Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19

Ekon meleset: Bajet bantuan berperanan penting, tapi ancaman Covid-19 sukar dijangka

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Ekonomi & Kerja
29
0

Ekon meleset: Bajet bantuan berperanan penting, tapi ancaman Covid-19 sukar dijangka

Pakar ekonomi, usahawan berikan pandangan mengenai cabaran | MTI turunkan ramalan ekonomi Singapura kepada antara -7% dengan -4%
May 27, 2020 | 05:30 AM



Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) telah menurunkan ramalan ekonomi Singapura kepada -7 dengan -4 peratus tahun ini disebabkan kesan pemutus litar yang dilaksanakan akibat penularan Covid-19. Ia berbanding ramalan awal sebanyak -4 dengan -1 peratus. Jika ramalan itu menjadi kenyataan, kemelesetan itu adalah paling buruk sejak Singapura merdeka. Ekonomi bagi suku pertama susut 0.7 peratus, berbanding pertumbuhan 1 peratus pada suku keempat tahun lalu. MTI berkata prestasi separuh kedua bergantung sejauh mana penularan Covid-19 dapat dibendung selepas tempoh pemutus litar berakhir. Belanjawan Kecekalan yang diumumkan semalam dan tiga Belanjawan sebelum ini dijangka dapat meredakan sedikit kesan ekonomi akibat penularan Covid-19. BERITA HARIAN mendapatkan pandangan beberapa pengamat, pakar ekonomi dan dewan perniagaan mengenai perkembangan ini.




BAGAI sudah jatuh ditimpa tangga, begitulah nasib yang menimpa Encik Mohammad Hasri Ariff.



Sebelum dunia dan Singapura dilanda Covid-19, beliau yang bekerja sebagai pemandu Grab hidup 'bak kais pagi makan pagi, kais petang makan petang'.



Dengan banyak perniagaan ditutup dan pekerja bertugas di rumah, ia amat sukar baginya hendak menyara kehidupan.



"Lepas kerja lapan hingga sembilan jam, saya dapat $100. Tapi, apabila dah tolak perbelanjaan seperti duit kereta dan minyak, yang tinggal hanya $35 sehari. Mana nak cukup,'' kata bapa tiga anak berusia tiga hingga sembilan tahun itu.



Ia adalah kemerosotan pendapatan sekitar 70 peratus bagi Encik Hasri berbanding apa yang diperolehi sebelum Covid-19.



Bantuan pemerintah termasuk wang tunai sebanyak $500 di bawah Dana Bantuan Kewangan Sementara (TRF) memberi sedikit kelegaan tetapi tentunya ia tidak mencukupi.



Justeru, beliau kini sibuk memikirkan dan merencanakan 'strategi' masa depan.



Rancangannya ialah ingin kembali bekerja dalam bidang logistik untuk mendapat gaji yang tetap.



Namun, beliau tahu dengan keadaan ekonomi yang meleset tahun ini, banyak firma cuba menjimatkan kos dan ada pula yang memberhentikan pekerja.



Beliau menyambut baik Belanjawan keempat diumumkan Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat semalam dalam usaha menyelamatkan pekerjaan dan membuka peluang pekerjaan baru.



Ia diumumkan setelah Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) menurunkan ramalan ekonomi Singapura kepada antara -7 dengan -4 peratus tahun ini, dari ramalan awal -4 dengan -1 peratus.



Jika ramalan itu menjadi kenyataan, kemelesetan itu adalah paling buruk sejak Singapura merdeka.



MTI juga menyatakan Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) bagi suku pertama juga menguncup 0.7 peratus, berbanding pertumbuhan 1 peratus pada suku keempat tahun lalu.



Langkah pemutus litar dilaksanakan sejak 7 April lalu dan akan berakhir pada 1 Jun ini bagi mengekang penularan Covid-19 di Singapura, telah menjejas kegiatan ekonomi serta perbelanjaan domestik.



Sektor penginapan dan khidmat makanan merosot 23.8 peratus pada suku pertama, paling buruk berbanding sektor-sektor lain, kata Setiausaha Tetap (Perdagangan dan Perusahaan) Encik Gabriel Lim, dalam sidang akhbar diadakan menerusi alam maya semalam.



Sektor binaan yang menguncup 4 peratus pada suku pertama tahun ini, dijangka terus terjejas pada suku kedua akibat masalah pekerja asing yang terhad disebabkan jangkitan Covid-19 serta bekalan binaan yang terganggu akibat pergerakan terkawal di negara lain, termasuk Malaysia.



Berbanding kemelesetan sebelum ini, kemelesetan kali ini lebih bersifat kemelesetan perkhidmatan kerana ia disebabkan penutupan bekalan dan sektor khidmat tidak penting, kata Encik Saktiandi Supaat, Naib Presiden Eksekutif yang juga Ketua Kajian Forex Pasaran Global Maybank Group.



Ini berbanding kemelesetan sebelum ini yang disebabkan permintaan luaran dan perkilangan yang menjunam. Pada suku pertama, sektor perkilangan masih tumbuh 6.6 peratus didorong oleh permintaan bioperubatan yang meningkat.



"GDP pada suku kedua akan mencerminkan kesan penuh langkah pemutus litar terhadap khidmat tidak penting dan binaan. Kami jangkakan GDP menguncup 20 peratus pada suku kedua, diketuai kemerosotan perkhidmatan. GDP bagi suku ketiga dijangka pulih dengan kelonggaran langkah sekatan kawalan dan sokongan hasil permintaan yang tertunda,'' kata Encik Saktiandi.



Mantan Anggota Parlimen Dilantik (NMP) dan Pengerusi ITL Corporation, Encik Zulkifli Baharudin berkata kesan Covid-19 terhadap ekonomi Singapura tidak dapat dielakkan memandangkan Singapura ialah sebuah ekonomi global.



"Kita tidak dapat melindungi diri kita dari pasaran luar yang terjejas dengan penularan ini. Begitu juga ekonomi kita yang akan terjerumus dalam kemelesetan. Meskipun tempoh pemutus litar berakhir, firma tidak akan dapat berfungsi seperti biasa.



"Bantuan dalam Belanjawan pemerintah akan meredakan sedikit kesukaran itu tetapi kesannya masih akan dirasakan.



"Ada firma yang perlu ditutup. Pekerja diberhentikan. Ia tidak dapat dielakkan. Kita perlu terus membuka pasaran kepada negara luar dan meningkatkan produktiviti,'' tambahnya.



Encik Saktiandi menambah empat Belanjawan diumumkan pemerintah 'akan dapat mengurangkan sebahagian 'kesakitan' dirasakan oleh SME dan pekerja'.



"Kita harus sedaya upaya memastikan pekerja kita kekal mempunyai pekerjaan atau mencari pekerjaan yang sementara atau tetap dalam sektor yang dapat terus beroperasi,'' katanya.



Encik Zulkifli melahirkan keprihatinan terhadap pekerja Melayu/Islam yang ekonomi keluarga belum kukuh dan bekerja dalam ekonomi gig seperti pekerja penghantaran.



"Jika mereka bekerja sebagai pekerja penghantaran pada usia 25 tahun, mereka harus fikirkan adakah ini adalah kerja yang ingin mereka lakukan 20 tahun mendatang? Tanpa CPF, ia amat sukar bagi golongan ini,'' kata Encik Zulkifli.



Usaha perlu dilaksanakan bagi membantu golongan ini yang dijangka teruk terjejas akibat kemelesetan ekonomi.



Encik Farid Khan, Presiden Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) berkata DPPMS akan bekerjasama dengan firma-firma bagi membantu menangani gangguan dan cabaran itu.



DPPMS juga telah membentuk Pasukan Bertindak Kestabilan dan Pasukan Rombakan dan Pertumbuhan bagi menangani cabaran Covid-19.



Di sebalik kelemahan ekonomi, MTI menyatakan terdapat beberapa sektor yang dapat memberikan sokongan kepada ekonomi.



Bioperubatan dijangka meningkat disebabkan permintaan produk perubatan bertambah semasa Covid-19 di dunia. Bahkan, kenaikan bioperubatan mendorong sektor perkilangan untuk tumbuh 6.6 peratus pada suku pertama ini.



Satu lagi sektor ialah penerangan dan perhubungan juga dijangka tumbuh memandangkan permintaan yang meningkat bagi huraian digital.



Tetapi, secara keseluruhan, kesan ekonomi bergantung kepada sejauh mana penularan Covid-19 itu akan berlanjutan.



Risiko jangkitan boleh berlaku lagi dalam ekonomi besar seperti Amerika Syarikat dan Eropah.



"Jika jangkitan meningkat dan sekatan seperti perintah berkurung dan sekatan pergerakan dilaksanakan semula, kelemahan dalam ekonomi akan menjadi lebih buruk dan berpanjangan daripada yang dijangkakan.



"Justeru, prestasi ekonomi bagi separuh kedua tahun ini akan bergantung sama ada kita dapat mengekang penularan domestik selepas tempoh pemutus litar,'' tambah Encik Lim.



  • Penulis, wartawan kanan BH/BM, adalah dalam pasukan penyelia meja berita/rencana termasuk liputan ekonomi.


"GDP pada suku kedua akan mencerminkan kesan penuh langkah pemutus litar terhadap khidmat tidak penting dan binaan. Kami jangkakan GDP menguncup 20 peratus pada suku kedua, diketuai kemerosotan perkhidmatan. GDP bagi suku ketiga dijangka pulih dengan kelonggaran langkah sekatan kawalan dan sokongan hasil permintaan yang tertunda."
- Encik Saktiandi Supaat, Naib Presiden Eksekutif yang juga Ketua Kajian Forex Pasaran Global Maybank Group.



"Dengan Covid-19, perangkaan MTI itu memang dijangkakan. Ia adalah sebab DPPMS sedang bekerjasama dengan anggota kami dan membentuk Pasukan Bertindak Kestabilan dan Pasukan Rombakan dan Pertumbuhan bagi menangani cabaran ini. Ini adalah cara kami memberi respons bagi memastikan kami dapat menangani gangguan dan cabaran ini."
- Encik Farid Khan, Presiden Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS).



"Singapura ialah sebuah ekonomi global. Kita tidak dapat melindungi diri kita dari pasaran luar yang terjejas dengan penularan ini. Begitu juga ekonomi kita yang akan terjerumus dalam kemelesetan. Meskipun tempoh pemutus litar berakhir, firma tidak akan dapat berfungsi seperti biasa. Bantuan Belanjawan pemerintah akan meredakan sedikit kesukaran itu tetapi kesannya masih akan dirasakan. Ada firma yang perlu ditutup. Pekerja diberhentikan. Ia tidak dapat dielakkan. Kita perlu terus membuka pasaran kepada negara luar dan meningkatkan produktiviti."
- Mantan Anggota Parlimen Dilantik (NMP) dan Pengerusi ITL Corporation, Encik Zulkifli Baharudin.



"MTI menurunkan ramalan pertumbuhan GDP buat kali ketiga kepada -7 hingga -4 peratus, dari -4 dengan -1 peratus sebelum ini. Ia konsisten dengan ramalan kami sebanyak -6 peratus. Bagaimana ekonomi Singapura menunjukkan kelakonan bagi suku-suku mendatang bergantung kepada sejauh mana kita dapat meneruskan kegiatan ekonomi dengan selamat tanpa peningkatan besar jangkitan setelah tempoh pemutus litar berakhir."
- Cik Selina Ling, Ketua Penyelidikan dan Strategi Kewangan OCBC.




SEKILAS



  • Ekon suku pertama kuncup 0.7% 

  • Sektor penginapan dan khidmat makanan merosot 23.8% (suku pertama tahun ini) 

  • Sektor binaan kuncup 4% (suku pertama tahun ini) 

  • Bioperubatan dorong sektor perkilangan tumbuh 6.6% (suku pertama tahun ini)




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >