EKONOMI Singapura tumbuh 3.6 peratus sepanjang tahun lalu, lebih tinggi dari anggaran awal sebanyak 3.5 peratus, menurut Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI).
Ini selepas Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) tumbuh 3.6 peratus pada suku keempat dari Oktober hingga Disember tahun lalu.
Pertumbuhan lebih kukuh itu didorong oleh sektor luaran seperti perkilangan serta kewangan dan insurans sejajar dengan pemulihan dalam ekonomi sejagat.
Namun, MTI meramalkan ekonomi tahun ini lemah sedikit dari 2017, dengan jangkaan ekonomi tumbuh 1.5 hingga 3.5 peratus.
"Rentak pertumbuhan ekonomi Singapura dijangka sederhana pada 2018 berbanding 2017 tetapi kekal kukuh,'' kata Encik Loh Khum Yean, Setiausaha Tetap MTI.
Sektor luaran seperti perkilangan akan terus mendorong ekonomi dan sentimen pengguna yang bertambah baik disebabkan pemulihan pasaran buruh, akan mengkuhkan sektor domestik seperti runcit, khidmat makanan, pendidikan, maklumat dan komunikasi.
Namun, terdapat juga risiko yang boleh menjejas ekonomi seperti kebimbangan sentimen perlindungan dan dasar dagangan pentadbiran Amerika yang boleh menjejas dagangan sejagat.