiran tinggi

* Dijangka capai 15,000 menjelang 2020 * Kerjaya baru dalam teknologi, R&D, bakat digital, keselamatan siber

Jul 19, 2018 | 05:30 AM

SEKTOR air di Singapura telah mewujudkan peluang kerjaya berkemahiran tinggi bagi rakyat Singapura di samping pilihan pekerjaan yang rencam, menurut Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB).

EDB berkata sektor itu telah menarik 14,400 pekerjaan dan dijangka mencapai 15,000 menjelang 2020.

"Kami melihat peralihan jenis kegiatan sektor air di Singapura ke arah kegiatan bernilai tinggi yang mengubah peluang pekerjaan berkemahiran tinggi bagi rakyat Singapura," ujar pengarah eksekutif Cleantech EDB, Encik Gian Yi-Hsen ketika ditanya perkembangan pekerjaan dan pelaburan sektor air di Singapura oleh Berita Harian (BH) selepas Minggu Air Antarabangsa Singapura (SIWW) 2018 yang diadakan minggu lalu.

Kerjaya baru itu termasuk dalam perkembangan teknologi, penyelidikan dan perkembangan (R&D), bakat digital seperti analitik data, protokol perhubungan dan keselamatan siber, serta pengurusan penjualan dan perniagaan serantau.

"Kami akan terus melabur dan membangunkan bakat mendalam bagi sektor air demi mencapai kemampanan air bagi jangka panjang tetapi juga mengukuhkan daya saing sejagat Singapura untuk kekal sebagai lokasi menarik bagi syarikat-syarikat air membangun, menguji dan mengkomersialkan huraian air mereka bagi rantau ini dan dunia," jelas Encik Gian.

Air, sebagai satu sumber terhad di Singapura, telah mendorong Singapura menjadikan ia sebagai satu aset strategik yang menarik pelaburan dan mewujudkan peluang pekerjaan bagi Singapura.

"Sektor air di negara ini telah menarik pertumbuhan yang baik menjana $2.5 bilion dari segi nilai tambah yang disumbangkan secara langsung dalam ekonomi negara dan dijangka mencapai $2.85 bilion menjelang 2020," kata Encik Gian.

EDB berjaya menarik banyak syarikat air sejagat ke Singapura seperti DHI, sebuah syarikat beribu pejabat (HQ) di Denmark, dan disifatkan sebagai ketua sejagat dalam menghuraikan cabaran paling sukar berkaitan air di dunia.

Singapura merupakan lokasi bagi HQ DHI di Asia Pasifik dan pusat penyelidikan terbesar di luar Denmark.

Kurita, antara syarikat penyedia huraian air perindustrian terbesar dunia dari Jepun, telah membuka pusat R&D air di Singapura, yang terbesar di Asia (luar Jepun) bagi memberi tumpuan terhadap teknologi membren, kimia rawatan air dan kitar-semula air.

Sistem eko air yang rancak di Singapura juga mendorong beberapa firma teknologi air setempat mencipta huraian teknologi air yang dikomersialkan di dunia seperti De.mem Ltd, sebuah syarikat rawatan air sisa yang disenaraikan di bursa saham Australia dan Medad Technologies Pte Ltd yang membangunkan loji penyahgaraman (desalination) di Arab Saudi, menurut Enterprise Singapura (ESG).

Sektor air telah mewujudkan pekerjaan bagi Encik Muhammad Farhan Khairuddin, 30 tahun, seorang jurutera sistem kanan di sebuah firma teknologi baru Singapura, Visenti yang menghasilkan alat deria yang dapat memantau jika paip air bocor atau mutu air kurang baik.

Dari menjaga prasarana teknologi maklumat (IT) bagi prasarana air, tugas beliau juga diluaskan bagi menjaga keselamatan siber bagi sistem IT prasarana air itu, ujar Encik Farhan.

Laporan lanjut: Ceburi bidang baru dalam sektor air

Artikel Terkini