EKSPORT bukan minyak (NODX) Singapura menguncup kurang daripada yang dijangka pada April, tetapi prospek ekonomi lebih luas masih kurang memberangsangkan.
NODX domestik berkurangan 7.9 peratus bulan lalu berbanding setahun lalu, rendah daripada penguncupan 8.4 peratus yang diramal ahli ekonomi, dan jauh lebih baik daripada penguncupan 15.7 peratus pada Mac.
Bagaimanapun, ahli ekonomi tidak yakin tentang kemungkinan pemulihan memandangkan pengeksport masih bergelut dengan permintaan global yang lemah.
Prestasi lebih baik daripada jangkaan pada April itu sebahagiannya disebabkan peningkatan 17.9 peratus eksport farmaseutikal, yang biasanya tidak menentu.
Bagaimanapun, NODX segmen lain mengalami penurunan luas.
NODX elektronik menguncup 7.4 peratus bulan lalu, menyusuli penurunan 9.1 peratus pada Mac. NODX bukan elektronik susut 8.1 peratus, selepas kejatuhan 18 peratus pada Mac.
Eksport ke hampir kesemua 10 pasaran utama Singapura jatuh bulan lalu, kecuali Kesatuan Eropah dan Hong Kong.